ATTENTION !!!

Sunday, October 31, 2010

T-Shirt Ilham Muslimah

(Post: Bahasa Melayu)
" Suatu ketika dulu, wanita bertudung tidak ada banyak pilihan untuk bergaya dengan kemeja-T berlengan panjang. "

Berbanding kemeja-T berlengan pendek, pilihan untuk bergaya memang luas kerana selain menampilkan potongan mengikut susuk yang tampak kemas dan cantik, ia juga ada pelbagai corak serta tata rona menarik dan jelas memperlihatkan gaya feminin.

Gaya dan rekaan fesyen kemeja-T seperti itu sudah tentu lebih sesuai untuk wanita yang tidak bertudung.

Pembekal dan pemborong kemeja-T dan busana Muslimah, Ilham Muslimah, Sharifah Norita Syed Abdullah, berkata bagi wanita bertudung, khususnya yang begitu prihatin menutup bahagian tubuh yang tidak boleh diperlihatkan kepada bukan mahram, pastinya tidak menyenangi fesyen kemeja-T berlengan pendek seumpama itu sekali pun fesyen, corak dan tatarona diketengahkan memenuhi cita rasa wanita.

"Kemeja-T adalah antara pilihan sesuai untuk individu itu bergaya kasual atau santai, tidak kira lelaki mahupun wanita. Ini kerana ia lebih ringkas dan mudah digayakan."

"Tetapi dulu kerana tiada pilihan, untuk gaya santai wanita bertudung lazimnya lebih senang memilih blaus atau pun kemeja-T berlengan panjang yang dipakai lelaki iaitu berpotongan lurus dan didatangkan dalam corak sederhana tanpa langsung mempunyai ciri feminin."

"Apabila fesyen sarung tangan untuk menutup bahagian lengan mula diperkenalkan, barulah kemeja-T berlengan pendek yang mengetengahkan gaya dan citra wanita menjadi pilihan mereka yang bertudung kerana ia boleh dipadankan dengan sarung tangan berkenaan bagi menutup bahagian lengan yang terdedah."

"Tambahan pula, ada sarung tangan didatangkan dalam rekaan menarik seperti disatukan dengan renda cantik dan sebagainya. Cara pemakaian seperti itu sememangnya memberikan pilihan untuk wanita bertudung bergaya, tetapi tidak begitu praktikal dan memberikan keselesaan si pemakai," katanya.

Sharifah Norita berkata, tidak berapa lama selepas itu inner (pakaian dalam) berlengan panjang pula diketengahkan bagi membolehkan ia dipadankan dengan kemeja-T berlengan pendek dan menjadi pilihan untuk wanita bertudung bergaya.

Hakikatnya walaupun bertudung naluri wanita untuk bergaya cantik memang sentiasa wujud dalam diri. Justeru, tidak hairanlah pelbagai idea kreatif difikirkan untuk wanita bertudung bergaya dan turut sama menikmati aliran fesyen terkini.

"Inner diperkenalkan sekurang-kurangnya memberikan pilihan dan peluang kepada wanita bertudung untuk menggayakan kemeja-T lengan pendek yang tidak dinafikan kebanyakan fesyen rekaannya mengikuti aliran terkini. Tetapi, ada yang berasa tidak selesa dan rimas apabila terpaksa menyarungkan dua pakaian dalam satu masa. Lebih-lebih lagi, dalam cuaca panas, tentu berasa tidak begitu selesa," katanya.

Sharifah Norita berkata, memahami senario itu Ilham Muslimah, memperkenalkan koleksi kemeja-T berlengan panjang yang cocok untuk dipakai wanita bertudung, khusus bergaya santai.

Koleksi kasual diketengahkan memenuhi aspirasi wanita bertudung bergaya kerana selain menampilkan ciri busana muslimah, rekaan ditampilkan juga mengikut aliran terkini seiring dengan fesyen kemeja-T berlengan pendek.

Koleksi kemeja-T ditampilkan memperlihatkan pelbagai gaya potongan menarik yang menjurus rekaan feminin dan menyuntikkan ilham lebih segar serta memikat.

Si pemakai juga tampak lebih cantik dan bergaya terutama jika bijak suai padankan koleksi pakaian berkenaan dengan seluar jeans, skirt atau pun celana panjang lain.

Koleksi kemeja-T Ilham Muslimah bukan saja berlengan panjang malah labuh menutup punggung.

Untuk pilihan lebih luas, koleksi didatangkan dalam variasi gaya fesyen, dengan corak atau tata rona menawan, dari yang polos hinggalah bercorak seperti bunga dan jalur. Malah, koleksi berkenaan tidak memperlihatkan kemeja-T yang ketara, sebaliknya tampak seperti blaus.

Kebanyakan koleksi juga tidak dibiarkan polos tetapi diberikan sentuhan lebih kreatif seperti diadunkan dengan dua atau lebih rona dalam rekaan, dihiasi butang atau kocek dan juga ada tambahan jahitan lisu berlipat pada bahagian depan dan dada baju berkenaan.

Begitu juga pada bahagian lengan, sesetengah koleksi menampilkan potongan kreatif yang memberi impak lebih segar dan bergaya.

Bagi memberikan lebih keselesaan pada si pemakai, koleksi pakaian itu didatangkan dalam material bermutu iaitu lembut dan tidak terlalu tebal.

Terdapat lebih 30 rekaan yang diketengahkan dan ia dijual pada harga RM42 ke atas.

Koleksi Ilham Muslimah dijual secara borong dan boleh diperoleh dengan melayari laman web Ilham Muslimah.

Sumber: Berita Harian Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::