Ladang Ubi Kayu Ah Loong
(Post: Bahasa Melayu)
"Bagi saya, apa sahaja yang boleh mendatangkan hasil pasti saya usahakan kerana kalau kita berbakti pada tanah, hasilnya amat memberangsangkan jika kita bekerja keras."
Petani muda, Fong Yew Loong (yang lebih dikenali sebagai Ah Loong), 23, mengusahakan penanaman ubi kayu jenis putih di ladangnya di Kampung Nam Heng, Ulu Tiram, Johor.
Katanya, untuk mendapat hasil yang baik, ubi kayu yang diusahakan sebagai tanaman kontan biasanya boleh dituai antara sembilan hingga 12 bulan selepas ditanam.
Walaupun ubi kayu mudah hidup namun ia perlu dibaja dengan baja organik (tahi ayam) untuk memastikan tanaman tersebut subur dan mampu mengeluarkan hasil yang baik.
Untuk tanaman seluas empat hektar, Ah Loong memerlukan tiga hingga lima tan metrik baja organik bagi setiap kali pembajaan dilakukan.
Baja-baja tersebut dibeli dengan harga RM200 sekampit dan digunakan untuk empat kali setahun.
Jelasnya, projek tanaman kontan tersebut dilaksanakan untuk dua tahun sahaja sementara menunggu ladang kelapa sawit milik keluarganya seluas 32.3 hektar mengeluarkan hasil.
Biarpun tanaman ubi kayu di ladangnya baru dituai beberapa kali, namun dia sudah ada pelanggan tetap.
Katanya, ubi kayu tersebut dicabut dua kali sehari berdasarkan permintaan pelanggan.
"Selalunya saya hantar ubi-ubi itu ke Pasar Larkin dan pasar raya Smart Pandan. Sebelum hantar, saya tanya dulu berapa banyak mereka mahu."
"Kerap juga saya hantar enam guni. Satu guni beratnya lebih kurang 50 kilogram dan ubi kayu putih ini sesuai dibuat kerepek," katanya sambil memberitahu harga pasaran ubi kayu di pasaran kira-kira RM1 sekilogram.
Sumber: Utusan Malaysia Online
0 comments:
Post a Comment