Rezeki Remaja di Bazar Ramadhan
(Post: Bahasa Melayu)
" Terik sinar mentari yang membakar kulit langsung tidak dipedulikan. Sebaliknya pemuda bertopi dan memakai apron hijau itu tekun melaksanakan tugasnya. Dengan kedua-dua belah tangan dibaluti sarung plastik, dia tangkas membalik-balikkan hirisan dan ketulan daging di atas sekeping kuali leper berwarna hitam. "
Sebaik sos pekat berona coklat dituang, aroma rempah ratus yang harum pantas menusuk hidung. Tidak sampai dua minit, hidangan istimewa itu siap.
Menu kambing panggang sos lada hitam bersama hirisan bawang dan cili merah itu kelihatan amat menyelerakan.
Itulah air tangan Mohd. Irwan Zahar, 26, yang tidak mahu ketinggalan mencari rezeki dengan berniaga di bazar Ramadan yang beroperasi di kawasan letak kereta, Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di Pandan Indah, Ampang.
Menurut Irwan rutin berjualan di bazar sepanjang bulan puasa sudah dilakukan sejak empat tahun lalu. Juadah pilihan untuk dijual ialah pelbagai kuih dan kambing panggang yang sentiasa menjadi kegemaran pelanggan.
"Alhamdulillah, rezeki berniaga sentiasa ada. Walaupun setiap perniagaan ada naik dan turunnya, tapi saya yakin."
"Apa yang penting, kita harus pastikan barangan yang dijual berkualiti dan menepati cita rasa pelanggan. Kalau sekali mereka suka dengan makanan yang dijual, sudah tentu akan ada kunjungan kedua dan seterusnya," kata Irwan sambil tersenyum.
Irwan yang memiliki perniagaan stokis burger yang membekalkan pelbagai daging burger mengakui dirinya memang berjiwa bisnes.
Bahkan dia sanggup berhenti kerja di bahagian kejuruteraan di syarikat minyak dan gas negara, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) pada tahun 2006.
"Bagi saya berniaga merupakan cara terbaik untuk menambah pendapatan. Malah, 9/10 daripada pendapatan manusia datang daripada perniagaan."
"Jadi, mengapa kita tidak cuba melakukannya dengan tujuan mencari rezeki yang halal?," tanya Irwan sambil memberitahu cabaran utama yang dihadapi ialah untuk mendapatkan tapak bazar itu sendiri.
Bagi melancarkan urusan berniaga di bazar Ramadan, anak jati Kuala Lumpur itu mengupah tiga pekerja untuk membantunya.
Bagi Azmir Shaharudin, 21, sudah tiga tahun dia membantu Irwan menguruskan jualan di bazar tersebut. Anak kelahiran Ipoh, Perak itu memegang tugas memasak kambing dan menyediakan sos.
"Setiap hari, kami akan memanggang seekor kambing untuk dijual. Apabila ramai pelanggan, saya rasa sangat seronok."
"Jika jualan pada hari tersebut habis licin, memang terus hilang rasa penat sepanjang hari," ungkap Azmir.
Jika Azmir sudah tiga tahun membantu Irwan, berlainan pula dengan Mohd. Safwan Ibrahim, 18, yang baru memulakan tugasnya tahun ini.
Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Sekolah Menengah Kebangsaan Taman, Kosas, Ampang itu menyatakan dia mengambil peranan menjual kuih dan jeli.
"Kalau ikutkan memang penat rasanya apabila terpaksa berdiri sambil menunggu pelanggan datang. Tambahan pula kita berpuasa."
"Tapi, itu semua saya anggap sebagai cabaran untuk mencari pengalaman sebagai peniaga," jelas Safwan yang bercita-cita mahu membuka bengkel automotif suatu hari nanti.
Sementara itu, seorang lagi remaja yang ditemui, Nurul Syahrani Azizan, 21, tidak lokek berkongsi pengalaman sebagai peniaga muda.
Nurul yang baru menamatkan persekolahan di tingkatan enam memberitahu, ini pengalaman keduanya berpeluang berniaga di bazar Ramadan.
"Melihat hasil yang diperoleh daripada berniaga ikan bakar tahun lalu menyebabkan saya tidak teragak-agak untuk meneruskan tradisi itu tahun ini."
"Sekurang-kurangnya saya mampu berdikari dan mencari duit sendiri tanpa menyusahkan keluarga. Daripada membuat perkara yang tidak berfaedah dan membuang masa, lebih baik saya melakukan tugas ini," tegas Nurul.
Bagaimanapun, lantaran baru berjinak-jinak dalam bidang ini, Nurul membuat keputusan untuk menjual makanan ringkas seperti mi, kuih-muih, air serta popia sata dan popia otak-otak.
Pada masa yang sama, dia turut mengambil tempahan membuat beberapa jenis biskut raya. Semua itu dilakukan semata-mata untuk menambah duit poketnya.
Apakah cabaran yang dihadapi sewaktu berniaga? Anak ketiga daripada lima adik-beradik itu menjawab: "Biasalah kalau berniaga di bazar Ramadan, sudah tentu mempunyai persaingan."
"Tapi, ia perlu dilihat secara positif. Yang lain-lain tu rasanya seperti berbuka di tapak jualan dan kadang-kadang apabila terpaksa bekerja seorang diri kerana tak mampu untuk mengupah pekerja."
Tahun ini Nurul dibantu oleh sahabatnya, Norayu Mazlan, 18.
"Sukar menggambarkan kepuasan apabila berjaya memperoleh pendapatan hasil titik peluh sendiri."
"Ia secara tidak langsung mengingatkan saya bagaimana ibu bapa mencari rezeki untuk kesenangan anak-anak" ujar Norayu.
Pendapat Norayu turut disokong oleh seorang pengunjung bazar berkenaan, Helmi Osman, 33, yang memuji sikap berdikari golongan remaja masa kini.
"Diharap lebih ramai lagi remaja tampil ke hadapan untuk melakukan sesuatu perkara yang boleh memajukan diri mereka," katanya.
Sumber: Kosmo! Online
0 comments:
Post a Comment