ATTENTION !!!

Monday, June 21, 2010

Dobi Lebuh Ghaut

(Post: Bahasa Melayu)
" Seolah-olah kembali ke zaman silam. Begitulah perasaan ketika berjalan di penempatan Dobi Ghaut di Pulau Pinang. Penempatan itu terletak antara Jalan Air Hitam dan Jalan York dan dihuni oleh mereka yang menyediakan perkhidmatan dobi tradisional sejak turun-temurun. "

Ampaian ratusan kain sari pelbagai warna seperti merah terang, kuning, hijau tua dan biru yang dijemur setiap hari mendominasi pemandangan.

Perniagaan yang dikatakan bermula sejak lebih 100 tahun lepas itu tidak banyak berubah dengan peredaran masa. Malah, cara dan peralatan yang digunakan masih kekal sama iaitu kain dibasuh menggunakan tangan dan digosok menggunakan seterika arang.

Itulah keistimewaan dan keunikannya.

Cuma sekarang ini, bilangan pengusaha dobi semakin berkurangan berbanding dulu dengan hanya tinggal 13 orang yang menyediakan perkhidmatan itu. Menurut seorang pengusaha dobi, A. Ramu, 65, pada tahun 1970-an, terdapat lebih 150 orang yang menyediakan perkhidmatan dobi di kampung itu.

"Tetapi kini hanya tinggal 13 orang yang menjalankan perniagaan ini kerana ramai yang telah meninggal dunia atau berpindah ke tempat lain," katanya yang telah 50 tahun menjalankan perniagaan dobi.

Ramu, yang merupakan generasi ketiga mewarisi perniagaan itu daripada keluarganya berkata, kini tidak ramai lagi golongan muda yang berminat untuk menjalankan perniagaan berkenaan.

Cuci Tanpa Mesin

Beliau tidak berasa terbeban mencuci pakaian tanpa menggunakan mesin basuh, malah berbangga kerana masih dapat mengekalkan tradisi keluarganya.

Kebiasaannya Ramu yang dibantu adiknya, Muniandy, 62, memulakan kerja mencuci pakaian seawal pukul 8 pagi dan meneruskan kerjanya sehingga pukul 8 malam setiap hari.

Menurut Muniandy, mencuci pakaian secara tradisional mengambil masa yang agak lama kerana terpaksa melalui beberapa peringkat. "Pada suatu ketika dahulu mereka menggunakan air sungai berhampiran kampung untuk mencuci pakaian," katanya.

Beliau menambah, bagaimanapun aktiviti itu kini beralih ke rumah masing-masing berikutan air sungai itu tidak lagi bersih untuk mencuci pakaian.

"Mulanya, pakaian direndam dengan serbuk pencuci dan kemudian dibasuh dan dibilas sebelum dijemur," katanya.

Setelah itu kain yang telah kering akan digosok sebelum dihantar kepada pelanggan menggunakan basikal.

"Saya dan abang saya mengayuh basikal untuk mengutip dan menghantar kain pelanggan di sekitar George Town dan Bayan Baru," jelas Muniandy sambil mencuci kain.

Beliau berkata, mereka mengambil masa dua hari untuk mencuci dan dua hari lagi digunakan untuk menggosok pakaian setiap pelanggan.

"Kami akan menghantar semula pakaian kepada pelanggan dalam tempoh seminggu selepas menerimanya," kata Muniandy.

Pada harga antara RM1 dan RM8 untuk upah mencuci sehelai kain mengikut saiz, mereka mencuci antara 100 kilogram (kg) dan 150kg kain setiap hari.

Seorang lagi pengusaha dobi, V. Manoharan, 42, yang merupakan generasi keempat mewarisi peniagaan mencuci pakaian daripada keluarganya berkata, kerja-kerja mencuci pakaian secara tradisional itu dilakukan dengan teliti bagi memuaskan hati pelanggan.

"Walaupun ramai yang menggunakan mesin basuh untuk mencuci pakaian, tetapi masih terdapat golongan yang suka baju mereka dicuci dengan cara lama," katanya.

Bagaimanapun, pengusaha dobi ini sedar akan nasib yang menunggu mereka.

Walau apa pun, Lebuh Ghaut akan terus diingati penduduk tempatan seperti ia dikenali sebelum ini sebagai Vannan Thora Tedal, yang bermakna daerah dobi dalam bahasa Tamil.

Sumber: Kosmo! Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::