ATTENTION !!!

Wednesday, October 20, 2010

Dari Akaun ke Fotografi

(Post: Bahasa Melayu)
" Benar kata orang, jika sudah ada minat disusuli iltizam dan kerja kuat, impian pasti tercapai. "

Inilah yang dilalui anak muda dari pekan Tanjung Karang, Selangor. Berbekal minat yang mendalam, graduan jurusan akaun Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini memberanikan diri membuka sebuah kedai gambar di Tanjung Karang untuk menawarkan pelbagai khidmat fotografi kepada penduduk setempat.

Bagi Suzaini Sulaiman, 37, anak jati Tanjung Karang, kedai gambar yang diusahakannya bukan sekadar tempat mencari sumber rezeki semata-mata.

"Saya berhasrat membuka kedai ini selepas menyedari minat saya adalah dalam bidang fotografi. Alhamdulillah, akhirnya pada 2008, impian saya bagi membuka sebuah kedai gambar milik Melayu untuk berbakti kepada masyarakat akhirnya menjadi nyata."

"Pada peringkat awal, saya tidak memikirkan sangat soal keuntungan kerana saya mahu menambah ilmu dan mencari pengalaman sebagai jurufoto," katanya ketika ditemui di kedai gambarnya, Snapdigital di Taman Ria Emas, Tanjung Karang.

Antara perkhidmatan yang ditawarkan Snapdigital ialah rakaman di studio fotografi, merakam gambar pengantin pada hari persandingan, majlis rasmi dan cuci gambar selain pelbagai bingkai, album, kamera dan aksesori yang dijual.

Suzaini yang mendapat pendidikan di UiTM, Segamat, Johor, menamatkan pengajian pada 1994 sebelum mula bekerja sebagai Pegawai Bekalan Input Persatuan Nelayan Kuala Selangor pada 1999.

Bagaimanapun, katanya, minat yang mendalam dalam bidang fotografi menyebabkan beliau beralih arah untuk mengejar cita-citanya sebagai jurufoto terkenal pada suatu masa nanti.

Justeru, bersandarkan azam 'jadikan terbaik, cari formula terbaik', Suzaini banyak menghadiri kursus fotografi anjuran Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan kursus berbayar lain bagi memantapkan kerjaya baru pilihannya itu.

"Saya tidak mempunyai asas dalam jurusan fotografi. Jadi, saya perlu banyak menambah ilmu pengetahuan untuk memenuhi kehendak pelanggan dan memberi perkhidmatan terbaik kepada mereka," katanya.

Suzaini bagaimanapun bukan saja menggenggam harapan untuk membuka cawangan di beberapa kawasan sekitar, malah berhasrat membuka pusat pembelajaran fotografi serta kelab fotografi Tanjung Karang untuk anak muda di kampungnya.

"Saya mahu berkhidmat kepada masyarakat terutama anak muda kampung kerana berpendapat bidang fotografi ini mampu membina kerjaya malah memberi pendapatan lumayan jika dapat dimanfaatkan sebaik mungkin," katanya.

Anak kepada pasangan Sulaiman Yusof, 74 dan Siti Asa Ahmad, 68, berkata bukan mudah baginya untuk membuka perniagaan fotografi dan bersaing dengan peniaga Cina yang sinonim dengan kedai gambar.

Malah stigma masyarakat yang sering memandang rendah hasil kerja anak Melayu dijadikan sebagai cabaran dalam kehidupan sebagai anak seni.

"Kadang-kadang saya kecewa dengan masyarakat yang tidak memberi peluang kepada saya membuktikan saya juga mampu menghasilkan gambar bermutu," katanya sambil menambah isterinya, Siti Nor Aishah Ahmad, 30, banyak memberi dorongan supaya terus tabah menghadapi rintangan dalam perniagaan.

Suzaini berkata, beliau juga sering berfikir di luar kotak pemikiran bagi mendapatkan idea kreatif dan unik dengan memegang falsafah 'bukan senang untuk menjadi senang tanpa usaha berganda dan tawakal kepada Tuhan'.

Bermodalkan RM140,000, Suzaini nekad memohon bantuan kewangan daripada MARA dan TEKUN untuk membeli mesin cuci gambar serta mengubah suai kedai, studio dan perkakasan fotografi.

"Kedai saya menggunakan mesin cuci gambar jenis Fujifilm dan harga yang ditawarkan lebih murah berbanding kedai lain. Sebagai peniaga saya lebih suka mengambil sikap mesra terhadap pelanggan walaupun mereka datang ke kedai saya hanya untuk mencetak sekeping gambar atau kertas saja kerana saya percaya mereka adalah lubuk rezeki saya."

"Tidak salah berbaik dengan orang. Paling penting kita perlu sentiasa senyum dan bersangka baik," katanya.

Suzaini pernah memenangi tempat pertama dalam Pertandingan Fotografi Pengembaraan Kementerian Pelancongan Malaysia Photo Festival pada 2005 menerusi gambar kanak-kanak melangkah batu kecil ketika menyusuri banjir pada Aidilfitri.

Kemenangannya itu membolehkannya membawa pulang wang tunai RM3,000, kamera digital dan sijil penghargaan.

Sumber: Berita Harian Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::