ATTENTION !!!

Sunday, June 5, 2011

Kristal Station DIY

(Post: Bahasa Melayu)
" Ramai tercari-cari aktiviti sekeluarga yang boleh merapatkan silaturahim. Trend terkini antaranya bersama teman mahupun keluarga membuat kek cawan atau belajar melukis batik. "

Tetapi Amrah Haron, 46, ada cadangan yang tidak kurang menyeronokkan. Mari bersama-sama membuat gelang ataupun kerongsang kristal!

Berkunjung ke kedainya, beli barangan dan Amrah akan mengajar sekali cara pembikinannya. Ia diajar langkah demi langkah sehingga terbentuk perhiasan kristal sendiri.

Perlukah seseorang itu mempunyai bakat?

"Tidak perlu berbakat besar atau daya sentuhan kreatif kerana membuat kristal hanya memerlukan kerajinan, kesungguhan serta minat."

"Pilih rekaan sedia ada supaya senang kita menirunya," ujarnya tersenyum sambil menunjukkan tiga jenis playar yang perlu ada bagi memudahkan pembuatan aksesori kita.

Playar itu pun tidak mahal, berharga RM10 saja seunit. Ketiga-tiga playar yang ditunjuk Amrah memang memudahkan kerja memasang cincin dan juga membengkokkan pin lembut, bahan penting dalam pembuatan aksesori.

Semua bahan untuk pembuatan aksesori ada di kedai Amrah. Mudah, tidak perlu tercari-cari di tempat lain.

"Buat sendiri gelang, kerongsang, rantai ataupun anting-anting memang lebih puas dan menyeronokkan. Hobi yang berguna sama ada sekadar suka-suka atau boleh dijadikan sumber perniagaan," kata ibu kepada seorang anak berusia 12 tahun itu.

Memakai hasilan daripada tangan sendiri memang memberi kepuasan maksimum. Sebaik selesai menghasilkan satu, kita tergerak untuk membuat yang lain pula. Belajar rekaan yang lebih rumit daripada sebelumnya menandakan ada peningkatan diri.

"Aktiviti bersama-masa membuat gelang atau kerongsang kristal memang bagus untuk sekeluarga. Ada yang datang ke kedai saya anak-beranak dan juga adik-beradik," cerita Amrah sambil menambah, gelang dan kerongsang adalah pilihan yang popular di kalangan pelanggannya.

Membuat gelang kristal sesuai dijadikan hobi baru atau sebagai mengisi masa lapang. Bagi yang sentiasa tertekan dengan kerja yang melambak-lambak tidak kunjung selesai, hobi ini juga boleh dijadikan penghilang tekanan kerana penulis sendiri sudah merasainya.

Dapat menyiapkan kerongsang walaupun sangat sederhana rekaannya, hati rasa lega dan gembira sekali. Ia umpama pencapaian yang besar buat diri sendiri.

Mencari masa berkumpul bersama keluarga dan kawan-kawan memang amat sukar pada zaman semuanya dihambat kesibukan.

Ramai yang suka memilih acara makan-makan sebagai cara pertemuan, tetapi sama-sama berkumpul di kedai Amrah sambil memilih warna kristal dan menyusunnya menjadi gelang juga bagus sebagai pengisi masa. Selepas handal membuat gelang, buat pula rantai dan kerongsang.

"Memang saya sendiri amat meminati bidang kraf aksesori kristal," akui Amrah yang mendapat pendidikan sarjana dalam bidang perancangan bandar daripada Universiti Louisiana, Amerika Syarikat.

Dia pernah berpengalaman bekerja selama lebih 10 tahun sebelum mengambil keputusan untuk berhenti kerja.

"Setelah berhenti kerja, saya menumpukan sepenuh perhatian pada bidang kraf kristal ini," katanya.

Penciptaan perhiasan kristal semakin sebati di jiwa Amrah sehingga pelbagai rekaan diciptanya sesuai mengikut fesyen dan kegemaran terkini. Mempunyai kedai sendiri melengkapkan lagi apa yang disukainya itu.

Walaupun sekadar kedai kecil tetapi ia cukup sesuai kerana dipenuhi bahan dan peralatan yang diperlukan serta meja kerja diletakkan di tengah supaya senang pelanggan yang datang terus duduk di situ dan belajar dengan tuan punya kedai.

"Setiap Sabtu dan Ahad, saya mengendalikan kelas kraf kristal di kedai bermula jam 3 petang secara percuma kepada sesiapa saja yang berminat."

"Mula-mula belajar, tentu saja mengambil masa tetapi setelah biasa, 20 minit pun boleh menyiapkan satu-satu rekaan."

"Untuk mendapat kemahiran bagi kerja tangan, kena berlatih selalu," tegas Amrah yang mendapatkan stok bahan mentahnya dari China, Bangkok dan Korea.

Sebelum mempunyai kedai sendiri, Amrah bermula dari rumah di samping mempunyai laman web sendiri MegatDinCrystal bagi menjual pelbagai jenis barangan dan peralatan kraf kristal secara dalam talian.

Setelah dua tahun menguruskan perniagaan dari rumah secara talian, pada pertengahan Julai 2010 barulah Amrah membuka kedainya yang dinamakan Kristal Station DIY di Komplek PKNS, Shah Alam.

“Saya juga aktif mengadakan bengkel dan kelas kraf kristal di seluruh negara serta memenuhi undangan syarikat korporat dan agensi kerajaan untuk mengadakan kelas kraf kristal secara berkumpulan,” katanya.

Mengajar orang menghasilkan sesuatu yang cantik nampaknya memberi kepuasan kepada Amrah. Cara memegang playar dan membentuk untaian serta segala barang yang perlu supaya gelang atau kerongsang dihajati dapat dizahirkan perlu dilakukan penuh hati-hati.

Sumber: myMetro

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::