ATTENTION !!!

Sunday, January 9, 2011

Pintu Berukir Khazanah Masa

(Post: Bahasa Melayu)
" Sukarnya mencari pintu yang unik dan berlainan daripada kebiasaan di pasaran. Pilihan pintu yang ada pula terbatas dan tidak menepati kehendak hati. Jika sebelum ini, dia teliti menghasilkan rumah mengikut cita rasa pelanggan, sudah pastilah dia lebih cerewet dalam memberi sentuhan untuk setiap sudut dan penjuru rumah sendiri. "

Daripada mahu mencari pintu untuk rumah sendiri, timbul idea untuk arkitek, Mariyah Pit, 54, mengusahakan perniagaan tempahan pintu berukir bagi menampung kekurangan yang ada dalam bidang seni bina.

Meneroka perniagaan sejak tiga tahun lalu, Pengarah Urusan Khazanah Masa Sdn Bhd itu mendapat tempahan pintu berukir pertama daripada bekas menteri pelajaran selepas cadangan yang diusulkan kepada beberapa pelanggan tidak menerima maklum balas positif.

"Sebenarnya bukan mudah untuk menggalakkan pelanggan memilih pintu kayu berukir walaupun saya melakar pelan rumah banglo. Sesetengahnya memberi alasan pintu kayu berukir susah untuk dijaga dan mudah berhabuk," katanya.

Pengalaman kerja sebagai arkitek sejak 20 tahun lalu banyak membantu Mariyah membangunkan bidang perniagaan pintu ukiran kayu yang jarang diceburi usahawan lain.

"Nilai seni semakin pupus dan tidak dihargai. Dulu, orang istana menggunakan ukiran kayu bagi membezakan mereka dengan orang biasa. Disebabkan tidak ramai meminati seni ukiran kayu, ia boleh jadi sesuatu yang eksklusif tetapi boleh dihargai orang muda."

"Malaysia mempunyai potensi untuk mengembangkan bidang seni ukiran kayu iaitu bukan saja untuk pintu, tetapi juga dinding hiasan, panel dan bidai."

"Jika tidak sukakan hiasan yang sarat, cukup hanya menyelitkan sedikit elemen seni ukiran kayu pada hiasan rumah. Misalnya, bagi masyarakat Jawa, miskin atau kaya, mereka mesti ada pintu ukir," katanya.

Menurutnya, menghasilkan pintu ukiran kayu bukan kerja mudah dan tempahan disiapkan dalam tempoh satu hingga tiga bulan bergantung kepada jenis ukiran.

Kerja mengukir juga tidak boleh dilakukan terburu-buru kerana kerja tangan memerlukan ketelitian.

Mensasarkan pemilik rumah sebagai pelanggan, Mariyah menawarkan lebih 20 motif ukiran kayu selain turut menghasilkan ukiran mengikut idea pelanggan. Harga ditentukan mengikut ukiran, jenis kayu, ketebalan dan saiz.

"Kayu benda hidup dengan warna semula jadi. Ia cantik dengan urat yang mempunyai nilai seni. Masyarakat Cina gemar memilih bahan daripada alam semula jadi seperti kayu dan batu dalam menata hias rumah mereka," katanya.

Daripada pemerhatiannya, golongan berusia sukakan produk lebih halus dan berseni, manakala orang muda dengan pilihan lebih ringkas. Di samping itu, tidak ramai golongan muda sanggup mengeluarkan duit untuk membeli pintu yang dihiasi elemen seni.

"Hasrat saya ialah mencelikkan mata masyarakat supaya meminati karya seni ukir kayu untuk rumah selain menggalakkan anak muda meminati seni ini supaya ia tidak pupus ditelan masa," katanya.

Ibu empat anak itu mendapat ijazah dalam bidang seni bina di University of New Castle, Australia, sebelum memulakan khidmat sebagai arkitek di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur selama lapan tahun.

Antara bangunan yang pernah direka ialah projek perumahan rakyat, dewan dan kompleks sukan. Lapan tahun bekerja makan gaji, Mariyah memulakan perniagaan sendiri dengan menumpang di pejabat rakan.

"Sebenarnya saya bukanlah bercita-cita tinggi. Niat saya pada mulanya inginkan masa bersama keluarga. Dengan berniaga sendiri, saya ada masa untuk menghantar dan mengambil anak dari sekolah serta memasak," katanya.

Dia memulakan perniagaan dengan modal RM5,000. Wang itu digunakan untuk menyewa ruang di pejabat rakan di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, membeli sebuah meja, komputer, mesin faksimili serta mesin fotokopi.

Suaminya, Noor Hisham, yang juga arkitek, masih bekerja di Jabatan Kerja Raya (JKR) ketika Mariyah memulakan bisnes sebagai jaminan seandainya perniagaan menghadapi masalah.

Sememangnya dia langkah kanan ketika menceburkan diri dalam perniagaan. Disebabkan arkitek yang dilantik untuk mereka bentuk Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya menghilangkan diri, dia mendapat projek berkenaan. Projek pertama itu menerima bayaran lumayan iaitu melebihi setengah juta ringgit.

"Adat berniaga, ada masa mewah dan ada ketika perlahan. Ketika mewah, saya menyimpan wang untuk tabungan masa susah."

"Sehingga kini perniagaan saya masih bertahan kerana sentiasa beringat membuat simpanan. Tidak pernah saya tidak membayar gaji pekerja. Kalau ada lebih, saya beri bonus," katanya.

Sumber: myMetro
Foto: Khazanah Masa

Bookmark and Share

1 comments:

cicitHJHASSANu January 9, 2011 at 4:59 PM  

salam tuan...

menarik juga info nih...susah jgk nk dapat kayu asli skang ni

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::