ATTENTION !!!

Wednesday, October 7, 2009

Kedai Buku Online UJANAILMU

(Post: Bahasa Melayu)
"Nisah akui senario perniagaan di Internet ketika itu agak berbeza kerana kedai buku secara dalam talian yang dibangunkan anak tempatan memang kurang berbanding persaingan yang sangat ketara kini."

Kerjaya mereka kelihatan hebat, suami bergelar jurutera dan isteri pula peguam.

Barangkali, sudah memadai untuk menikmati kehidupan yang baik tanpa perlu terlalu memikirkan soal kewangan.

Namun, Nisah Haron, 35, dan suami saling sepakat untuk beralih kerjaya malah lebih drastik, mereka sekadar mahu menjadi penjual buku.

Peralihan itu sebenarnya bukanlah sesuatu yang sukar bagi mereka apatah lagi dia sedar jiwanya sudah tiada lagi dalam bidang guaman yang diceburinya hampir 10 tahun itu.

Nisah sendiri sudah sekian lama mengukir nama dalam bidang penulisan khususnya menerusi genre puisi, cerpen dan novel selain meraih pelbagai anugerah di bidang sastera.

Suaminya, Mohd Shukri Nasir yang minat membaca juga dekat dengan dunia buku, malah si suami yang menyarankan ilham untuk menjaja buku secara online.

"Asalnya kami hanya mahu menjalankan perniagaan ini secara sambilan, tetapi apabila suami mengambil keputusan berhenti kerja pada 2004, kami menubuhkan laman web UjanaIlmu secara rasmi pada tahun itu," katanya yang sebelum ini pernah mengendalikan firma guamannya sendiri, Nisah Haron & Co selama lima tahun.

"Biar apa keputusan yang dilakukan, kami percaya rezeki itu dari Allah dan bagi kami, alhamdulillah, ia sentiasa ada untuk kami sekeluarga," kata Nisah yang menguruskan perniagaannya itu dari kediamannya di Seremban, Negeri Sembilan.

Tidak hanya interaksi di Internet, pasangan ini melebarkan ruang niaga mereka dengan berkunjung ke majlis sastera yang lazimnya turut dilatari acara penjualan buku.

Atas jemputan pihak tertentu termasuk anjuran seminar dan sekolah, pasangan ini juga tidak menolak untuk mencari rezeki di lokasi berkenaan.

"Apabila berpeluang membuka meja untuk menjual buku sebegitu, ia nyata menyeronokkan terutama melihat kanak-kanak sekolah membelek dan membaca buku."

"Di samping itu, ia juga pengalaman cukup baik untuk meninjau reaksi pembaca. Dari situ, ia turut membantu kami untuk melakukan rancangan pemasaran," katanya.

Daripada buku pertama dipasarkan laman web terbabit yang juga hasil tulisannya, Impian Tsu-Ryi, syarikat dalam taliannya itu kini berkembang sehingga berupaya memasarkan ratusan judul buku hasil karya puluhan penulis.

"Sebenarnya saya terpaksa memilih apabila mendapat satu-satu buku untuk dipasarkan. Biasanya, saya bertanyakan fikiran daripada pelbagai pihak bagi memastikan buku yang dipasarkan itu benar-benar berkualiti."

"Saya turut mengambil kira latar belakang strategi pemasaran yang penulis itu lakukan sendiri misalnya blog atau popularitinya. Untuk penulis ternama yang biasanya sudah ada pengikut sendiri, saya tidak perlu memberi tumpuan pada usaha promosi mereka," katanya yang terpaksa menolak pelbagai judul buku untuk dipasarkan di laman webnya lantaran tidak memenuhi kriteria.

Uniknya terutama untuk penggemar sastera, Nisah menyifatkan laman web berkenaan menyediakan lebih ruang untuk pembaca mendapatkan bahan bacaan yang sesetengahnya mungkin sukar didapati di pasaran khususnya kedai buku.

"Perniagaan secara dalam talian ini memang agak menarik kerana kita tidak dapat menjangka siapa pembeli bahan bacaan berkenaan."

"Pembaca berbahasa Melayu di luar negara misalnya pelajar memang kekurangan atau mungkin ketiadaan bahan bacaan sedemikian. Justeru, perniagaan sebegini memang mampu menjangkau pelanggan di mana saja," katanya yang turut menerima tempahan dari Jepun, Amerika Syarikat, United Kingdom, India dan Russia.

Meninggalkan kerjaya sebagai peguam sivil dan syariah juga sebenarnya banyak membuka ruang lebih luas untuknya terus bergiat sebagai penulis yang kini mampu dilakukan sepenuh masa.

"Jika penulis lazimnya mencurahkan idea mengikut suasana diri, saya lain pula. Saya boleh menulis tidak kira lokasi atau waktu cuma saya mungkin tidak boleh duduk berjam-jam seperti sesetengah penulis lain."

"Malah, adakalanya saya boleh menyiapkan empat atau lima tajuk tulisan serentak," katanya.

Meskipun tidak pernah mempunyai pembantu rumah sejak mula berumah tangga lagi sehingga sudah punya lima cahaya mata, dia dan suami sudah biasa mengendalikan segala urusan seharian bersama, baik rumah tangga mahupun perniagaan.

Antara rutin seharian mereka kini adalah mengunjungi pejabat pos sebelum waktu operasinya tutup untuk menghantar pesanan buku kepada pelanggan.

Ia mungkin dianggap satu tugas remeh untuk dirinya dan suami yang pernah bergelar ahli profesional suatu ketika dulu namun bagi pasangan ini, kepuasan mencari rezeki sedemikian memang tiada galang gantinya.

ANTARA PENCAPAIAN:
- Hadiah Sastera Siswa Bank Rakyat 1991-1993
- Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1996/97
- Anugerah Sastera Negeri Sembilan 2005
- Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-Exxon Mobil (2003, 2005, 2006 dan 2007)
- Anugerah Sastera Negeri Sembilan 2007

Sumber: myMetro

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::