Restoran Muar
(Post: Bahasa Melayu)
" Hidangan hirisan halus sayur kailan yang digoreng garing dalam minyak panas penuh itu amat sukar untuk saya lupakan. Tiada bawang putih atau merah sebagai perisa, sajian ringkas enak itu disedapkan dengan sedikit dedaun kari, mentega dan susu sejat Carnation. "
Seringkas mana sajian itu sekali pun, boleh dikatakan hampir semua pelanggan yang pernah menjamu selera di Restoran Muar itu akan meminta sajian tersebut dalam menu mereka.
"Kailan mentega ini harus dimakan panas-panas kerana rasa garing sajian ini sesuai dimakan bersama nasi putih," kata Dixie Lee yang merupakan salah seorang daripada pemilik Restoran Muar.
Cadangan Dixie itu nyata bersebab. Ini kerana daun kailan goreng yang dihidang panas menyerlahkan lagi aroma kesegaran sajian tersebut pada tahap yang berbeza.
Maka, tidak hairanlah apabila restoran yang cukup popular dengan sajian masakan keluarga atau home-cooked dari Muar dan Baba Nyonya itu menjadi buah mulut dalam kalangan warga kota.
Menawarkan senarai menu ringkas tetapi enak, Restoran Muar turut menghidangkan pelbagai sajian signatur yang lain.
Antaranya termasuk ikan goreng ala Thai, telur goreng kembar tiga, sambal petai udang dan sotong, asam kepala ikan dan otak-otak.
Sajian telur goreng kembar tiga juga digoreng dengan sisi yang garing dan kuning telur yang masih kekal cair.
Ikan goreng ala Thai pula dihidangkan bersama sos pedas istimewa yang dihasilkan menggunakan beberapa campuran bahan seperti bunga kantan, cili, serai dan bawang putih.
Menurut Dixie, majoriti menu yang ditawarkan oleh restoran berusia empat tahun itu adalah mengikut resipi pemberian seorang chef terkemuka di Muar.
"Sewaktu kecil, bapa sering membawa kami sekeluarga ke Muar, Johor untuk menjamu masakan Chef Chong Choi yang memang popular dengan otak-otak dan asam ikan."
"Jadi, pembukaan restoran ini pun dengan harapan agar ramai yang boleh merasai masakan tersebut berdasarkan resipi turun-temurun itu," katanya yang berasal dari Melaka.
Pihak pengurusan Restoran Muar juga memastikan daging ayam yang digunakan dalam masakan diperolehi daripada sumber yang telah disahkan halal.
Dengan lebih daripada 50 jenis pilihan sajian, adakah Restoran Muar berdepan dengan kesukaran mengawal tahap kualiti masakan?
Dixie berkata, soal kualiti tidak pernah timbul memandangkan hanya seorang chef utama yang mengemudi aspek masakan di restoran tersebut buat masa ini.
"Walaupun hanya seorang chef dan beberapa orang pembantu chef yang dipertanggungjawab untuk hal-hal memasak, kami sentiasa memastikan pelanggan tidak menunggu lama."
"Tempoh menunggu adalah sekitar 10 hingga 15 minit untuk setiap meja," tambahnya.
Dari aspek harga pula, Restoran Muar menawarkan promosi set hidangan untuk makan tengah hari dan malam yang cukup berbaloi.
Set hidangan yang merangkumi nasi putih, kepingan ikan asam, sambal sotong dan udang serta sayur untuk santapan dua hingga tiga orang hanya berharga RM25.90.
Bagi melengkapkan sesi menikmati makanan di restoran itu, pelanggan boleh mendapatkan semangkuk kecil cendol Nyonya Melaka pada harga RM1 sahaja.
Sumber: Kosmo! Online
0 comments:
Post a Comment