ATTENTION !!!

Thursday, October 1, 2009

Usahawan Capal Cap Kancil Emas

(Post: Bahasa Melayu)
"Kerja menghasilkan capal tidak semudah yang disangka kerana ia memerlukan kemahiran terutama ketika memasang dan menjahit tali bagi memastikan hasilnya bermutu serta selesa dipakai."

Dewasa ini capal menjadi rebutan dan pilihan ramai pasangan pengantin bahkan ia juga menjadi 'trend' baru untuk dipadankan dengan pakaian Baju Melayu ketika musim perayaan.

Bagi pembuat capal, Abdul Wahab Syamaruddin yang lebih dikenali sebagai Zahar Capal mengakui bagi memastikan industri pembuatan capal terus berkembang, beliau akur dengan kehendak pasaran semasa yang mahukan sesuatu yang lebih moden.

"Memang betul, walaupun capal adalah warisan tradisi ia lebih menyerlah apabila diadunkan dengan pendekatan lebih moden, menepati cita rasa terkini."

"Sebab itulah, ketika (Allahyarhamah) Datin Seri Endon Mahmood (isteri mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) mengilhamkan amalan penggunaan songket dan tenunan dalam pemakaian harian, saya mendapat idea menggunakan pendekatan sama ke atas capal. Ia terbukti berkesan dan mendapat sambutan," katanya.

Walaupun capal tampil dengan wajah baru, yang lama tidak dilupakan dan Zahar masih menghasilkan capal bercorak klasik yang menggunakan warna asas iaitu hitam dan ada kalanya bertali putih.

Kini, selepas hampir 20 tahun meneruskan tradisi kemahiran arwah ayahnya, Allahyarham Zahar Ahmad, beliau gigih meneruskan usaha menyambung dan menghidupkan amalan pemakaian capal dalam aktiviti harian.

Capal Cap Kancil Emas yang diusahakan Zahar kini semakin mendapat sambutan. Bertempat di Pasar Perniagaan Dato' Keramat, Kuala Lumpur, di situlah beliau menumpukan sepenuh membuat capal demi menyara keluarga dan mengembangkan warisan bangsa.

Bagi Zahar sendiri, walaupun bekerja membantu ayahnya yang sudah berpengalaman kira-kira 50 tahun dalam kerjaya itu, beliau dipaksa belajar secara berperingkat.

Ketika menceburi bidang itu di kala usia mencecah 24 tahun, beliau lebih banyak diarah membantu menjalankan tugas asas seperti memotong kulit, membersihkan bengkel, seterusnya dibawa ke tempat memborong keperluan bagi memudahkannya menjalankan urusan pada masa akan datang.

Selepas itu, barulah beliau diajar bagaimana menjahit tali capal yang memakan masa selama tiga tahun untuk mendapat 'lesen' daripada ayahnya.

"Walaupun sudah mahir menjahit dan hasilnya nampak cantik, tetapi ayah tetap tak puas hati. Beliau minta saya memakai dan bertanya adakah ia selesa atau tidak. Jika tidak, buat lagi sehingga rasa selesa apabila di sarung ke kaki."

"Rasa keselesaan capal ini sebenarnya terletak pada tali. Jika teknik betul dan ukuran sepadan dengan jahitan, barulah rasa selesa," katanya.

Ketika Berita Minggu meninjau di bengkelnya, beliau sedang menyiapkan tiga pasang capal khas menggunakan songket berwarna emas dan jingga yang akan digunakan oleh pengantin lelaki dan pengapit lelaki.

Ia bertujuan memastikan capal itu sedondon dengan pakaian pengantin dan saiznya juga mengikut saiz sama dengan kasut pelanggan.

Di bengkel capal itu juga Zahar dengan dibantu dua pekerjanya membuat sendiri bena iaitu alas kaki di tapak capal sebelum dipasang ke tapak yang berlapis empat menggunakan kulit dan lapisan kertas. Ia termasuk mempunyai potongan yang digelar telinga, pinggang dan bena.

Setiap pasang capal yang siap dipotong akan dijahit dan dipasang tali secara manual menggunakan jahitan tangan. Ia kemudian dipaku di tempat tali dipasang bagi menguatkan cengkaman serta memastikannya lebih kukuh.

INFO KEDAI:
Nama Kedai: Kedai Capal Cap Kancil Emas
Alamat: J-10, Pasar Perniagaan Dato’ Keramat, Kuala Lumpur

INFO CAPAL:
Saiz capal paling popular: 7 dan 8

Bentuk capal (kategori):
1) Bentuk A - untuk individu berkaki kurus, tinggi, kaki panjang
2) Bentuk B - untuk individu berkaki lebar dan besar

Sumber: Berita Harian Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::