ATTENTION !!!

Thursday, June 11, 2009

Tanah Gambut Peatgro

(Post: Bahasa Melayu)
"Tanah yang subur yang mempunyai kandungan bahan organik yang tinggi seperti tanah gambut atau Peat Moss pastinya menjanjikan pokok hidup dengan sempurna serta dapat menghasilkan buah atau bunga yang menyerikan lagi laman kediaman."

Di Malaysia, kebanyakan tanah gambut mengandungi 90 peratus bahan organik di dalamnya seperti sisa pereputan kayu, daun, akar dan batang pokok, selain mengandungi mineral yang biasa dijumpai dalam tanah lain.

Tanah gambut juga dikatakan mampu menyerap, menapis air dan ia dikatakan menjadi takungan karbon yang amat besar kuantitinya serta mempunyai kepentingan ekonomi untuk sektor pertanian dan penanaman pokok hiasan.

Dalam keadaan semula jadi, tanah gambut di negara ini mengandungi bahan perebutan kayu, daripada akar, daun hingga ranting pokok. Ini menyebabkan air sentiasa bertakung di permukaan tanah dan melambatkan perebutan.

Bagi memudahkan peminat seni laman menanam pokok kini sudah ada tanah gambut diproses yang dijual di nurseri dan kebun bunga.

Antara pengeluar utama tanah gambut proses ialah Peat Organic Sdn Bhd (Peatgro) di Bandar Baru Selayang yang mengeluarkan tanah berkenaan untuk pengedaran di sekitar Lembah Klang.

Pengurus Pembangunan Perniagaan Peatgro, Khairul Amin Mohd Jamri, berkata tanah gambut siap diproses dapat memperbaiki keupayaan menyimpan air bagi tanah yang mengandungi banyak garam galian terutama tanah berpasir yang mudah kehilangan air.

"Liang udara tanah gambut juga besar dan sesuai untuk memperbaiki pengudaraan tanah terutama tanah liat. Tanah liat yang ada liang udara kecil dapat menyimpan air tetapi lemah dalam daya penembusan air dan pengudaraan. Liang udara yang besar dalam tanah gambut juga dapat membaiki pengairan tanah," katanya.

Ciri yang ada dalam tanah gambut proses juga menggalakkan pertumbuhan dan perkembangan akar yang akan meningkatkan penyerapan zat makanan kepada pokok.

Tanah gambut proses juga menggalakkan aktiviti biologi dalam tanah kerana ia menjadi rumah kepada mikro organisme tanah yang akan menghadamkan bahan dalam tanah dengan menggunakan zat gula dan karbon sebagai sumber tenaga.

Tanah ini juga jika dibandingkan dengan penyubur tanah yang lain, ia mengandungi bahan organik yang tinggi dan mampu kekal beberapa tahun dalam tanah.

Proses pereputan yang perlahan dapat memberi kesan organik lebih lama yang boleh mengurangkan kos kepada pengguna.

Kandungan tanah Peatgro juga mempunyai kadar dijangkiti penyakit mikro organisme yang rendah berbanding tanah garam galian. Tambahan pula kebanyakan kuman penyakit tanah tidak dapat hidup dalam keadaan terlalu berasid.

Tanah gambut proses juga bebas daripada rumput rumpai kerana air sentiasa bertakung dan mempunyai pH yang rendah. Ia membolehkan tanaman tumbuh dalam keadaan bebas persaingan rumput rumpai.

Secara tidak langsung, Peatgro menjimatkan kos penyelenggaraan dan merumput. Masa berkebun juga dapat dikurangkan untuk kerja membersihkan tanaman dan ia juga amat sesuai bagi penanaman rapi di kawasan padang seperti padang golf dan taman awam.

Sumber: Berita Harian Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::