ATTENTION !!!

Wednesday, July 8, 2009

Shah's Village Hotel

(Post: Bahasa Melayu)
"Hotel ini mungkin nampak biasa saja jika dilihat dari luar, namun sebaik sahaja melangkah masuk ke dalamnya, nostalgia lama pasti menjengah memori."

Shariff Shah mengakui banyak cabarannya untuk memastikan Shah’s Village terus beroperasi biarpun selepas 43 tahun.

Hotel yang dikendalikan keluarga ini terus bernyawa di sebalik kemunculan hotel-hotel mewah di sekelilingnya.

Terletak di Lorong Sultan, Petaling Jaya, himpitan pembangunan dan kemunculan hotel-hotel moden tidak menjejaskan langsung Shah's Village.

Shah's Village dibina pada tahun 1966. Ia merupakan hotel pertama di Petaling Jaya. Melihat pencapaiannya pada hari ini ternyata percaturan pemiliknya, Datuk H. M. Shah tidak silap.

"Faktor kos dan Lebuh Raya Persekutuan menjadi asas kepada pembinaan hotel keluarga ini," ujar anak sulung pasangan H. M. Shah dan Datin Serina Shah, Shariff Shah, 34.

Beliau yang juga pengarah jualan dan pemasaran hotel itu mengakui, untuk mengekalkan operasi sebuah hotel selama 43 tahun banyak cabarannya.

"Semuanya dapat dilihat menerusi dekorasi, landskap serta bangunan ini sendiri. Setiap ruang di sini ada kisahnya," cerita beliau.

Di ruang lobi, tiga unsur dekorasi iaitu Baba Nyonya, Melayu dan kontemporari mudah menggamit perhatian.

Pandangan mata pasti terpaku pada katil antik Baba Nyonya yang telah menjangkau usia 1,000 tahun yang diletakkan di sudut tangga.

"Katil ini diperoleh menerusi kawan baik ayah di Melaka pada awal 1990-an," jelas Shariff sambil menunjukkan beberapa ukiran di balik tiang katil tersebut.

Di ruang menunggu pula, sebuah sofa lembut membangkitkan suasana relaks dengan sulaman potret hitam putih berbingkai cantik.

Patung berbentuk kuda yang diletakkan di tengah-tengah ruang turut berjaya mencetuskan persekitaran mewah.

Di tingkat seterusnya, terdapat 91 bilik yang sedia menanti pengunjung. Ini termasuk lima suite yang dinamakan sempena ahli keluarga Shariff.

Menjenguk sekeliling hotel ini, landskap berunsur kekampungan seperti sengaja dipilih kerana pemiliknya ingin menerapkan nilai tradisi dan budaya Malaysia.

"Kami juga mahu pelanggan berasa seperti berada di rumah sendiri," ungkap Shariff.

Tiga ruang menjamu selera dapat dipilih sama ada di bahagian yang berhadapan dengan kolam renang, di dalam kafe atau ruang yang menghadap jalan utama.

"Bagi mereka yang menggemari elemen klasik seperti kayu dan rotan dalam suasana taman, bahagian yang berhadapan kolam renang yang menempatkan sebuah gazebo amat sesuai," ujar graduan Universiti Towson, Amerika Syarikat ini.

Lebih menarik, kebanyakan landskap hotel ini dizahirkan tanpa menggunakan khidmat pereka landskap mahupun perunding hiasan dalaman.

"Lebih puas rasanya dapat menyalurkan kreativiti sendiri. Malah hanya kami yang memahami 'perkahwinan' budaya hiasan di dalam hotel ini," kata Shariff ketawa.

Legenda Bistro pula menyerlahkan keunikan Shah's Village kerana di situ terdapat mural Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan biduanita Saloma. Kedua-dua tokoh seni itu pernah menginap di Shah's Village.

"Peninju legenda, Mohammad Ali juga pernah singgah di sini. Begitu juga ramai kerabat diraja termasuk Sultan Selangor terdahulu dan Sultan Kelantan sekarang.

"Mereka datang bukan semata-mata kerana bersahabat dengan ayah tetapi juga disebabkan suasana tenang di sini," ucap Shariff yang mengaku bukan mudah untuk meneruskan kelangsungan bisnes keluarga itu.

Sumber: Kosmo! Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::