ATTENTION !!!

Tuesday, November 17, 2009

Kosmetik Herba SIRIM

(Post: Bahasa Melayu)
"Dulu, ruang lingkup kajian di bidang kosmetik sekadar berkisar kepada penghasilan serbuk pencuci. Namun selepas 15 tahun, Institut Penyelidikan Industri dan Standard Malaysia (Sirim) Berhad memahat sejarah tersendiri dengan pembangunan produk kosmetik yang bernilai komersil."

Menariknya, rangkaian produk kosmetik berkenaan memanfaatkan khazanah alam khususnya pelbagai jenis herba tempatan seperti pegaga, kayu manis, limau purut dan lidah buaya malah budu dan tempe.

Khasiat herba itu pula bukan sebarangan misalnya, ujian in vitro dan in vivo menunjukkan bahan aktif dalam campuran minyak pati limau purut dan kayu manis mempunyai aktiviti perencatan terhadap bakteria penyebab jerawat.

Di samping itu, bahan aktif dalam campuran minyak pati kayu manis dan daun gelam pula merencatkan aktiviti enzim tripsin iaitu enzim keradangan, melindungi kulit daripada radikal bebas dan menggalakkan penghasilan kolagen.

Penerokaan kepelbagaian khasiat herba untuk penghasilan produk kosmetik di Sirim Berhad itu sebenarnya sudah bermula sejak 10 tahun lalu, kata Naib Presiden Bahagian Penyelidikan dan Teknologi Sirim Berhad, Dr Zainal Abidin Mohd Yusof.

"Pembangunan satu-satu produk pula mengambil masa agak lama iaitu kira-kira 18 bulan. Ini kerana ia harus melalui pelbagai proses kajian termasuk peringkat keselamatan."

"Antara perkara dititikberatkan adalah rumusan produk berkenaan seharusnya stabil terutama apabila ia memasuki pasaran," katanya pada majlis Sesi Pemadanan serta Jalinan Perniagaan Pemindahan Teknologi Kosmetik dan Herba di Pusat Inkubator Teknologi Sirim Berhad, Sepang, Selangor, baru-baru ini.

Penyelidikan rumusan produk kosmetik baru itu membabitkan sembilan projek merangkumi lebih 50 produk kosmetik. Ia meliputi rangkaian produk spa, produk antijerawat, produk hasil ekstrak budu, produk penjagaan badan dan rawatan selulit serta produk penjagaan kulit untuk lelaki.

Di samping itu, ia mengetengahkan rangkaian kosmetik berwarna untuk wajah termasuk bibir dan mata.

"Penyelidikan itu tidak hanya mengambil kira aspek keberkesanan malah aliran popular pengguna produk kosmetik. Misalnya, jika sebelum ini, produk pemutihan banyak menguasai pasaran namun kini, produk antipenuaan semakin mendapat perhatian."

"Tidak hanya untuk wanita, pembangunan produk turut mensasarkan golongan lelaki khususnya generasi muda yang semakin mementingkan penampilan diri," katanya.

Pembangunan produk kosmetik yang menitikberatkan hasil yang berkualiti dan selamat dilaksanakan Sirim Berhad itu juga menjadi platform untuk membantu usahawan khususnya Bumiputera dalam industri herba untuk melangkah lebih jauh.

Menerusi jalinan perniagaan berkenaan, golongan usahawan dipelawa memasarkan rangkaian produk kosmetik dibangunkan Sirim itu manakala beberapa kemudahan turut disediakan termasuk latihan pengurusan perniagaan.

Perkhidmatan Sirim seterusnya diperkukuhkan dengan bantuan kepada syarikat untuk pendaftaran produk halal serta reka bentuk pembungkusan dan pelabelan.

Penyelidik untuk rangkaian produk lelaki, Shahril Ilias, berkata pembangunan produk dandanan untuk lelaki itu bukan semata-mata disebabkan permintaannya yang tinggi namun penghasilan produk tempatan seumpamanya sangat terhad.

Apatah lagi, ada perbezaan agak ketara antara kulit lelaki dan wanita misalnya dari segi ketebalan kulit.

"Kulit lelaki adalah 20 peratus lebih tebal berbanding wanita malah ia lebih berminyak dan berdaki serta mempunyai liang roma lebih besar."

"Justeru, produk untuk lelaki seharusnya kurang berminyak dan berkilau. Ia juga perlu bertindak untuk pembersihan jauh ke dalam liang roma kulit," katanya.

Jika kedutan di wajah wanita mudah kelihatan meskipun baru mencecah 30-an, menurutnya, lelaki di bawah 40-an lazimnya masih tidak menampakkan kedutan kerana garis kedut lebih jelas apabila lelaki mencecah usia 40 hingga ke 50-an.

Antara produk lelaki keluaran Sirim termasuk krim selepas cukuran yang elok digunakan bukan saja untuk membuatkan kulit lebih selesa tetapi mengurangkan masalah jangkitan.

INFO:
Sembilan projek kosmetik Sirim Berhad:

1) Produk spa berasaskan herba terpilih termasuk set rawatan tubuh dan wajah

2) Produk antijerawat daripada herba terpilih termasuk gel pembersih, penyegar, pelembap dan gel rawatan

3) Produk kosmeseutikal daripada bahan ekstrak penapaian terpilih termasuk krim pembersih, krim siang dan krim malam

4) Produk rawatan penjagaan tubuh dan selulit termasuk krim pelembap dan krim tumit mengelupas

5) Produk dandanan diri lelaki termasuk krim selepas cukuran, pelembap, losen pelindung cahaya matahari dan bahan sental wajah

6) Produk penjagaan kulit campuran ekstrak herba dengan teknologi nano termasuk krim siang, topeng wajah dan gel pembersih

7) Produk kosmetik berwarna untuk muka termasuk bedak asas dan pelindung cela

8) Produk kosmetik berwarna untuk bibir termasuk produk penjagaan bibir dan gincu

9) Produk kosmetik berwarna untuk mata termasuk produk penjagaan mata

Sumber: myMetro

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::