ATTENTION !!!

Tuesday, February 22, 2011

Bazaar Malam Reko Sentral

(Post: Bahasa Melayu)
" Koleksi jam tangan dan jam dinding kelihatan tersusun rapi di atas sebuah meja. Bagi jam yang terisi dengan bateri, jarum pendeknya sudah mengarah pada angka 12 malam. "

Namun, suasana di perkarangan Jalan Reko, Kajang tidak sunyi sebaliknya dipenuhi dengan cahaya lampu. Dari jauh sudah kedengaran suara seorang dejay mengucapkan selamat datang kepada pengunjung yang baru sampai.

Tidak lama kemudian, lagu-lagu rancak mula berkumandang dan mengiringi perjalanan pengunjung ke Bazaar Malam Reko Sentral itu. Di kiri kanan jalan dipenuhi dengan gerai jualan pelbagai barangan.

Kepelbagaian gerai yang ada membuatkan pengunjung rambang mata untuk membuat pilihan dan membeli barang yang dihajati.

Justeru, ada sesetengah pengunjung yang datang hanya untuk memerhati atau mencuci mata melihat kemeriahan bazar larut malam yang diwujudkan oleh Syarikat Jaringan Insan Berwawasan itu.

Dirasmikan pada 27 November 2010, Baazar Malam Reko Sentral itu mula mendapat perhatian daripada masyarakat di sekitarnya.

Menurut pengurusnya, Syaiful Anuar Ibrahim, 35, penganjuran bazar tersebut bertujuan untuk memberi peluang kepada peniaga-peniaga Melayu terutama golongan muda mencari rezeki melalui perniagaan.

Apa yang menarik tentang bazar tersebut adalah ia berkonsep Islamik kerana pihaknya turut mengadakan sesi ceramah dan tazkirah.

"Selain memanggil individu yang berkelayakan untuk menyampaikan tazkirah sebagai tanda peringatan kepada semua, kami juga memanggil golongan mahasiswa untuk memberi motivasi kepada pengunjung remaja mengenai kepentingan menuntut ilmu."

"Di samping itu, kami turut mengundang kumpulan nasyid untuk membuat persembahan dengan mendendangkan lagu-lagu berbentuk kerohanian dan dakwah," ujar Syaiful yang mengakui sambutan yang diterima setakat ini sangat menggalakkan.

Menceritakan lebih lanjut, Syaiful memberitahu banyak cabaran yang terpaksa dihadapi sebelum berjaya merealisasikan bazar tersebut.

Antaranya termasuklah mendapatkan keyakinan peniaga menjalankan perniagaan di bazar memandangkan ia sesuatu yang baru.

"Pada permulaannya kami hanya berjaya menarik kira-kira 80 peniaga sahaja. Tetapi Alhamdulillah, lama-kelamaan bazar ini mula mendapat perhatian daripada peniaga Melayu."

"Hingga kini, terdapat kira-kira 200 peniaga telah menyewa tapak untuk menjalankan aktiviti perniagaan di sini," jelas Syaiful yang turut melahirkan harapan agar semua pihak dapat memberi sokongan terhadap penubuhan bazar tersebut.

Perasmian bazar yang diilhamkan oleh Syaiful bersama dua lagi rakannya iaitu Razak Mia, 38, dan Fairuz Mohd. Nasir, 28, itu disempurnakan oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Datuk Hassan Nawawi.

Pengunjung Terhibur

Sementara itu, seorang pelanggan Zaida Othman, 38, ketika ditemui berkata, dia seronok sewaktu kunjungan kali pertama ke bazar tersebut.

"Boleh dikatakan semua barang yang kita hajati ada di bazar ini. Harganya pula berpatutan hingga membuatkan saya sukar membuat pilihan," katanya yang datang bersama seorang rakan.

Bagi Ku Nor Aishah Ku Mohd. Bashah, 21, dia mengetahui kewujudan Bazaar Malam Reko Sentral melalui rakan sekerja. Lantaran itu, dia tidak mahu melepaskan peluang untuk melihat sendiri kemeriahan bazar tersebut.

Ternyata, Aishah juga sependapat dengan Zaida. Malah, anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu turut melahirkan rasa teruja apabila melihat deretan gerai yang mengambil bahagian.

"Sambil membeli-belah, pengunjung seperti kami turut terhibur dengan celoteh dejay yang bertugas di samping mendengar lagu-lagu yang diputarkan," tutur Aishah sambil ligat membelek koleksi selendang di sebuah gerai.

Apa yang pasti, penganjuran bazar larut malam di Jalan Reko itu menyuntik nafas baru di kawasan berkenaan yang sebelum ini sunyi daripada sebarang aktiviti.

Kepada mereka yang mahu menyewa tapak di bazar tersebut, sila hubungi Syaiful di talian 017-3997369 atau terus ke bazar itu bagi melihat sambutan daripada penduduk setempat.

Yuran pendaftaran sebanyak RM350 dikenakan dan tambahan RM150 untuk pemasangan khemah serta bekalan elektrik.

Bazar ini dibuka setiap hari bermula pada pukul 10 malam hingga 3 pagi.

Sumber: Kosmo! Online

Bookmark and Share

1 comments:

Hanis Azla February 22, 2011 at 7:20 PM  

setiap minggu lalu kat depan bazaar ni.. tp tak pernah lg singgah..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::