Nasi Kukus Ayam Dara Sri Tradisi
(Post: Bahasa Melayu)
" Selain menu popular seperti nasi lemak, nasi minyak dan nasi dagang, hidangan nasi kukus kini kian mendapat tempat di hati masyarakat Malaysia. Ini kerana di samping rasanya yang enak dan aromanya begitu menyelerakan, orang ramai tidak perlu menunggu lama ketika membeli juadah itu. "
Dengan hidangan berasaskan nasi yang dikukus, pelbagai rempah-ratus dan ayam goreng, penyediaan makanan ini dapat disiapkan secara cepat dan mudah.
Cara nasi kukus dihidangkan juga unik kerana ia akan dibungkus dengan kertas dan daun pisang tanpa menggunakan pinggan tidak kira sama ada para pelanggan mahu menikmatinya di restoran atau dibawa pulang.
Dengan pelbagai kelebihan itu, tidak hairanlah jika restoran dan gerai yang menawarkan nasi kukus tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan di merata tempat.
Jika singgah di bandar Kuantan, Pahang dan teringin menikmati hidangan tersebut, orang ramai boleh bertandang ke Terpilih Food Court, sebuah medan selera yang terletak di Hentian Rawat dan Rehat (R&R) lama di Kampung Pandan 2, Jalan Kuantan-Pintasan Pelabuhan.
Di medan selera itu, mereka boleh mencuba kelainan nasi kukus yang disediakan dengan sentuhan istimewa terutama dari aspek penyediaan rempah-ratus dan cara masakannya.
"Kami memperkenalkan nasi kukus ayam dara Sri Tradisi kepada para pelanggan sebagai menu utama di Terpilih Food Court."
"Keistimewaan nasi kukus di sini sudah tentu terletak kepada resipinya yang diperoleh oleh keluarga kami secara turun-temurun dari Istana Kelantan memandangkan saya sendiri mempunyai pertalian saudara dengan kerabat negeri itu," kata Mustafa Ibrahim, 56, pemilik medan selera berkenaan.
Dijual pada harga semurah RM5.50 bagi sebungkus nasi kukus ayam dara Sri Tradisi, para pelanggan tidak perlu untuk memesan air minuman jika makan di situ.
"Kami mengadakan promosi sepanjang masa dengan memberikan pelanggan segelas teh O atau teh O ais kepada mereka yang membeli hidangan ini," katanya.
Terpilih Food Court yang beroperasi sejak bulan Julai tahun lalu dibuka seawal pukul 8 pagi hingga pukul 2 pagi setiap hari.
Sumber: Kosmo! Online
0 comments:
Post a Comment