ATTENTION !!!

Sunday, March 13, 2011

Minum Teh di Puncak Cameron Highlands

(Post: Bahasa Melayu)
" "Pernah minum teh di puncak Cameron Highlands? Orang kata kalau minum teh di sana, rasanya lebih sedap." "

Itulah kata-kata seorang saudara rapat ketika bertemu di wad sebuah pusat perubatan awam di ibu kota.

Cameron Highlands atau dikenali juga sebagai Tanah Tinggi Cameron, yang terletak di Banjaran Titiwangsa, adalah antara tiga resort tanah tinggi yang popular di negara ini. Dua lagi ialah Genting Highlands dan Bukit Fraser.

Ada dua laluan untuk naik ke resort tanah tinggi itu. Laluan pertama ialah dari Simpang Pulai.

Jalannya dalam keadaan baik, lebar dan merentas sempadan negeri Perak-Pahang. Selepas berada di sebelah negeri Pahang, pelawat sudah memasuki kawasan Cameron Highlands iaitu satu daerah yang paling kecil dalam negeri Pahang.

Laluan kedua ialah jalan naik dari Tapah. Jalan ini adalah laluan lama, sempit dan bengkang-bengkuk seperti ular kena palu.

Melalui laluan kedua ini, anda akan bertembung banyak lori yang membawa sayur serta produk pertanian dari ladang di Cameron Highlands untuk di hantar ke bandar-bandar utama di Semenanjung.

"Apa kata kalau kita berhenti di kedai teh," kata seorang saudara lelaki ketika konvoi mendaki jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands menuju ke resort tanah tinggi itu.

Dengan itu, ketiga-tiga buah kereta berhenti untuk kali pertama di rumah teh Ladang Bharat yang terletak hanya beberapa kilometer dari Kampung Raja.

Rasanya begitu enak walaupun harga secawan ialah RM3 dan bagi satu teko, RM16.

"Ada beberapa ladang teh di Cameron Highlands kepunyaan dua syarikat iaitu Boh dan Bharat," kata seorang pekerja di rumah teh itu.

Tiga pekan utama di Cameron Highlands adalah Brinchang, Tanah Rata dan Ringlet. Terdapat juga kawasan penempatan penduduk di Ladang Kea, Tringkap, Kuala Terla dan Kampung Raja.

Penginapan bukan merupakan masalah di Cameron Highlands. Terdapat banyak hotel, rumah penginapan dan apartmen persendirian untuk disewa.

Antara hotel itu ialah Strawberry Park Resort, Titiwangsa, Equatorial, Heritage, Lakehouse dan Rossa Pasadena.

Hanya dua hotel, iaitu Equatorial dan Heritage mempunyai lif dan kemudahan seperti laluan kerusi roda untuk Orang Kurang Upaya (OKU).

Pekan utama yang juga merupakan pusat pentadbiran Cameron Highlands ialah Tanah Rata. Terdapat bank, kedai serta restoran, medan selera, chalet dan hotel di pekan ini.

Suasana tenang di sini memang menarik dan pelancong dapat menilai keindahan keadaan ini.

Selepas seharian 'mengembara' di sini, seperti bersiar-siar di ladang teh atau melawat taman kupu-kupu, pelancong asing boleh menuju ke beberapa pub ala Inggeris dan menikmati makanan British di situ.

Terdapat banyak bangunan yang mempunyai bentuk serta ciri-ciri kolonial di Cameron Highlands. Resort peranginan tanah tinggi ini masih mempunyai suasana seperti perkampungan di England.

Terdapat dua syarikat perladangan teh di sini. Satu daripadanya ialah Boh yang terkenal di seluruh dunia.

Boh mempunyai ladang teh seluas 3,237.6 hektar di Habu dan Sungai Palas, manakala Kumpulan Bharat yang mengeluarkan teh di bawah label Cameron Valley mempunyai ladang di antara Brinchang dan Tanah Rata.

Ladang teh Bharat saiznya agak kecil, seluas 809.4 hektar.

Turut menarik untuk dilawati ialah ladang teh Boh di Habu, terletak antara Tanah Rata dan Ringlet. Lokasi ladang ini tujuh kilometer dari jalan besar Tanah Rata-Ringlet dan jalan naik ke tempatnya melalui kawasan bukit-bukau yang curam manakala jalannya pula sempit dan berliku-liku.

Bila menuju ke puncak bukit di ladang Boh ini, di sebelah kiri jalan di penuhi dengan ladang sayur manakala di sebelah kanannya tanah berbukit yang penuh dengan pokok teh.

Menghampiri puncak bukit, pemandangannya sungguh menakjubkan. Terdapat 'lautan' pokok teh di lembah serta bukit-bukau di kiri kanan jalan.

Betul-betul di atas puncak bukit, terdapat sebuah rumah teh dan juga kilang memproses daun teh kepunyaan Boh.

Rumah teh itu yang turut menghidangkan minuman teh serta menjual pelbagai cendera hati daripada produk teh.

Tentang rasa teh di sini, memang didapati ia lebih sedap dan berperisa jika dibandingkan dengan minuman teh di tempat lain.

Mungkin kerana iklimnya yang dingin selain angin bukit yang sejuk dan menyegarkan.

Terdapat pelbagai jenis produk teh Cameron Highlands yang berlainan rasa seperti teh rasberi, strawberi, pic serta cengkih.

Antara produk Boh ialah 'teh songket' manakala Bharat pula mengeluarkan Earl Gray di bawah label Cameron Valley.

Terletak di Banjaran Titiwangsa, suhu di Cameron Highlands boleh jatuh hingga 16 darjah Celsius terutama pada waktu malam dan hari hujan.

Pusat percutian ini sememangnya terkenal dengan ladang tehnya. Dua syarikat teh gergasi di sini ialah Boh dan Bharat. Ladang teh Boh di Habu dan Sungai Palas ialah seluas 3,237.6 hektar manakala Bharat mempunyai ladang teh yang lebih kecil di antara Brinchang dan Tanah Rata, berukuran 809.4 hektar.

Cameron Highlands juga tempat melarikan diri daripada kehangatan serta hingar-bingar kota raya dan ini antara faktor yang menarik para pengunjung ke sini terutama mereka yang dari bandar serta daerah di kawasan tanah rendah.

Kerana iklimnya yang sejuk, Cameron Highlands sebenarnya merupakan zon pertanian.

Anda akan jumpa banyak ladang sayur, buah-buahan dan bunga-bungaan segar yang indah yang tidak didapati di tempat lain.

Pasar sayur yang jaraknya hanya beberapa meter dari Hotel Equatorial (dekat pekan Brinchang) adalah sangat popular dengan pengunjung setiap hari, lebih-lebih lagi di waktu pagi.

Pengunjung yang datang kerana hendak membeli sayur yang segar boleh mencecah beratus-ratus orang pada hari kelepasan dan cuti umum.

Ia merupakan pemandangan biasa bila kereta-kereta yang mempunyai nombor pendaftaran negeri lain di letak di kedua-dua belah jalan.

Di pasar itu, 10 bungkus sayur dijual dengan harga RM10. Terdapat juga buah strawberi yang dijual dengan harga begitu murah, iaitu RM15 bagi dua peket.

Kebanyakan lokasi pelacongan terdapat di sekitar laluan ke Lembah Biru.

Pengunjung akan menjumpai pasar, ladang sayur yang menghijau, taman bunga, selain taman lebah dan kupu-kupu di sini.

Laluan itu juga akan membawa pelancong ke ladang Boh di Sungai Palas. Di situ anda boleh menikmati pemandangan lautan hijau pokok teh di dalam lembah serta atas bukit-bukau dari puncak bukit di ladang itu.

Cameron Highlands mempunyai tiga pekan utama diikuti petempatan penduduk di beberapa buah kawasan - Ringlet, Tanah Rata, Brinchang, Ladang Kea, Tringkap, Kuala Terla dan Kampung Raja.

Di Brinchang, pasar malam yang dibuka setiap malam Sabtu dan juga hari cuti menawarkan pelbagai jenis sayuran, bunga serta produk-produk tanah tinggi yang lain.

Tempat ini memang sesak pada hujung minggu dan musim cuti.

Para pengunjung tidak perlu bimbang untuk mendapatkan penginapan di sini kerana terdapat banyak hotel, rumah penginapan serta apartmen persendirian.

Dengan tarikan dan kemudahan yang ada, Cameron Highlands tetap unggul antara senarai lokasi pelancongan utama di Malaysia.

Sumber: Utusan Malaysia Online
Foto: Teh Boh , Teh Bharat

Bookmark and Share

1 comments:

SatuJutaIdea March 14, 2011 at 2:42 AM  

Best, seronok teramat sangat bila berkunjung ke Cameron Highlands -- macam² ada, banyak lokasi menarik, macam² aktiviti blh dilakukan -- jangan lepaskan peluang utk masuk ke ladang teh, petik sendiri strawberry, dan snap foto banyak².

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::