ATTENTION !!!

Saturday, May 15, 2010

Restoran Kak Eita Sup Ekor Stimbot

(Post: Bahasa Melayu)
" Sup stimbotnya istimewa dan lain daripada yang lain. Kelainan ditawarkan, iaitu sup ekor stimbot, kuat memancing perhatian penggemar menjejakkan kaki ke Restoran Kak Eita Sup Ekor Stimbot di Seksyen 2, Wangsa Maju. "

Menariknya, pelanggan boleh memilih lebih 50 jenis makanan laut segar, selain ayam, daging, sayuran dan bebola untuk dinikmati dalam periuk air rebusan panas di tengah meja makan.

Restoran di bangunan tiga tingkat berkonsep suasana kampung dan santai dibuka sejak tiga tahun lalu menawarkan stimbot sebagai menu utama selain pelbagai masakan Melayu tradisional dan cita rasa Thai.

Pemiliknya, Norita Mohd Khalid berkata, inisiatif memperkenalkan stimbot dengan kuah sup ekor ialah bagi memberi pilihan kepada pelanggan kerana jarang ada konsep seumpama itu.

"Tempat lain mungkin tiada sup ekor menyebabkan pelanggan baru berkeinginan mencuba, manakala pelanggan tetap suka memesan kerana menggemari rasanya. Ada tiga jenis sup pilihan, termasuk sup ayam dan tom yam," katanya.

Menurutnya, makanan laut segar didatangkan dari Pulau Besar, Melaka. Selain hidupan laut biasa didapati seperti ketam, udang, kupang dan pari, restoran itu menawarkan lokan, kepah, pepahat, sotong kembang, siput cangkul dan siput halia.

Jenis sayuran pilihan ialah sawi, bayam, kangkung, kubis panjang, pak choy, cendawan enoki dan cendawan putih serta fucuk.

Bagi menikmati stimbot mengikut selera sendiri, bayaran RM28.80 dikenakan untuk pelanggan dewasa manakala kanak-kanak dari empat hingga 12 tahun sebanyak RM10 seorang untuk hidangan bufet.

Ada juga nasi dan lauk-pauk, barbeku, ikan bakar, lamb chop, chicken chop serta aiskrim untuk kanak-kanak.

Pelanggan juga boleh memilih set stimbot untuk makan dua orang berharga RM26.80 atau tiga orang (RM40.20) iaitu pilihan lauk yang disediakan restoran.

Tingkat bawah yang dibuka untuk pelanggan mampu memuatkan 90 orang dalam satu masa manakala tingkat dua dikhususkan untuk tempahan bagi acara, jamuan atau mesyuarat.

Resipi masakan Restoran Kak Eita dikenali lebih 30 tahun lalu di sekitar Alor Gajah, Melaka. Keluarga Norita menjalankan perniagaan makanan dengan resipi turun-temurun neneknya.

Untuk tengah hari, menu masakan turut disediakan dalam set seperti set ayam, kambing, daging dan set makanan laut yang dihidang bersama sayuran, begedel, sup dan pencuci mulut.

Set kari dengan pilihan pari atau kembong manakala set asam pedas sama ada kembong, pari atau tenggiri. Ia dihidang percuma dengan teh o ais atau sirap.

Sumber: myMetro

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::