ATTENTION !!!

Friday, August 28, 2009

Jem Malberi DMJ Enterprise

(Post: Bahasa Melayu)
"Bagi memenuhi permintaan yang semakin bertambah, Khadijah yang sekarang mengusahakan tanaman malberi di tanah seluas suku ekar kini mula menanamnya di kawasan seluas kira-kira empat hektar (11 ekar) di Batang Kali, Selangor."

Memulakan bicara, Khadijah Mustapa, 58, seorang bekas guru, bercerita, sebatang ranting malberi yang dibawa oleh seorang ahli keluarga sekembali dari United Kingdom (UK) mengubah kehidupannya sekeluarga.

"Dengan sebatang dahan, suami saya, Abdul Jalil Nong menanamnya secara suka-suka kerana kami sekeluarga memang gemar bertani," katanya semasa ditemui di rumahnya di Kampung Rasa Tambahan, Rasa, Hulu Selangor, Selangor.

Apabila pokok malberi yang ditanam mula mengeluarkan hasil, Khadijah membuat jem serta jus dan memberikannya kepada guru sekolah di tempatnya mengajar.

"Sambutan yang diterima amat menggalakkan dan ramai yang ingin membeli produk baru ini," katanya sentiasa mendapatkan maklumat mengenai malberi melalui Internet.

Mendapati pokok dan buah malberi mempunyai banyak kegunaan, Khadijah mula menghasilkan jus, jem, teh dan dadih bagi kegunaan sendiri.

Bagaimanapun rakan serta keluarga yang berkunjung ke rumah dan merasai produk malberi hasilan tangan Khadijah menggalakkan beliau mengkomersialkannya.

Setelah lima tahun mengusahakan jem malberi secara kecil-kecilan, setelah bersara Khadijah mula mengambil langkah membesarkan perniagaannya.

Menerima nasihat rakannya Zainon Ariffin, Khadijah meminta khidmat nasihat Jabatan Pertanian bagi meningkatkan mutu produk jem buatannya selain menghasilkan produk lain seperti jus, teh dan topping dadih.

"Saya juga menggunakan kemudahan di Jabatan Pertanian Rasa bagi menghasilkan produk," katanya yang menghasilkan dan mengeluarkan produk di bawah syarikat DMJ Enterprise.

Khadijah menanam pokok malberi secara berperingkat bagi membolehkan hasil dituai secara berterusan.

Ditanya mengenai pengurusan tanaman malberi, beliau berkata, malberi mudah ditanam dan dijaga tetapi tanaman ini menarik ulat beluncas dan burung.

"Pokok malberi, pokok renek seakan-akan semak mengambil masa tiga bulan untuk berbuah dan biasanya buah yang pertama kali tidak digunakan."

"Kami menggunakan buah yang terhasil pada kali ke dua dan seterusnya bagi memastikan mutu," katanya yang mendapat bantuan pelbagai agensi kerajaan seperti Mara, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Jabatan Pertanian.

Mencari maklumat mengenai pokok malberi, Khadijah mendapat tahu, buah malberi masak boleh dimakan mentah.

Selain itu, buah malberi juga boleh digunakan dalam masakan seperti pai, tart dan minuman kordial.

Buah malberi hitam yang biasa terdapat di barat daya Asia, manakala malberi merah yang ditemui di Amerika Utara mempunyai rasa yang kuat.

Malberi hitam, merah dan putih terdapat dengan banyaknya di India, Azerbaijan, Syria, Armenia, Pakistan, Iran dan Afghanistan dipanggil malberi unggul.

Keseluruhan pokok malberi boleh dimanfaatkan, di mana buahnya boleh dimakan mentah atau dibuat jem, daunnya dijadikan teh dan batang serta akar boleh direbus untuk diminum.

Khasiatnya paling popular dalam formulasi tradisional bagi mengelakkan kencing manis, mengurangkan tekanan darah tinggi serta merendahkan paras kolestrol dalam darah.

CONTACT INFO:
Telefon: 012-9026676 atau 03-60579197 (Khadijah Mustapa)

Sumber: Utusan Malaysia Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::