ATTENTION !!!

Sunday, February 21, 2010

Tab Mandi Phoenix Palace

(Post: Bahasa Melayu)
" Kita sering terlepas pandang aspek penjagaan kamar mandi kerana hanya memberi tumpuan kepada elemen lain sehingga mengabaikan fungsinya. Selain merupakan lokasi untuk membersihkan diri, kamar mandi turut menjadi tempat merehatkan tubuh dan menenangkan fikiran setelah penat menjalani rutin seharian. "

Perubahan budaya dan taraf hidup hari ini bagaimanapun telah memberi nafas baru kepada ruang peribadi ini. Justeru, tidak hairanlah ada yang sanggup berbelanja ribuan ringgit untuk mendapatkan kamar mandi eksklusif.

Menjadi bukti betapa tab mandi mampu menyuntik elemen kemewahan ke dalam sesebuah kamar mandi ialah apa yang dikatakan sebagai tab mandi termahal di dunia yang dijual pada harga AS$67,557 (RM229,694) seunit.

Tab mandi tersebut diperbuat daripada tembaga padu daripada jenama Kohler Kallista dan dikenali sebagai Tab Mandi Archeo Copper.

Ia merupakan salah satu daripada lapan tab jenis mandi paling mewah di dunia yang termasuklah Tab Mandi Red Diamond daripada jenama Aldo Puglielli.

Dijual pada harga RM160,480 seunit, ia dilengkapi ciri mewah antaranya kerangka yang diperbuat daripada 42 gram emas 18 karat dan kristal Swarovski.

Enam lagi tab mandi yang tersenarai ialah Le Clob Glass yang berharga RM115,600 setiap satu, Golden (RM88,400), Haute Rod (RM88,400), Book Cum (RM58,880), Aquarium (RM49,300) dan Portable Wood-Burning Hot (RM20,400).

Berbicara tentang konsep dekorasi kamar mandi, pengurus sebuah syarikat barangan kamar mandi tempatan, Phoenix Palace yang terletak di Bandar Sri Damansara, Lilian Liow, 37, memberitahu, sesebuah bilik air memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian.

Malah ia juga boleh dikatakan sebagai nadi di dalam sebuah bangunan, tidak kira rumah, pusat beli-belah, hotel mahupun pejabat.

"Cara hidup kita sudah berbeza. Taraf hidup pun semakin meningkat. Semua orang pastinya memerlukan bilik air yang bersih dan selesa," katanya.

Menurut Lillian, memiliki kamar mandi yang menarik bukan hanya mampu dimiliki oleh golongan kaya. Golongan yang berpendapatan sederhana juga boleh memperolehnya memandangkan kepentingan fungsinya.

Pada kebiasaannya, bilik air yang selesa perlu dilengkapi tab mandi.

"Bagi mereka yang gemar menghabiskan masa yang lama dalam bilik air, pasti akan berbelanja lebih untuk menjadikannya menarik."

"Ada juga yang sehingga meletakkan 10 jenis tab mandi di dalam bilik air kediaman."

"Kebanyakan pembeli tab mandi terdiri daripada mereka yang mementingkan keselesaan," ujarnya.

Lillian menjelaskan, pengubahsuaian bilik air perlulah mengikut perancangan dan penyusunan yang teliti bagi mengelakkan kos yang tinggi.

"Biasanya kami akan lihat dulu ruang bilik air yang hendak diubahsuai."

"Bagi yang ingin menambah tab mandi, kami akan lihat dahulu ruang bilik air tersebut. Kemudian baru kami akan letakkan tab mandi yang sesuai."

"Pemasangan akan mengambil masa selama beberapa jam sahaja. Kami juga menyediakan servis penyeliaan tentang cara pemasangan."

"Malah ada yang sanggup pecahkan ruang untuk meletakkan tab mandi," katanya yang turut memberitahu setiap unit tab mandi di syarikat itu dijual di antara RM2,000 hingga RM70,000.

Menurut Lillian lagi, bagi mewujudkan dekorasi kamar mandi yang versatil dan menarik, pelbagai jenis tab mandi mengikut saiz telah direka.

"Phoenix Palace menyediakan pelbagai bentuk rekaan tab mandi termasuk peralatan lain di dalam bilik air seperti jubin, kabin stim dan sanitari."

"Tab mandi yang ada kini berkesan untuk kaedah urutan badan, terapi minda dan ruang pembersihan diri secara privasi."

"Ia juga berfungsi sebagai spa rumah kerana boleh digunakan pada bila-bila masa tanpa perlu mengunjungi spa di luar."

"Tempoh yang disarankan untuk berendam hanyalah selama setengah jam. Jika berendam terlalu lama, ia akan menjejaskan stuktur perjalanan darah," tuturnya memberi nasihat.

Berbicara tentang trend tab mandi terkini, Lillian mengatakan kebanyakan pengguna akan memilih tab mandi berwarna putih bagi menyesuaikan semua warna di dalam kamar mandi.

"Kami tak akan cadangkan warna lain selain putih kerana kebanyakannya tidak dapat dipadankan dengan warna cat lain."

"Lagipun permintaan untuk warna lain adalah sangat rendah berbanding putih."

"Sama juga dalam pemilihan kertas dinding untuk bilik air. Ia mestilah bersesuaian dengan sanitari dan tab mandi bagi memastikan ia tampak menarik," katanya.

Dalam pada itu, pemilihan tab mandi daripada bahan yang kukuh dan tahan lama juga merupakan faktor yang perlu dititikberatkan.

"Ada banyak jenis bahan arkrilik yang digunakan untuk membuat tab mandi. Namun, tidak semuanya menggunakan arkrilik yang berkualiti. Ketebalan sesebuah tab mandi yang kukuh mestilah berukuran 25 milimeter."

"Tab mandi yang diletakkan di luar rumah pula sesuai menggunakan arkrilik luar rumah kerana ia lebih tahan terhadap cuaca," ujarnya.

INFO:
PHOENIX PALACE
No. 10-1, Tingkat Satu, Jalan Tanjung SD 13/2, Bandar Sri Damansara, 52200 Kuala Lumpur.

Telefon: 03-62762518

Sumber: Kosmo! Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::