ATTENTION !!!

Sunday, December 20, 2009

Gambus Grreng Grreng Enterprise

(Post: Bahasa Melayu)
"Dibayangi ahli keluarga yang bergiat di bidang seni membuatkan Dayang Noraidah Mohamad Wali memikirkan sesuatu untuk latar perniagaannya terutama dalam mempertaruhkan nilai seni tradisi supaya tidak luput ditelan zaman."

Hobinya yang gemarkan muzik tradisi mendorong wanita ini membuat anjakan tersendiri dalam diri untuk menjadikan gambus sebagai titik tolak penting perniagaan yang dijananya.

Meninggalkan bidang perundangan semata-mata mahu memberikan nilai komersial terhadap aspek kesenian memberi inspirasi baru kepada wanita berusia 29 tahun ini melakukan sesuatu terhadap alatan muzik tradisi.

Mengorak langkah bermodalkan RM50,000, dia menubuhkan syarikat yang diberi nama Grreng Grreng Enterprise bersama empat rakan kongsi dengan keazaman gigih untuk muncul sebagai wanita pertama di Malaysia menceburi perniagaan berasaskan gambus.

"Sehingga kini syarikat saya menghasilkan 20 gambus sebulan atas permintaan orang ramai. Mengaplikasikan kayu tempatan yang berkualiti serta penggunaan mesin yang ada, saya yakin perniagaan ini boleh pergi lebih jauh."

"Untuk penghasilan dalam skala lebih besar, sudah tentu memerlukan suntikan modal lebih. Tanpa bantuan modal mana-mana pihak termasuk institusi kewangan atau kerajaan, hanya ini yang mampu dilakukan."

"Jika banyak permintaan daripada mereka yang terbabit dalam industri muzik, tentunya ia memerlukan suntikan modal lebih besar dan tambahan mesin yang lebih canggih untuk menggantikan yang lama."

"Saya amat berharap pihak tertentu turut membantu dari segi sokongan moral atau dana tertentu untuk membantu usahawan Bumiputera supaya seni warisan ini tidak terbiar begitu saja," katanya.

Beroperasi di ruang kedai terletak di Ampang Waterfront, Jalan Bukit Belacan, Ampang, Dayang Noraidah meletakkan harapan tinggi untuk melihat seni pembuatan gambus terus dikembangkan pencinta budaya dan seterusnya membuka mata pelbagai pihak terhadap apa yang dilakukannya.

Melihat penghasilan gambus daripada beberapa pekerja yang pakar dalam bidang masing-masing, dia bukan hanya memberi tumpuan terhadap proses pembuatan semata-mata.

Sebaliknya, dia menjangkakan akan lahir kelas mengajar cara bermain gambus yang betul tidak lama lagi selain pakej untuk mereka yang berminat mempelajari seni pembuatan gambus.

Berasa bertuah kerana sepanjang menguruskan perniagaan itu, dia tidak bersendirian.

Sebaliknya, suaminya, Zahar Hussein turut memberi suntikan semangat kepadanya demi merealisasikan impian untuk menjadi usahawan gambus yang berjaya.

"Pengalaman suami sebagai kontraktor dimanfaatkan dalam menjayakan cita-cita saya untuk meletakkan gambus sebagai satu sumber mata pencarian. Tambahan pula, suami berasal dari Johor dan sering terdedah dengan seni pembuatan gambus di negerinya."

"Melihat kepada ekonomi yang kurang memberangsangkan, suami dan saya terpanggil untuk menyumbang sesuatu terutama dalam industri pembuatan gambus yang jarang diterokai. Ternyata, percaturan kami tidak silap untuk melonjakkan gambus sebagai satu daripada cabang perniagaan."

"Memikirkan alatan muzik tradisional seperti gambus kurang dihayati masyarakat hari ini, kami mahukan satu anjakan dalam perniagaan dan seni. Lalu kami menggabungkan dua nilai itu dengan memilih untuk memulakan kelas belajar gambus dan cara pembuatan alat muzik tradisional itu."

"Kami turut mengadakan kelas berkaitan dram, keyboard dan gitar manakala kebanyakan tenaga pengajar terdiri daripada mereka yang profesional dalam bidang masing-masing," kata wanita yang berdarah Melayu-Brunei ini dengan bersemangat.

Sesibuk mana pun wanita, dia masih turun ke dapur untuk suami, malah tugas sebagai usahawan tidak membataskannya bergelar ibu terbaik buat anaknya.

"Sementara Faiz masih kecil, saya mampu memberi tumpuan sepenuhnya dalam perniagaan ini. Kalaupun suami sibuk dengan perniagaannya, saya dan rakan kongsi masih memberi komitmen sepenuhnya untuk menjadikan perniagaan ini sesuatu yang menarik."

"Sesuatu yang menyeronokkan apabila melakukan sesuatu yang saya minat dalam bidang seni. Bahkan, saya tidak menyesal melupakan bidang perundangan dengan memberi tumpuan kepada sesuatu yang berseni apatah lagi seni itu amat indah," katanya.

Sumber: myMetro
Foto:
blog OG.Latansa

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::