Gubahan Bunga The Persada
(Post: Bahasa Melayu)
" Lelaki dalam bisnes gubah bunga? Seni kreatif ini bukan lagi asing dikuasai lelaki seperti bidang masakan serta solekan. Zul Mohd, pemilik The Persada nyata mewakili lelaki urban yang meneroka dunia aneka warna bunga-bunga. "
Keputusan Zul Mohd meletak jawatan baik di syarikat pengeluar minyak terkenal nyata tepat. Lima tahun bertugas dalam dunia petrol sebagai Pembantu Operasi di Petronas, sudah memadai bagi dirinya meneroka dunia perniagaan.
Memilih nama The Persada, anak muda berusia 33 tahun ini nekad menawarkan khidmat gubahan bunga biarpun pada awalnya, beliau sendiri tidak mahir dan masih kekok menyunting serta menggubah aneka bunga.
"Pada peringkat awal, saya menawarkan khidmat menggubah bunga secara sampingan dan kecil-kecilan. Namun, akhirnya saya percaya dengan rezeki yang ada serta potensi dalam perniagaan ini."
"Saya nekad berhenti makan gaji dan menceburi dunia perniagaan selepas melihat ada potensi besar dalam perniagaan gubahan bunga segar," katanya yang memulakan perniagaan di sebuah lot kedai kecil di bangunan Bangkok Bank di Kuala Lumpur pada 2006.
Ditanya mengapa perniagaan berteras gubahan bunga segar menjadi pilihan, Zul Mohd berkata, beliau bertuah memiliki kenalan yang mahir menggubah bunga dan mendorongnya menceburi perniagaan sama.
Biarpun pada peringkat awal, Zul Mohd tidak mahir menggubah bunga, beliau kini sudah mampu melakukan pelbagai jenis gubahan bunga.
"Tiada yang sukar dalam kehidupan ini. Asalkan kita mempunyai minat dan azam, memang tidak mustahil untuk berjaya. Seperti The Persada, bukanlah mudah untuk berada di tahap sekarang. Kami bermula dari bawah hinggalah mampu meyakinkan pelanggan."
"Alhamdulillah, The Persada sekarang mampu memiliki kedai sendiri di Ampang Hilir. Kami menawarkan pelbagai servis selain menggubah bunga termasuk rekaan pelamin, acara perkahwinan, majlis hari jadi serta pelbagai acara lain," katanya.
Mengapa anda sanggup melepaskan jawatan di syarikat terkenal biarpun pendapatan yang diterima ketika itu cukup lumayan?
Tidak dinafikan kedudukan dan pengalaman kerja ketika itu sudah dianggap lumayan. Tetapi, saya jenis yang berminat untuk berniaga. Tidak mahu terus berada dalam kepompong sama dengan bekerja makan gaji, sebab itulah saya mula berfikir untuk memulakan perniagaan sendiri.
Bagaimana cabaran mengusahakan syarikat menggubah bunga pada peringkat awal?
Cabarannya memang cukup besar. Ini kerana, The Persada bermula daripada bawah. Pada peringkat awal dulu, saya hanya menerima tempahan untuk jambangan bunga hari jadi.
Dari situ, terbuka banyak peluang lain hinggalah diberi kepercayaan menggubah pelamin yang dihiasi bunga segar dan pelbagai jenis gubahan lain.
Tidakkah anda berasa kekok menceburi bidang kreatif yang selama ini didominasi wanita?
Hari ini, tiada yang mustahil untuk berjaya. Ini kerana potensi yang terbuka luas dalam perniagaan gubahan bunga. Bagi saya, asalkan kita minat dan ingin berjaya dalam hidup itulah yang harus diutamakan.
Cabaran daripada pesaing sedikit sebanyak memberikan kesan. Bagaimana The Persada mencuri tumpuan pelanggan untuk memastikan syarikat ini terus menjadi pilihan?
Selain mempelbagaikan rekaan dan gubahan bunga, saya banyak membuat rujukan dari majalah dan mempelajari teknik terbaru. Saya sendiri bertindak sebagai wakil pemasaran untuk The Persada bagi memastikan pihak luar melihat keupayaan syarikat ini.
Apakah strategi yang dilakukan The Persada untuk terus relevan?
Dalam tempoh lima tahun ini, kita cuba untuk memasarkan jenama ini termasuk menaja acara besar seperti Anugerah Juara Lagu (AJL), menawarkan pakej pelamin hinggalah kepada acara lain dengan matlamat memastikan pelanggan puas.
Bagaimana dengan bekalan bunga segar?
Saya mendapatkan bekalan bunga segar secara terus dari Cameron Highlands dan menyimpannya dalam bilik sejuk untuk memastikan kesegaran. Setakat ini, seramai tiga pekerja tetap ditugaskan menggubah bunga setiap hari.
Apabila ada projek besar, kami akan dapatkan pekerja bantuan.
Pada pandangan anda, apakah jenis bunga popular untuk gubahan bunga segar?
Bunga yang sentiasa popular semestinya bunga mawar selain lili, mawar puding, orkid, daisy dan kekwa. Pada waktu ini, saya banyak menekankan pelanggan untuk merias bunga segar yang digandingkan dengan daun.
Trend sekarang kurangkan bunga kecil, sebaliknya dilebihkan daun dalam gubahan.
Sasaran masa depan anda?
Semestinya, kami mahukan pencapaian lebih baik selain mendapat kontrak yang lebih besar bagi mengukuhkan lagi The Persada. Pada masa sama, saya merancang meluaskan bisnes kasut dan memiliki kiosk kasut di pusat beli belah.
Dalam rancak bercerita mengenai The Persada yang kini berusia lima tahun, Zul Mohd berbicara soal peluang yang diberi kepada syarikatnya untuk mengindahkan pejabat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan gubahan bunga segar.
Kata Zul Mohd, syarikatnya diberi kepercayaan menyediakan jambangan bunga segar menghiasi ruang peribadi dalam pejabat rasmi Perdana Menteri.
The Persada juga menyediakan gubahan bunga untuk ditempatkan di beberapa bilik lain di Pejabat Perdana Menteri bagi memastikan keselesaan dan imej prestij premis berkenaan.
Ditanya bagaimana The Persada mendapat kepercayaan besar menghiasi pejabat pemimpin negara itu, Zul Mohd mengakui pihaknya cukup berbesar hati dan berasa cukup bertuah dipilih melakukan tugas itu.
"Selalunya, kami akan bertukar konsep jambangan bunga sama ada bunga mawar, bunga lili mahupun bunga orkid bergantung pada situasi dan kesesuaian acara," katanya.
Ditanya bunga pilihan Perdana Menteri, Zul Mohd berkata, Perdana Menteri tidak cerewet mengenai jenis bunga atau warna bunga asalkan gubahan bunga segar yang diletakkan itu menarik serta sesuai dengan persekitaran.
Sumber: Berita Harian Online
0 comments:
Post a Comment