ATTENTION !!!

Showing posts with label dadih. Show all posts
Showing posts with label dadih. Show all posts

Friday, August 28, 2009

Jem Malberi DMJ Enterprise

(Post: Bahasa Melayu)
"Bagi memenuhi permintaan yang semakin bertambah, Khadijah yang sekarang mengusahakan tanaman malberi di tanah seluas suku ekar kini mula menanamnya di kawasan seluas kira-kira empat hektar (11 ekar) di Batang Kali, Selangor."

Memulakan bicara, Khadijah Mustapa, 58, seorang bekas guru, bercerita, sebatang ranting malberi yang dibawa oleh seorang ahli keluarga sekembali dari United Kingdom (UK) mengubah kehidupannya sekeluarga.

"Dengan sebatang dahan, suami saya, Abdul Jalil Nong menanamnya secara suka-suka kerana kami sekeluarga memang gemar bertani," katanya semasa ditemui di rumahnya di Kampung Rasa Tambahan, Rasa, Hulu Selangor, Selangor.

Apabila pokok malberi yang ditanam mula mengeluarkan hasil, Khadijah membuat jem serta jus dan memberikannya kepada guru sekolah di tempatnya mengajar.

"Sambutan yang diterima amat menggalakkan dan ramai yang ingin membeli produk baru ini," katanya sentiasa mendapatkan maklumat mengenai malberi melalui Internet.

Mendapati pokok dan buah malberi mempunyai banyak kegunaan, Khadijah mula menghasilkan jus, jem, teh dan dadih bagi kegunaan sendiri.

Bagaimanapun rakan serta keluarga yang berkunjung ke rumah dan merasai produk malberi hasilan tangan Khadijah menggalakkan beliau mengkomersialkannya.

Setelah lima tahun mengusahakan jem malberi secara kecil-kecilan, setelah bersara Khadijah mula mengambil langkah membesarkan perniagaannya.

Menerima nasihat rakannya Zainon Ariffin, Khadijah meminta khidmat nasihat Jabatan Pertanian bagi meningkatkan mutu produk jem buatannya selain menghasilkan produk lain seperti jus, teh dan topping dadih.

"Saya juga menggunakan kemudahan di Jabatan Pertanian Rasa bagi menghasilkan produk," katanya yang menghasilkan dan mengeluarkan produk di bawah syarikat DMJ Enterprise.

Khadijah menanam pokok malberi secara berperingkat bagi membolehkan hasil dituai secara berterusan.

Ditanya mengenai pengurusan tanaman malberi, beliau berkata, malberi mudah ditanam dan dijaga tetapi tanaman ini menarik ulat beluncas dan burung.

"Pokok malberi, pokok renek seakan-akan semak mengambil masa tiga bulan untuk berbuah dan biasanya buah yang pertama kali tidak digunakan."

"Kami menggunakan buah yang terhasil pada kali ke dua dan seterusnya bagi memastikan mutu," katanya yang mendapat bantuan pelbagai agensi kerajaan seperti Mara, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Jabatan Pertanian.

Mencari maklumat mengenai pokok malberi, Khadijah mendapat tahu, buah malberi masak boleh dimakan mentah.

Selain itu, buah malberi juga boleh digunakan dalam masakan seperti pai, tart dan minuman kordial.

Buah malberi hitam yang biasa terdapat di barat daya Asia, manakala malberi merah yang ditemui di Amerika Utara mempunyai rasa yang kuat.

Malberi hitam, merah dan putih terdapat dengan banyaknya di India, Azerbaijan, Syria, Armenia, Pakistan, Iran dan Afghanistan dipanggil malberi unggul.

Keseluruhan pokok malberi boleh dimanfaatkan, di mana buahnya boleh dimakan mentah atau dibuat jem, daunnya dijadikan teh dan batang serta akar boleh direbus untuk diminum.

Khasiatnya paling popular dalam formulasi tradisional bagi mengelakkan kencing manis, mengurangkan tekanan darah tinggi serta merendahkan paras kolestrol dalam darah.

CONTACT INFO:
Telefon: 012-9026676 atau 03-60579197 (Khadijah Mustapa)

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Wednesday, August 5, 2009

Keju Mozarela Susu Kerbau

(Post: Bahasa Melayu)
"Bidang pengajian yang berbeza berbanding kerjaya yang diceburi bukan penghalang bagi seseorang itu untuk mencapai kejayaan. Apa yang penting ialah minat dan keazaman."

Prinsip itulah yang dipegang oleh usahawan Mohamed Zamberi Abd Razak, 38, yang kini merupakan seorang penternak kerbau. Pada masa yang sama, beliau juga berjaya menghasilkan keju mozarela.

Beliau yang merupakan graduan pelukis pelan Institut Latihan Perindustrian (ILP) berjinak-jinak dengan bidang penternakan apabila merasakan dirinya lebih gemar bekerja sendiri dan bebas dalam melakukan sesuatu pekerjaan.

Beliau memulakan kerjaya dalam bidang penternakan dengan menternak kambing di Abi, Perlis pada tahun 2002.

Enam tahun kemudian, beliau mengambil alih ladang ternakan kerbau, Buffalo Park, Langkawi yang diswastakan oleh Jabatan Haiwan dan Veterinar Kedah.

Beliau yang merupakan Pengerusi Koperasi Usahawan Ternak Ruminan Utara Berhad kemudian mengkormersialkan ladang tersebut dengan memasukkannya ke dalam peta dan majalah pelancongan Langkawi.

Pada awalnya, pusat ternakan itu mempunyai 60 ekor kerbau yang diambil dari Perak. Namun apabila diperiksa tahap kesihatannya, hanya 31 ekor sahaja berada dalam keadaan baik.

"Kita juga ada mengambil kerbau jenis Murrah dari India kerana kerbau jenis ini sangat popular di sana dan mudah didapati," katanya ketika ditemui di ladang ternakannya di Buffalo Park, Kampung Nyior Chabang, Langkawi.

Mohamed Zamberi memberitahu, memelihara haiwan memerlukan kesabaran yang tinggi kerana haiwan ini berdepan dengan kemungkinan menghidap pelbagai penyakit dan memerlukan pemantauan kesihatan secara kerap.

"Saya juga percaya sekiranya kita melayan haiwan peliharaan dengan baik dengan memberi makanan yang cukup dan sentiasa membelainya pasti ia akan membalas jasa kita," ujarnya.

Selain memelihara ternakan itu, beliau mengembangkan perniagaannya dengan mengeluarkan produk hiliran berasaskan kerbau.

Ini kerana katanya mungkin ramai yang tidak mengetahui khasiat sebenar susu kerbau yang lebih tinggi berbanding susu lembu. Susu kerbau kaya dengan kalsium, karbohidrat dan rendah kolesterol mampu memberikan tenaga yang lebih kepada manusia.

"Susu kerbau, dadih dan ais krim adalah produk awal yang dijual di Buffalo Park dengan menggunakan bahan asasnya iaitu susu kerbau tanpa dicampur dengan sebarang bahan pengawet. Lebih istimewa produk yang dihasilkan itu menggunakan resipi sendiri," katanya.

Lebih menarik, sejak 1 Julai lalu beliau turut mencuba sesuatu resipi unik iaitu menghasilkan keju mozarela.

Walaupun penghasilan keju bukan sesuatu perkara yang mudah apatah lagi Malaysia bukan merupakan pengeluar keju, namun bagi Mohamed Zamberi itu bukan halangan baginya untuk menghasilkan sesuatu perkara yang baru.

Menurut Mohamed Zamberi, dalam sehari sebanyak 20 kilogram (kg) susu diperah bagi menghasilkan keju dengan setiap satu kg keju memerlukan lima kg susu kerbau. Ia dijual pada harga RM100 bagi satu kg keju manakala 200 gram keju pula berharga RM25.

Beliau juga mahu Buffalo Park dijadikan sebagai salah satu pusat agro-pelancongan dengan merancang idea-idea baru seperti menghasilkan coklat berasaskan susu kerbau, membina calet di sekitar kawasan itu dan menghasilkan baja kompos daripada najis haiwan tersebut.

INFO:
Buffalo Park
Lokasi: Kampung Nyior Chabang, Mukim Bohor, Langkawi

TELEFON: 012-4300971

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::