ATTENTION !!!

Friday, June 19, 2009

My Jawi Games

(Post: Bahasa Melayu)
"Pada Pameran Penciptaan, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa ke-20 (20th International Invention, Innovation and Technology Exhibition - ITEX 2009) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 15 hingga 17 Mei lalu, My Jawi Games memenangi Anugerah Pingat Emas."

Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) melakar kejayaan dengan penghasilan permainan komputer berasaskan tulisan jawi yang dinamakan My Jawi Games.

Dicipta oleh pensyarah Fakulti Teknologi dan Sains Informasi KUIS, Noor Azli Mohamed Masrop, 37, permainan ini boleh dikategorikan sebagai satu aplikasi mobile learning atau kaedah pembelajaran cara mudah alih.

My Jawi Games direkabentuk berasaskan cerita rakyat Pahang iaitu Azimat Awang Miskin dengan menggunakan platform animasi multimedia Adobe Flash sepenuhnya.

Cerita Azimat Awang Miskin mengisahkan seorang anak yatim piatu, Awang yang merantau untuk menuntut ilmu. Dalam pengembaraannya, Awang perlu menghadapi pelbagai cabaran.

Melalui tujuh modul, pengguna dicabar dengan pelbagai aktiviti seperti mengutip dan mengira buah-buahan, mendaki bukit, menyeberang sungai yang penuh buaya, memasak dan menangkap ikan.

"Alhamdulillah, permainan ini dapat disiapkan dalam tempoh kira-kira setahun," kata Noor Azli, yang telah berkhidmat di KUIS selama 13 tahun.

Projek ini juga mendapat sokongan daripada pelajar serta guru sekolah, yang memberikan maklum balas dan nasihat berkenaan pendekatan pembelajaran di sekolah.

Permainan ini telah diuji di beberapa buah sekolah di sekitar Bangi dan mendapat sambutan yang amat baik. Hasilnya, ada murid sekolah terlibat yang sebelum ini tidak cekap membaca tulisan jawi kini dapat membacanya dengan lancar.

My Jawi Games dihasilkan bertujuan memperkasa dan memartabat tulisan jawi bermula di peringkat kanak-kanak.

Dengan menggabungkan pembelajaran tulisan jawi bersama cerita rakyat, penghasilan My Jawi Games dilihat sebagai menyahut saranan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan yang mahu menjadikan tulisan jawi serta cerita rakyat sebagai warisan negara yang sentiasa diguna pakai dalam kehidupan seharian.

Pada masa yang sama, My Jawi Games memberi pendedahan kepada pengguna, iaitu kanak-kanak menguasai teknologi maklumat dan multimedia dengan cara yang menyeronokkan.

Harapan Noor Azli, My Jawi Games dapat diterima ramai.

Melihat lebih jauh ke hadapan, Noor Azli juga mengimpikan untuk menerapkan penggunaan tulisan jawi dalam pembelajaran matematik dan sains, sebagaimana ia boleh diajar dalam bahasa Inggeris pada masa ini.

"Dalam semangat yang sama, jika tulisan jawi dapat diangkat sebagai satu daripada komponen dalam mata pelajaran Pendidikan Islam yang dinilai dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), berkemungkinan murid akan lebih bersungguh-sungguh untuk mempelajari jawi," kata Noor Azli.

Menurutnya, pelbagai usaha penyelidikan melibatkan tulisan jawi sememangnya telah dan sedang dijalankan di beberapa institusi pengajian tinggi, antaranya seperti penciptaan pemproses perkataan jawi, penukar rumi-jawi, pengimbas jawi, penukar laman web rumi ke jawi dan perisian pembelajaran jawi.

My Jawi Games pula sebagai permainan komputer diharap akan menjadi permulaan kepada satu lagi sumbangan ke arah memartabatkan tulisan jawi.

Sumber: Kosmo! Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::