Idea Kreatif Cebisan Jean
(Post: Bahasa Melayu)
"Kalau difikirkan apalah gunanya disimpan perca-perca fabrik jean sewaktu memotong seluar, tetapi bagi yang kreatif ia bukan sahaja menjadi aktiviti masa senggang yang bermanfaat malah mampu menjana kewangan."
Setiap minggu, Nor Liyana Muhd. Abu Kari, 24, akan keluar berbelanja sakan. Tidak seperti kebanyakan anak gadis sebayanya yang sukakan barangan fesyen terkini, sasaran Nor Liyana hanyalah di kedai jean dan kios baik pulih atau pembaikpulih seluar denim.
Di kedai-kedai inilah rutin mingguannya bermula - mengutip atau membeli berbeg-beg cebisan kain untuk dibawa pulang. Namun, hanya kain jenis jean yang dipilihnya.
Tiba di rumah pula, cebisan-cebisan kain tadi akan melalui 'proses saringan' sekali lagi. Mana yang sama dari segi warna dan saiz dikumpul bersama manakala selebihnya disimpan kerana mungkin ada kegunaannya nanti. Semuanya bagi memenuhi keperluan hobinya yang suka berkarya dengan fabrik jean.
"Aktiviti ini (mengumpul cebisan kain jean) bermula sejak saya di tahun akhir universiti. Masa itu, kebanyakan kain seluar jean terpakai saya minta daripada adik-beradik atau kawan-kawan," katanya yang lebih selesa dengan panggilan Liyana.
Daripada dibuang begitu sahaja, dengan kemahiran jahitan yang tidak seberapa, dia belajar mengitar semula kain itu menjadi bahan baru.
Dalam blog TerompahSurau yang dimulakan sejak Disember 2006, segala diari kehidupan serta hasil kraf tangannya sedia menjadi tatapan umum.
"Jadi, saya cuba cari identiti baru dengan menulis tentang hobi kraf tangan saya ini," jelasnya yang sudah menjual lebih 100 buah ciptaan menggunakan jean. Sebilangan besarnya adalah menerusi tempahan dalam talian.
Memiliki pelanggan termasuk dari luar negara seperti Britain, Australia dan Indonesia, Liyana juga mempamerkan rangkaian krafnya dalam laman Etsy.
"Kadangkala pelanggan ada pelbagai jenis permintaan. Ada yang minta buat beg galas, ada pula yang nak gabungan warna yang sama. Sayang sekali, saya pun pening macam mana nak buat sebab bukan pakar," tambahnya sambil ketawa besar.
Jika ada masa terluang, Liyana tidak teragak-agak untuk menyertai mana-mana bazar tempatan yang dianjurkan. Menurutnya, bazar seni seperti itu banyak membantu membangunkan potensi bakat-bakat seni tanah air.
Dia masih ingat di salah satu bazar, Pipiteer Gathering yang disertainya di Times Square pada Mei lalu, gerainya dikunjungi ramai.
Kebanyakannya bukan datang untuk membeli tetapi sekadar memastikan bahawa dia memang wujud. Mereka ini merupakan pengunjung setia blognya.
Insiden paling terkesan dalam hatinya adalah apabila produk yang dihasilkannya dibeli oleh seorang artis seni lukis terkemuka negara.
"Percaya tak, Yusof Gajah (pelukis terkenal) pun beli beg saya. Pada awalnya saya pun tak tahu. Tapi selepas diberitahu oleh anaknya, Jaja, saya berasa sangat gembira."
"Saya fikir dia membeli produk saya untuk beri semangat. Maklumlah, umum tahu beliau seorang yang tidak kedekut ilmu dan suka memberi dorongan kepada artis-artis baru seperti saya," ujarnya.
Buat masa ini, Liyana masih menjadikan aktiviti ini sebagai hobi biarpun ia sudah mulai menjana pendapatan. Selain bekas pensel dan beg tangan, dia juga menerima tempahan menjahit sarung kusyen.
Tempoh menyiapkan sesuatu produk dan harganya banyak bergantung kepada tahap kerumitan, saiz dan rekaannya. Semakin banyak teknik cantuman kain yang diperlukan bermakna lebih lama masanya untuk disiapkan.
Harga bekas pensel misalnya adalah sekitar RM20 manakala beg tangan pula RM30 ke atas.
Baginya, kain jean adalah sumber yang tidak akan ketinggalan zaman. Turut menerima bantuan ibunya, seorang tukang jahit langsir, Liyana berharap suatu hari nanti produk-produknya memiliki jenama sendiri.
Sumber: Kosmo! Online
0 comments:
Post a Comment