Kuih Talam Wakaf Che Yeh
(Post: Bahasa Melayu)
" Pengunjung bazar Ramadan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di pekarangan Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu, Kelantan pasti tertarik dengan deretan kuih-muih yang kemas tersusun dan kelihatan begitu menyelerakan. "
Kuih berwarna-warni yang dijual oleh Durah Ibrahim, 26, itu membuatkan pelanggan rambang mata untuk membuat pilihan.
Durah menjual sebanyak 39 jenis kuih-muih seperti kuih talam, seri muka, kuih lapis, puding dan koleh.
Bermula dari pukul 3 petang hingga 6 petang, gadis itu yang ditemani oleh ibunya, Sharifah Anisah Sheikh Abdullah, 53, atau lebih mesra dengan panggilan Kak Pah serta dua adiknya, Suraya, 24, dan Atiqah, 16, tidak menang tangan melayan pelanggan.
Sejak hari pertama berniaga di bazar Ramadan sekitar pukul 5 petang, sebahagian daripada kuih-muih itu habis dijual. Reputasi kuih Kak Pah atau Sharifah Home Made Cake yang mempelopori perniagaan kuih talam di Pasar Tani Wakaf Che Yeh meningkat berbanding bulan-bulan biasa.
Kali ini merupakan tahun kedua mereka berniaga di bazar Ramadan. Antara kuih-muih yang sering menjadi pilihan pelanggan termasuklah kuih talam cendol, talam gula merah, talam jagung, talam kacang hijau, seri muka durian, seri muka jagung, seri muka kayu manis dan pelbagai jenis puding.
"Kami sediakan 39 jenis kuih-muih untuk mereka pilih dan kebiasaannya mereka akan mengambil masa yang lama untuk membuat keputusan sama ada dengan menungan panjang dan perbincangan antara mereka. Malah, ada juga yang tidak melepaskan peluang merakam foto kuih-muih tersebut."
Kualiti rasa
"Lucu juga melihat gelagat pelanggan, tapi sekurang-kurangnya gaya persembahan produk seperti pengusaha donat terkemuka di bandar raya besar dapat kami aplikasi di sini," jelas Durah.
Tambah Durah, keluarganya sangat menitikberatkan kualiti rasa dan keaslian dalam pembuatan kuih-muih yang dijual. Kuih seri muka durian misalnya, menggunakan isi durian asli tanpa menggunakan perisa tiruan.
"Jika kuih yang dijual agak lembik atau pecah di bahagian tepi, kami tidak akan jual kerana mahu menjaga kualiti," kata Durah bahawa kuih-muih tersebut dijual pada harga RM2 untuk lima ketul.
Sebagai bukti keberkatan mencari rezeki pada bulan puasa, jualan kuih-muih mereka mencatatkan keuntungan di antara RM1,400 hingga RM1,500 sehari. Proses mengadun dan mengukus kuih-muih bermula dari pukul 3 pagi hingga 11 pagi sebelum berniaga pada sebelah petang.
Tahun lalu, hasil jualan mereka mencatat lebih RM25,000 sebulan sepanjang berniaga di bazar Ramadan. Selain kuih-muih, pendapatan tersebut diperoleh hasil jualan lebih 1,000 biji kek coklat.
"Mummy yang jadi mastermind semua ini, saya dan adik-adik mengikut sahaja," ujarnya yang mempunyai tiga orang kakak yang sudah berkahwin.
Adik Durah, Suraya, yang bertindak sebagai pengawal kewangan memberitahu, setiap hari lebih 24 kilogram (kg) santan digunakan di samping 205 biji telur, 15 kg gula halus, 4.5 kg gula merah, lima tong gas untuk memasak dan 435 buah bekas polisterina untuk mengisi kuih.
Perbelanjaan untuk membuat kek dan kuih pada bulan Ramadan menelan kos di antara RM500 sehingga RM600 sehari.
Suraya yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hartanah dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, dia sebenarnya merancang untuk menyambung pelajaran ke peringkat sarjana sejurus tamat pengajian tahun lalu.
"Tetapi pengalaman membantu keluarga berniaga secara serius sejak tahun lalu membantutkan perancangan saya seketika."
"Walaupun letih kerana hanya dapat tidur kurang lima jam sehari tetapi hasilnya cukup berbaloi. Misalnya, tempahan kek hari raya untuk tahun ini sahaja sudah mencecah 300 biji."
"Siapa lagi boleh membantu mummy, rugi jika saya tidak memanfaatkan peluang dan kepakaran yang beliau turunkan pada kami," katanya yang bertanggungjawab membina laman webnya bagi memperkenalkan kuih dan kek mereka kepada pelanggan.
Koleksi buku masakan
Keluarga itu baru sahaja pulang ke Kelantan tahun lalu setelah suami Sharifah Anisah, Ibrahim Mohamad, 58, yang berasal dari Tumpat, bersara sebagai jurutera syarikat Telekom Malaysia di Kuala Lumpur.
Sharifah Anisah yang berasal dari Kampung Kubur Kuda, Kota Bharu mengikut suaminya ke Kuala Lumpur sejak tahun 1985. Mereka menetap di sana lebih 25 tahun bersama enam anak perempuan mereka.
Berkahwin pada usia 17 tahun, wanita yang tidak mempunyai sebarang pengalaman secara formal dalam dunia masakan itu sebenarnya mempunyai minat memasak yang amat mendalam.
Ketika di Kuala Lumpur, dia sanggup mencari guru masakan hingga ke Singapura demi untuk mengumpul pelbagai tip masakan. Bahkan, Sharifah Anisah mempunyai lebih 200 koleksi buku masakan.
Sharifah Anisah mula giat menerima tempahan selepas setahun melahirkan anak bongsunya. Ramai kenalan dan penduduk di sekitar kawasan perumahannya di Taman Ehsan, Kepong menempah hidangan dan lauk-pauk tradisi seperti nasi kerabu dan ayam percik atau juadah moden seperti puding dan kek coklat.
Melalui hebahan dari mulut ke mulut, dia mendapat tempahan dengan jualan yang mencecah di antara RM5,000 hingga RM6,000 sebulan.
Kini, Sharifah Anisah hanya menumpukan kepada tempahan membuat kek dan kuih talam untuk majlis kenduri kahwin, jamuan pejabat dan majlis hari jadi selain berniaga di pasar tani.
Istimewanya, sebahagian besar resipi kuihnya diolah dan dicipta sendiri.
Bagaimanapun katanya, untuk menghasilkan berpuluh jenis resipi kuih seperti yang disediakan hari ini bukanlah satu perkara mudah. "Sudah berpuluh kilogram adunan tepung yang terbuang dan saya juga sudah puas menangis apabila kuih-kuih yang diadunkan tidak menjadi tetapi saya tidak pernah putus asa."
"Saya suka menjamu orang makan dan melihat mereka tersenyum puas dengan masakan saya. Walaupun hanya belajar sehingga tingkatan tiga, saya bersyukur kerana minat yang mendalam membolehkan saya berkenalan dengan ramai orang dari pelbagai golongan kerana hidangan yang saya hasilkan," katanya.
Rezeki Sharifah Anisah semakin murah setelah kembali ke negeri kelahirannya. Nekad memperkenalkan kuih talam yang masih kurang peminatnya di negeri Cik Siti Wan Kembang berbanding negeri lain, dia dan anak-anaknya memilih untuk berniaga di Pasar Tani Wakaf Che Yeh yang terletak lima kilometer (km) dari rumahnya di Kampung Tunjung, Jalan Kuala Krai.
Setiap minggu di pasar tani, tidak kurang 100 biji kek coklat habis dijual di samping 36 dulang kuih yang menjadi produk wajib mereka. Ditambah dengan tempahan daripada individu, pejabat kerajaan, syarikat swasta dan orang kenamaan, secara purata jualan kuih-muihnya mencecah di antara RM7,000 hingga RM12,000 sebulan.
Sharifah Anisah berkata, kejayaan yang diperoleh adalah berkat sokongan daripada suaminya.
Apakah perancangan masa depannya? "Kami lebih selesa beroperasi dan memasak dari rumah, barulah kena dengan nama, namun terserah kepada anak-anak saya jika mereka mempunyai rancangan lain pada masa akan datang,” katanya."
Sumber: Kosmo! Online
0 comments:
Post a Comment