ATTENTION !!!

Wednesday, June 23, 2010

Penjaja Kuih Putu Piring

(Post: Bahasa Melayu)
" Deretan acuan logam berbentuk bulat yang dilapisi dengan sehelai kain putih penuh terisi dengan adunan kuih putu piring. Apabila dilihat sudah hampir masak, seorang lelaki berusia 45 tahun dengan pantas menaburkan parutan kelapa di atas semua acuan yang terletak berhampirannya. "

Sambil tangan ligat mengangkat kepingan kuih putu piring yang sudah masak ke dalam bekas polisterin, peniaga bernama Amran Mohd. Ali itu tersenyum menyambut kedatangan penulis.

"Mahu putu piring kak? Panas-panas macam ni memang sedap dimakan," tuturnya sambil meneruskan kerja meletakkan adunan baru kuih tersebut di atas acuan yang telah kosong untuk dikukus.

Apabila memberitahu tujuan sebenar kedatangan penulis, Amran dengan senang hati bersedia menjawab soalan yang ingin dikemukakan kepadanya.

Menurutnya sudah hampir 10 tahun dia menjalankan perniagaan menjual putu piring secara kecil-kecilan di pasar malam sekitar Kuala Lumpur. Ia merupakan resipi turun-temurun keluarganya.

Proses membuat putu piring yang mudah dan ringkas serta hanya memerlukan modal yang sedikit menyebabkan Amran berminat mencuba nasib menjadi penjual kuih tradisional itu.

Ternyata, rezeki yang berasaskan bidang perniagaan itu dapat menyara kehidupannya sekeluarga.

Berbeza dengan penjual putu piring yang lain, Amran mempunyai keistimewaan tersendiri kerana tidak mempunyai pembantu untuk membuat kuih tersebut.

"Biasanya peniaga putu piring sentiasa mempunyai seorang pembantu untuk melancarkan proses menghasilkan kuih tersebut yang diketahui cepat masak dan perlu diangkat dengan kadar segera sebelum menggantikan dengan adunan baru."

"Tetapi, saya lebih selesa bersendirian. Bak kata pepatah, 'alah bisa tegal biasa' kini saya langsung tidak kekok melakukan rutin sebegini," jelasnya lagi.

Di samping itu, aroma harum yang terbit daripada kuih putu piring yang dimasak membuatkan ramai pelanggan di gerai Amran yang beroperasi di pasar malam Pandan Indah pada hari Khamis setiap minggu.

"Alhamdulillah, kadang-kadang saya mampu menjual sehingga 400 keping putu piring setiap hari. Mungkin rasanya yang lembut dan mempunyai inti secukup rasa menambat hati pelanggan yang membeli," ungkap Amran sambil memberitahu tiga keping putu piring dijual pada harga RM1.

Selain pasar malam Pandan Indah, Amran turut berniaga di beberapa lokasi pasar malam lain di sekitar Kuala Lumpur termasuklah di Putrajaya.

Sumber: Kosmo! Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::