ATTENTION !!!

Showing posts with label baikpulih perabot. Show all posts
Showing posts with label baikpulih perabot. Show all posts

Monday, June 29, 2009

Perabot Terpakai REMLEY ENTERPRISE

(Post: Bahasa Melayu)
"Kami menghantar barangan ini ke seluruh negara. Kebanyakan mereka (pelanggan) adalah anak-anak Kelantan yang tinggal di negeri lain dan pulang ke kampung halaman pada musim cuti."

"Perabot yang ada di sini termasuklah set bilik tidur seperti katil dan almari baju, set sofa, alat dan perkakasan pejabat serta perhiasan rumah yang lain."

"Kami juga menjual pintu terpakai," jelas Pengarah Remley Enterprise Sdn. Bhd., Remley Mohd. Nor, 47.

Melihat lot kedai berupa gudang yang dikelilingi lori serta treler itu, tidak mustahil ramai akan menyangka ia sebuah woksyop.

Malah, didahului dengan kepingan pintu kayu pelbagai corak dan bentuk bersandar pada dinding bangunan utamanya, mungkin ada yang memikirkan ia sebuah kilang menghasilkan pintu kayu.

Namun, seraya melangkah masuk ke lot itu, orang ramai dihidangkan dengan pemandangan perabot sejauh pandangan mata. Ia umpama sebuah gudang yang besar.

Membelek perabot-perabot yang ada, ternyata kebanyakannya masih dalam keadaan baik dan terjaga.

Set sofa putih yang diperbuat daripada rotan menarik perhatian kami. Bukan saja masih kukuh, ia dicat semula menjadikannya kelihatan seperti perabot baru.

Almari tempat menyimpan peti televisyen yang diperbuat daripada kayu cengal juga menonjolkan sifat tegapnya. Walaupun kelihatan agak lama, kualitinya tetap jelas di pandangan.

Tidak kurang menariknya barangan antik, daripada katil bertiang sehinggalah kepada jam 'datuk' binaan kayu berukir. Almari lama yang memiliki bentuk dan nob pintu yang signifikan juga tampak asli.

"Barang-barang yang ada di sini adalah yang terpilih. Kami memastikan keadaannya cukup baik untuk dijual semula."

"Jika ada yang memerlukan pembaikian, kami usahakan sendiri. Kami mempunyai tukang kami sendiri," jelas Remley yang berasal dari Tok Uban, Kelantan.

Katanya, jika barangan terpakai itu terlalu teruk keadaannya, beliau sendiri tidak akan mengambilnya.

Menurut Remley, barangan tersebut diimport dari Singapura. Malah, katanya, perniagaan itu dimulakan hasil pemerhatiannya sewaktu berulang alik dari Singapura ke Johor.

"Perniagaan teras syarikat ini ialah pengangkutan kargo. Jadi kami memiliki treler kontena, lori tiga tan dan satu tan yang berulang alik dari Johor dan Singapura."

"Di antara masa itu kami menemukan peluang untuk mengusahakan perniagaan ini," katanya sambil menambah beliau bermula sebagai seorang pemandu lori jarak jauh.

Lori kecil satu tan digunakan untuk mengangkut barangan bundle daripada kualiti terbaik, manakala lori tiga tan dan ke atas untuk membawa masuk barangan yang kualitinya masih dalam keadaan baik tetapi memerlukan pembaikian.

Remley menerangkan, beliau hanya mengambil untung 10 peratus daripada harga barang yang dijual.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Monday, June 15, 2009

Baik Pulih Perabot TOUCH GALLERY

(Post: Bahasa Melayu)
"Kami melihat bingkai kayu terlebih dulu bagi menentukan sejauh mana perabot berkenaan boleh diubah. Misalnya, gaya klasik kerusi Cleopatra dijadikan kontemporari apabila penyandar dipotong. Kerusi berlengan menjadi kerusi tab jika tempat meletak lengan dibuang."

Nasib perabot lama yang lusuh dan rosak, jarang dibela. Meskipun, struktur dan rangkanya dalam keadaan baik, sedikit kerosakan dijadikan alasan pemiliknya untuk membeli perabot baru.

Kebiasaan menukar ganti perabot ini dilihat pemilik Touch Gallery (TG), Aznol Hadi sebagai satu pembaziran.

Baginya, selagi boleh dibaiki, perabot lama kekal berperanan memberi keselesaan dan menghidupkan gaya kediaman.

“Saya selalu berjumpa perabot lama dibuang di tempat pelupusan sampah. Sesetengahnya, dibuang bukan kerana uzur dan rosak teruk hingga tidak boleh dibaiki tetapi disebabkan mutu kemasan merosot."

"Bagi saya, ini merugikan lalu timbul ilham untuk memulihkan semula perabot itu,” katanya yang baru dua tahun mengusahakan bengkel membuat dan memulih perabot di Lembah Jaya Industrial Park, Ampang, Selangor.

Syarikat itu turut menawarkan khidmat mengganti gentian serta span tempat duduk, penyandar manakala bagi corak serta warna fabrik upholsteri, disediakan mengikut selera dan konsep penataan dikehendaki pelanggan.

Mengimbas detik awal perniagaannya, Aznul berkata, set sofa kepunyaan jiran ialah perabot pertama dibaiki. Usaha dan kreativitinya itu diberi pujian menyebabkan dia semakin bersemangat menerima tempahan perabot khusus dibaik-pulih.

Aznol berkata, kebanyakan pelanggannya terdiri daripada mereka yang tahu menilai dan menghargai perabot dimiliki, ingin berjimat selain berhasrat mengubah suasana kediaman tanpa perlu berbelanja besar.

"Mereka adalah dalam kalangan golongan pertengahan yang tidak selalu berganti perabot. Ada juga yang amat sayangkan perabot kerana memiliki nilai atau nostalgia tersendiri, manakala segelintir pelanggan memberitahu berhajat meniru hiasan dalaman dipaparkan di program televisyen. Oleh sebab tidak ada modal besar, mereka menghantar perabot ke bengkel ini untuk diubahsuai," katanya yang turut bertanggungjawab memperbaharui gaya serta rekaan perabot.

Bagi tujuan pengubahsuaian, perabot berkenaan disyaratkan mempunyai struktur dan kerangka yang utuh iaitu belum dimamah anai-anai.

"Saya tidak boleh berbuat apa-apa jika anai-anai sudah bersarang dalam kayu. Ia menandakan kayu berkenaan sudah rosak menunggu reput," katanya.

Sungguhpun, sekadar mengubahsuai dan membaik pulih, Aznol gemar berbincang dan mengunjungi kediaman pelanggan untuk mendapatkan gambaran jelas konsep penataan.

Melalui pemerhatian, keputusan mengenai corak dan warna fabrik serta gaya dan rekaan perabot ditentukan.

"Bagi gaya moden, fabrik pilihan dipastikan berwarna klasik hitam-putih dan dramatik. Malah, perabot klasik boleh berubah kepada gaya moden apabila disuntik elemen dikenali clean-cut," katanya.

Kunjungan ke rumah pelanggan juga membantu Aznol membayangkan reka bentuk perabot sepadan lokasi ruang dan sudut yang bakal menempatkannya.

Menyifatkan membuat perubahan reka bentuk lebih rumit berbanding mencipta perabot, kata Aznol, ilham dan kreativiti tidak selalu muncul.

"Bagi saya, mengubahsuai perabot sebahagian kerja seni. Maka, ilham dan kreativitinya hadir bersama mood. Ketika ilham mencurah-curah, dalam sehari, pelbagai lakaran reka bentuk mampu disiapkan. Sebaliknya, saat ketandusan idea, diberi tempoh sebulan pun, belum mampu memikirkan idea bernas mengubah rupa perabot," katanya.

Masalah ini bagaimanapun, dianggap Aznol sebahagian cabaran kerjayanya. Justeru, untuk menanganinya, dia akan mengadakan perbincangan dengan pelanggan khusus mengenal pasti keperluan serta selera mereka.

Namun, apapun cadangan dikemukakan, kata Aznol, pada akhirnya permintaan dan arahan pelanggan diutamakan kerana mereka yang akan menggunakan perabot itu.

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::