ATTENTION !!!

Showing posts with label stevia. Show all posts
Showing posts with label stevia. Show all posts

Saturday, January 15, 2011

Pulangan Tinggi Perladangan Stevia

(Post: Bahasa Melayu)
" Ancaman diabetes dan angka penghidapnya yang semakin meningkat di negara ini membuatkan usaha mencari pemanis alternatif turut diperhebat. "

Pengambilan pemanis alternatif dilihat sebagai satu cara menggantikan gula sekali gus membantu mengawal jumlah pengambilan manisan dalam makanan dan jumlah pesakit diabetes di negara ini.

Menurut statistik Kajian Kesihatan dan Mobiditi Kebangsaan dianggarkan kira-kira 3.4 juta rakyat Malaysia menghidap diabetes pada 2010.

Stevia, tanaman sub-tropikal yang berasal dari Amerika Selatan ialah antara pemanis alternatif terkini yang ditemui.

Stevia memberi kesan tidak penting terhadap glukosa dalam darah dan oleh itu digunakan sebagai pemanis dalam diet untuk mengawal karbohidrat.

Ia dijadikan pengganti pemanis dalam pembuatan makanan dan penggunaannya, dan semakin diiktiraf badan-badan antarabangsa.

Penggunaannya di Malaysia juga semakin meluas apatah lagi di kemuncak kenaikan harga gula di pasaran dunia baru-baru ini.

Sebuah syarikat pengeluar, CT Lang Sdn. Bhd., yang mengeluarkan dua produk minuman berteraskan kesihatan, kini menggunakan stevia sebagai pengganti gula dalam produk mereka.

Pengurusnya, Abdullah Mohamad berkata, stevia berpotensi besar sebagai tanaman industri baru kerana proses penanamannya yang tidak rumit dan mampu mengeluarkan hasil selepas tiga bulan penanaman.

"Stevia boleh menjadi pengganti gula memandangkan kerajaan semakin giat menggalakkan rakyat untuk mengurangkan pengambilan gula dalam makanan dengan melupuskan subsidi terhadap komoditi itu baru-baru ini," katanya.

Menurut beliau, Jepun menggunakan stevia sebanyak 50 hingga 60 peratus dalam jumlah pemanis di negara itu dan ia digunakan dalam kebanyakan produk makanannya.

Abdullah berkata, ekstraknya adalah 300 hingga 400 kali ganda lebih manis daripada ekstrak yang diambil daripada tebu.

Abdullah berkata, Malaysia yang mengimport sepenuhnya gula perang dari India, perlu memikirkan cara untuk mengurangkan pembelian gula dari luar dan sebaliknya cuba membangunkan industri stevia tempatan.

Katanya, dengan menggunakan kaedah tersebut, ia bukan sahaja mengurangkan pergantungan sumber gula dari luar, bahkan membantu pekebun kecil dan memberi sumber ekonomi baru untuk mereka.

Dalam hal ini, syarikatnya telah pun mula bertemu dengan wakil-wakil rakyat dalam menggalakkan pekebun kecil menanam stevia dalam skala yang kecil.

"Wakil rakyat boleh membantu dari segi memberi bantuan baja dan biji benih dan hasil daripada tanaman itu boleh dijual kepada syarikat, yang memerlukan ekstrak stevia untuk mengeluarkan produk kami," katanya.

Beliau berkata, setakat ini petani di Bagan Serai, Perak dan Silam, Sabah bersetuju dengan idea ini dan dijangka memulakan penanaman dalam masa terdekat.

Penanaman pokok stevia ini dimulakan dengan mematangkan biji benih selama sebulan.

Selepas itu, ia akan mengambil masa tiga bulan sebelum ekstrak dari daunnya diambil untuk diproses menjadi pemanis.

Abdullah berkata, proses penanaman yang tidak rumit, kos yang agak rendah dan pusingan hasil yang memberangsangkan menjamin potensi stevia bukan sahaja di dalam negara malah untuk dieksport ke luar negara.

Dengan memperkenal modul tanaman secara kecil-kecilan kepada pekebun kecil, ini bukan sahaja membantu pekebun malah mewujudkan satu rangkaian komersial penanaman stevia.

Untuk permulaan, dijangka sebanyak RM40,000 diperlukan bagi penanaman stevia di kawasan seluas 0.4 hingga 0.8 hektar, kata Abdullah.

Dengan adanya stevia, rakyat Malaysia mempunyai alternatif selain gula terutama penggunaannya yang menjangkau nilai RM5 billion setiap tahun.

Abdullah berkata, pandangan skeptikal rakyat Malaysia mengenai stevia merupakan penyebab mengapa ramai yang tidak tahu mengenai potensi dan kebaikan tanaman itu.

"Bagaimanapun, dengan usaha kecil syarikat ini diharap lebih banyak pemahaman mengenai potensi tanaman ini dapat diterap sekali gus menjadikannya satu daripada pemacu ekonomi kepada sektor pertanian negara," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia Online
Foto: blog Stevia-Gec

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Monday, February 8, 2010

Potensi Stevia Menggantikan Gula Tebu

(Post: Bahasa Melayu)
" Kenaikan harga gula mulai 1 Januari lalu, disambut rungutan orang ramai yang sudah menganggapnya sebahagian bahan keperluan utama kehidupan. Seperti dijangkakan, berlakulah masalah kekurangan bekalan gula di pasaran selain pembelian panik oleh pengguna yang selama ini sudah sebati dengan bahan pemanis itu. "

Berikutan itu, pelbagai langkah diambil kerajaan untuk mengatasinya dan pada masa sama menyarankan orang ramai mengurangkan jumlah pengambilan gula berikutan peningkatan jumlah pesakit diabetes dan darah tinggi setiap tahun.

Namun, di celah kesibukan kempen mengurangkan manis (gula) dalam makanan dan menambahkan manis dalam senyuman, timbul pula keghairahan beberapa pihak mengetengahkan bahan pengganti seperti madu, gula tiruan dan stevia.

Madu dan gula tiruan sememangnya biasa didengari, tetapi stevia?

Stevia adalah sejenis tumbuhan agak baru di negara ini biarpun hakikatnya sudah lama digunakan di sesetengah negara sebagai bahan pemanis. Tumbuhan yang nama saintifiknya Stevia Rebaudiana, digunakan masyarakat Asli Red Indian Guarani di Amerika Selatan sejak 1,500 tahun lalu sebagai pemanis bagi ubat pahit.

Ia turut dikenali sebagai makanan tambahan dan herba merawat penyakit berkaitan kencing manis, obesiti, menurunkan tekanan darah tinggi, melawaskan kencing dan merawat luka terbakar.

Namanya bagaimanapun mula menjadi sebutan penduduk tempatan kira-kira lima tahun lalu apabila khasiatnya sebagai pemanis yang sesuai di ambil pesakit diabetes heboh diperkatakan dan akhir-akhir ini dilonjak sebagai berpotensi menjadi tanaman komersial di negara ini.

Pegawai Penyelidik Prinsipal, Pusat Penyelidikan Padi & Tanaman Industri Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (Mardi), Dr Tan Swee Lian, berkata stevia yang berasal dari Paraguay, Amerika Selatan.

"Pokok renek berdaun bujur, batangnya lembut, bunga halus dan gerutu ini juga dikenali sebagai daun manis atau madu kerana mengandungi bahan yang 200 kali lebih manis daripada gula biarpun masih ada rasa pahitnya."

"Stevia mengandungi dua komponen utama pemanis di dalamnya iaitu steviosid dan rebaudiosid A. Kedua-dua bahan pemanis itu akan berkurangan jika tanaman berkenaan dituai lebih awal."

"Jika bahan steviosid dan rebaudiosid A diasingkan dalam proses makmal, maka rasa pahit dalam stevia akan dapat dihilangkan dan ia sesuai untuk dijadikan pemanis tanpa rasa pahit. Rasa pahit yang ada pada stevia kurang digemari sesetengah orang dan menjadi antara halangan utama sebagai makanan pengganti gula," katanya.

Beliau menjelaskan stevia mula dibawa masuk ke negara ini pada 1970-an dan kajian mengenainya berterusan sehingga ke hari ini, namun hanya dikenali ramai sejak lima tahun kebelakangan ini.

Katanya, stevia sudah dijadikan pengganti gula di Jepun dan menguasai 40 peratus industri pemanis manakala Korea Selatan menjadi negara kedua terbesar menjadikan stevia sebagai bahan pemanis.

Di Kanada, India, China, Russia dan Paraguay, bahan pemanis itu diusahakan secara komersial.

Beliau menjelaskan sebelum ini ramai yang meragui khasiat stevia kerana kajian ke atas tikus di makmal mendapati pengambilan bahan pemanis secara banyak dan berterusan menyebabkan haiwan itu mandul.

"Tiada kajian khusus ke atas manusia dilakukan dan jika mahu dibandingkan dengan masyarakat Orang Asli di Paraguay, sukar untuk mendapatkan jawapan yang tepat kerana mereka tidak memakan stevia secara berterusan dan dalam jumlah yang banyak. Masyarakat itu memakan stevia bagi menghilangkan rasa pahit ubat saja dan bukannya dijadikan bahan wajib bagi setiap hidangan."

"Malah, satu masa dulu kerajaan Amerika Syarikat pernah mengharamkan kemasukan stevia sebagai pengganti gula. Namun, pada lewat 2008, pihak Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (FDA) meluluskan stevia sebagai bahan makanan yang selamat dimakan dan dikategorikan sebagai makanan tambahan dan herba bukannya pengganti gula," katanya.

Kini, berjuta-juta orang di Brazil dan Jepun menggunakan stevia sebagai perisa makanan dan pemanis semula jadi, malah menjadi perisa makanan diluluskan sejak 20 tahun lalu.

Penduduk Jepun dikatakan kumpulan pengguna terbesar menggunakan stevia bagi tujuan memaniskan hampir semua produk makanan termasuk jeruk, minuman ringan dan coklat.

Pengarah Pusat Penyelidikan Padi & Tanaman Industri Mardi, Mansor Puteh, berkata Mardi banyak menerima permintaan dan pertanyaan mengenai stevia, khususnya selepas pengumuman kenaikan harga gula.

Namun, baginya herba itu tidak sesuai dijadikan tanaman komersial pengganti gula kerana kurang nilai ekonomi akibat harganya yang rendah, selain kualitinya yang tidak sebaik tumbuhan sama yang dikeluarkan di negara empat musim.

"Untuk mendapatkan sekilogram stevia kering, sekurang-kurangnya lima kilogram daun basah diperlukan iaitu kira-kira RM1.40 sekilogram, manakala kos pengeluarannya mungkin melebihi harga RM7 sekilogram tanaman."

"Mengikut kajian, stevia yang ditanam di negara ini kurang berkualiti kerana cepat berbunga selain perlu dituai lebih awal. Di Malaysia juga, ia biasanya boleh membesar dengan ketinggian satu meter berbanding di negara empat musim yang ketinggiannya mencecah tiga meter."

"Justeru, jika ada mana-mana syarikat yang ada niat mahu mengusahakannya secara komersial untuk menjadi bahan penggantian gula, saya suka nasihatkan supaya melupakan saja hasrat itu," katanya.

Mansor berkata, lebih baik jika tanaman berkenaan diusahakan untuk tujuan pemasaran bahan herba atau makanan tambahan dalam makanan dan minuman kesihatan terutama mereka yang mempunyai penyakit kencing manis, darah tinggi dan obesiti.

"Kita mengalu-alukan sesiapa saja yang berminat membangunkan tanaman ini dalam industri herba dan makanan tambahan. Malah, bersedia memberi khidmat nasihat, bantuan serta tunjuk ajar di samping terus menjalankan kajian untuk memperbaiki kualiti serta hasil penuaian stevia di negara ini," katanya.

Sementara itu, Pegawai Penyelidik Prinsipal, Pusat Penyelidikan Padi & Tanaman Industri Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (Mardi), Dr Tan Swee Lian pula berkata, ada beberapa bahan lain yang dikaji untuk menggantikan gula, namun semuanya didapati tidak sesuai untuk dikomersialkan kerana kos pengeluarannya besar selain masalah mendapatkan bahan mentah.

Antara tumbuhan itu ialah 'Thamaucoccus', pokok hutan seperti Kacip Fatimah, tetapi ia sukar diusahakan kerana pokok ini amat sedikit mengeluarkan buahnya yang mengandungi bahan pemanis.

Selain itu, madu juga sukar diusahakan secara besar-besaran kerana Malaysia tidak mempunyai kawasan penanaman buah-buahan yang besar seperti di Australia dan Amerika Syarikat untuk membolehkan lebah menyedut nektar daripada bunga pokok buahan berkenaan.

Bagaimanapun, tegas Dr Tan, hanya empat daripada 100 jenis stevia saja yang sesuai dengan cuaca dan persekitaran di negara ini.

Beliau berkata, stevia boleh ditanam dan diusahakan di negara ini tetapi ada beberapa masalah yang perlu diambil risiko pengusahanya kerana tanaman berkenaan boleh mengeluarkan hasil yang baik jika lama terdedah kepada matahari.

"Di negara ini, waktu siang hanya 12 jam, bermakna daun yang dihasilkan kurang terdedah kepada matahari. Namun, Malaysia boleh menuai sebanyak sembilan kali hasil kerana kita panas sepanjang tahun."

"Berbanding negara empat musim, waktu panasnya kira-kira 16 jam dan tuai boleh dibuat sebanyak dua kali dalam tempoh musim panas kira-kira tiga bulan setengah. Oleh kerana kadar kepanasan dan pendedahan terhadap matahari tinggi, maka hasil stevia lebih berkualiti kerana kandungan steviosid dan rebaudiosid A tumbuhan itu lebih tinggi."

"Di negara ini, kita boleh melakukan sistem pemanasan menggunakan lampu seperti dilakukan untuk tumbuhan seperti kekwa atau Chrysanthemum, namun ini tidak dapat dilakukan untuk stevia kerana harganya terlalu rendah, sedangkan penggunaan lampu memerlukan kos yang lebih tinggi," katanya.

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Thursday, January 7, 2010

Pemanis Semulajadi Tanpa Kalori

(Post: Bahasa Melayu)
"Ketika kenaikan harga gula mulai Jumaat lalu mendapat pelbagai reaksi, sebuah syarikat tempatan bercadang membuka ladang terbesar dan pusat pemprosesan bioteknologi menggunakan tumbuhan herba 'stevia' secara komersil."

Stevia adalah pemanis semula jadi yang tidak mengandungi kalori.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan A’Azam, Dr Sharifah Sabrina berkata, secara tradisional 'stevia' mengandungi sifar kalori, lemak, kolesterol, gula dan karbohidrat.

"Ia boleh dijadikan salah satu alternatif utama untuk mengurangkan pengambilan gula," katanya.

Selain menjadi pemanis semula jadi, 'stevia' juga boleh mengurangkan kadar gula dalam darah, melawaskan kencing, menurunkan tekanan darah, membunuh bakteria, membunuh kulat, membunuh virus, mengurangkan keradangan dan juga boleh membantu mengurangkan berat badan.

Pemanis itu diperoleh menerusi daun pokok 'stevia' yang dikeringkan.

Dr Sharifah turut mencadangkan penggunaan 'stevia' dapat diperluaskan di Malaysia bagi mencegah kandungan gula yang berlebihan di kalangan rakyat Malaysia ketika ini.

Kumpulan A’ Azam dengan kerjasama anak syarikatnya, BNG Global Holdings Sdn Bhd, telah menjalankan kajian dan penyelidikan dengan beberapa pakar sains dari Pusat Pembangunan dan Penyelidikan Bioteknologi di India yang berpusat di Poona untuk menanam anak-anak pokok 'stevia' secara ujian terlebih dahulu.

"Kita perlu membuat kajian secara menyeluruh kerana faktor cuaca memainkan peranan yang penting. Kajian ini meliputi aspek penanaman di Malaysia dan juga beberapa negara Asia Tenggara yang lain. Kami masih menjalankan penanaman kajian secara saintifik dan juga ujian ketika ini."

"Kami telah menjalankan kajian tanah dan ujian di Pekan, Mersing , Bentong dan Sabah. Proses ini dijangka selesai dalam tempoh jangka masa terdekat ini," katanya.

Dr Sharifah berkata, cadangan ladang tersebut telah juga dimaklumkan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Sumber: Sinar Harian
Foto:
Wikipedia

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::