ATTENTION !!!

Thursday, February 19, 2009

Pengusaha Budu Resepi Tradisi

(Post: Bahasa Melayu)
"Budu keluaran syarikatnya yang dikenali sebagai Pati Bilis Sejati dan Selera Kampung Cap Petai itu mendapat sambutan menggalakkan dengan kadar pengeluarannya mencecah sehingga 24,000 botol sebulan."

Budu sememangnya terkenal sebagai antara satu makanan tradisi masyarakat di Pantai Timur khususnya di Kelantan sejak zaman berzaman dan bagi Hamidah Mohd Amin, 40, budu jugalah yang mengubah nasib mereka sekeluarga.

Pengusaha budu berasal dari Kampung Hujung Repek, Bachok, Kelantan, ini sudah berkecimpung dalam industri pembuatan budu sejak lebih 18 tahun lalu menggunakan resipi tradisi warisan bapanya Mohd Amin Jenal, 70, dan namanya sudah cukup sinonim dengan masyarakat di negeri itu.

"Sebelum membuka kilang budu, saya dan suami, Mohd Asri Mokhtar, 42, menjalankan perusahaan memproses kicap, tetapi tidak bertahan lama sebelum beralih kepada perusahaan budu."

"Berbekalkan modal awal sebanyak RM12,000, saya hanya menjalankan perusahaan ini bersama keluarga, sebelum mengembangkan perniagaan secara komersial," katanya.

Jelasnya, bukan mudah untuk menghasilkan makanan unik ini, apatah lagi cabaran untuk mengekalkan mutu rasanya kerana jika tersilap ramuan ia boleh merosakkan keasliannya.

Hamidah memasak budu menggunakan cara tradisional iaitu dapur kayu bagi mengekalkan rasa budu berkualiti tinggi, kaedah sama yang digunakan sejak dulu.

"Rahsia untuk menghasilkan budu yang berkualiti tinggi adalah terletak pada tempoh ia diperam, cara memasak dan ramuan digunakan. Ramuan perlu menepati timbangan ditetapkan kerana ia akan menentukan rasa dan kualitinya," katanya.

Hamidah berkata, syarikatnya mengeluarkan dua jenis budu yang berbeza, iaitu budu rasa asli tidak dicampur dengan perasa serta pewarna serta budu biasa. Bezanya budu asli warnanya agak kehitaman.

Kini, ibu kepada empat anak ini mampu tersenyum bangga apabila budu keluarannya turut menembusi pasaran Thailand.

"Budu ini dijual dengan harga antara RM1 hingga RM1.70 sebotol. Saya bersyukur dengan perusahaan ini, saya mampu menampung kehidupan keluarga dan memenuhi impian untuk memiliki kereta dan rumah idaman."

"Lebih membanggakan, perusahaan ini sebenarnya memberi peluang pekerjaan kepada penduduk sekitar kampung ini. Sehingga kini kami mempunyai 20 pekerja, semuanya penduduk kampung ini," katanya.

Sumber: Berita Harian Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::