ATTENTION !!!

Sunday, February 28, 2010

Kayu Berlaminasi Teknologi Tinggi

(Post: Bahasa Melayu)
" Negara kita masih kaya dengan sumber hutannya. Namun untuk terus meneroka hutan primer secara berterusan bagi mencari keuntungan tanpa kawalan adalah tidak ekonomik. Sebab itu Malaysia mengamalkan pengurusan hutan secara berkekalan sejajar dengan amalan antarabangsa. "

Ini bermakna, hanya penebangan pokok secara terkawal dilakukan bagi menjamin sumber hutan yang berterusan. Cuma pokok yang menepati saiz minimum dan di kawasan yang diluluskan boleh ditebang.

Tetapi, kawalan begini telah meningkatkan kos dan memberi cabaran kepada pengeluar produk berasaskan kayu.

Justeru, langkah-langkah untuk meningkatkan industri kayu-kayan termasuk memberi nilai tambah kepada industri ini dengan mengeluarkan kayu yang diproses untuk tujuan eksport telah dilaksanakan.

Di bawah Pelan Induk Perindustrian Negara (IMP) Ketiga dan Dasar Industri Pembalakan Kebangsaan (NATIP), pihak yang bertanggungjawab terhadap industri terbabit, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi menyasarkan eksport hasil kayu sebanyak RM53 billion menjelang 2020.

Ia mengambil kira nisbah eksport industri hiliran primer : industri hiliran sekunder berganjak dari 60:40 kepada 40:60.

Usaha tersebut menurut Ketua Program Pemerosesan Termaju dan Reka bentuk Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Dr. Tan Yu Eng, merupakan suatu cabaran besar memandangkan banyak kekangan dalaman dan luaran yang sedang dan bakal dihadapi.

Beliau berkata, komitmen negara kepada amalan pengurusan berkekalan yang membawa kepada jumlah penghasilan industrial roundwood daripada hampir 50 juta meter padu semasa kemuncaknya pada tahun 1990 menurun kepada 28 juta meter padu pada tahun 2005.

Katanya, kos pengeluaran semakin tinggi membabitkan bahan kayu, perekat dan kos buruh menjadikan daya saing negara semakin terjejas.

"Selain penghasilan produk baru, satu lagi cara ialah melalui pembezaan daripada produk yang sedia ada di pasaran tradisi."

"Kerap kali ia lebih berkesan dan dapat mengekalkan daya saing negara," ujarnya.

Justeru, beliau dipertanggungjawabkan untuk mengetuai aspek teknikal projek penghasilan rangka tingkap berlaminasi yang bernilai tinggi untuk pasaran Eropah.

Sebelum projek tersebut dilancarkan, Malaysia merupakan pengeluar utama rangka pintu berlaminasi terutama pada era 1980-an.

Bagaimanapun, persaingan hebat daripada negara jiran, eksport negara bagi produk tersebut menjunam dekad berikutnya.

Berdasarkan statistik Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) pada tahun 2004, jumlah eksport keseluruhan hanya bernilai RM4 juta.

Oleh itu, satu keputusan diambil sebagai jalan keluar ialah memperhebatkan industri tersebut, sekali gus menaikkan imej negara sebagai pengeluar yang berkualiti dan boleh dipercayai.

Persatuan Perindustrian Kayu Kayan Malaysia (MWIA) telah membangkitkan hasrat tersebut dan permohonan dibuat melalui MTIB kepada Kementerian Perusahaan Utama (KPU) ketika itu.

Sejajar dengan itu, kementerian telah mengambil keputusan untuk meluluskan peruntukan tabung levi untuk membangunkan rangka pintu bernilai tinggi untuk pasaran Eropah secara amnya dan pasaran Jerman secara khusus.

Projek tersebut yang bermula pada Oktober 2004 melibatkan kerjasama empat pihak. Ia melibat FRIM dalam pembangunan produk dan perihal teknikal, MTIB dalam aspek sistem kawalan mutu, Majlis Kayu Balak Malaysia (MTC) dalam risikan pasaran dan MWIA dalam pengeluaran rangka tingkap kayu berlaminasi secara komersial.

Bagi mencapai matlamat pembangunan produk berkualiti tinggi ini, FRIM telah menjalankan kajian ke atas berbagai spesies balak khususnya yang kurang popular untuk penghasilan rangka tingkap di negara Eropah.

Menurut Yu Eng, tumpuan kepada spesies kurang terkenal adalah bertujuan mengurangkan tekanan ke atas permintaan terhadap spesies terkenal yang semakin berkurangan.

Di samping itu, kajian juga menumpu kepada kaedah penghasilan secara komersial bagi meningkatkan kualiti produk menepati keperluan teknikal Jerman.

Dengan adanya usaha gigih kumpulan penyelidik FRIM serta kerjasama pihak industri, produk yang bernilai tinggi daripada kayu kurang popular telah diperkenalkan.

Produk turut diperakui oleh German Institute for Quality Assurance and Marking, suatu jawatankuasa kebangsaan Jerman yang menapis sebarang permohonan pengenalan spesies baru sebelum dibenarkan masuk ke pasaran negara itu.

Proses yang dilalui agak rumit, memakan masa yang panjang dan meneliti pelbagai aspek sebelum sebarang keputusan dibuat oleh jawatankuasa yang terdiri daripada pakar sains dan teknologi serta industrinya.

Menurut beliau lagi, penyelidikan dijalankan di Makmal Laminasi, Bahagian Keluaran Hutan FRIM dengan dibantu oleh Makmal Pengeringan Kayu yang menumpu kepada pengeringan berkualiti.

Katanya, hasil kajian mendapati spesies alternatif juga berpotensi digunakan untuk tujuan rangka tingkap bernilai tinggi.

"Usaha ini akan meningkatkan daya saing kita ke arah mempelbagaikan spesies yang boleh digunakan di samping menceburi segmen pasaran bernilai tinggi sebagai usaha menangani kos pengeluaran yang semakin meningkat," katanya.

Di samping itu, bagi memastikan kualiti tinggi senantiasa terpelihara, skim kawalan kualiti untuk pengeluar rangka tingkap yang diperakui oleh IFT (Institut Teknologi Tingkap), Rosenheim, Jerman juga diperkenalkan.

IFT merupakan badan berkuasa yang disegani di Eropah dalam teknologi berkenaan.

Dengan kejayaan tersebut FRIM telah ditauliahkan status Badan Ujian dalam pensijilan IFT untuk produk rangka tingkap baru-baru ini.

Bersama-sama dengan MTIB, ia juga bertindak sebagai badan pemantau bagi skim yang sama. Malaysia merupakan satu-satunya negara Asia yang ditauliahkan kuasa berkenaan.

Selain itu, empat buah syarikat turut menjalani pengauditan oleh pihak IFT telah diberikan pensijilan dengan bantuan projek ini.

Ia sekali gus membuktikan bahawa syarikat Malaysia berkemampuan menghasilkan rangka tingkap bertaraf tinggi selaras dengan keperluan Jerman yang terkenal dengan kualitinya.

Pentauliahan agensi negara sebagai badan ujian dan pemantau bermakna kos untuk memperolehi pensijilan ift yang berprestij akan berkurangan. Ini akan membantu meningkatkan daya saing pengeluar tempatan.

Sambutan positif daripada negara Jerman terhadap kemampuan pengeluar negara kita untuk menghasilkan rangka pintu telah membantu menghidupkan semula eksport produk berkenaan yang menjunam ke tahap RM4 juta pada tahun 2004 kepada RM 59 juta pada tahun 2007.

FRIM kata Yu Eng, menyasarkan spesies yang berpotensi dihasilkan di negara kita, mempunyai keunikan tertentu tetapi mempunyai kesemua sifat-sifat fizikal dan kerja (working properties) yang diperlukan.

Spesis yang jenis kurang popular untuk tujuan berkenaan juga akan diberi pertimbangan sewajarnya.

Selepas dilaminasi, ia akan digunakan sebagai bahan input untuk dilalukan dalam mesin kumai dan diprofailkan menjadi berbagai-bagai bentuk dan saiz bingkai pintu ataupun tingkap di Eropah.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::