Orked Bridal House
(Post: Bahasa Melayu)
"Tanpa perancangan yang teliti perkahwinan idaman mungkin tidak tercapai malah pengantin bakal berhadapan dengan bermacam-macam masalah. Ini kerana merancang perkahwinan bukan suatu perkara yang boleh dilakukan dalam tempoh yang singkat."
Disebabkan itu, perunding perkahwinan mahupun pemilik butik pengantin kerap menasihati supaya bakal pengantin jangan mengambil sikap sambil lewa.
Seharusnya, duduk berbincang kedua-dua pihak mengenai pemilihan pakaian, tema pelamin, dekorasi hantaran, solekan dan sebagainya.
Perkhidmatan yang disediakan oleh Orked Bridal House pastinya dapat meringankan beban tersebut. Ia merupakan syurga perkahwinan yang menawarkan pelbagai khidmat yang memenuhi kehendak pengantin.
"Namun saranan saya sebelum mendapatkan khidmat perunding perkahwinan pelanggan seharusnya mempunyai idea dan tema yang diingini," jelas pengasas Orked Bridal House, Azmy Osman, 34.
Langkah ini perlu bagi memudahkan pihak perunding menghidupkan kehendak pelanggan.
Mengulas lanjut, Azmy, menyarankan dalam aspek perkahwinan pemilihan busana pengantin harus diberi penekanan.
Pengantin wanita jangan terlampau obses dengan rekaan fesyen moden. Paling penting fikirkan rekaan dan potongan pakaian mengikut kesesuaian bentuk badan, lokasi majlis, dan warna kulit.
"Ingat, kos tempahan yang mahal bukan jalan selamat menyerlahkan aura seri pengantin. Memadai busana yang ringkas dan fabrik yang sesuai agar tampak cocok dengan tubuh badan," tutur Azmy yang menjelaskan pakaian pengantin butiknya terdiri daripada variasi potongan kebaya, kurung moden dan gaun.
Orked Bridal House turut bekerjasama dengan pereka perkahwinan Indonesia bagi membantu dari segi dekorasi pelamin dan suasana perkahwinan yang dihajati.
Daya kreativiti mereka tidak terhad pada rekaan pelamin di rumah. Bahkan mampu menukar suasana dewan atau taman yang kosong menjadi singgahsana raja sehari yang menawan.
"Biasanya pelanggan kami menggemari pelamin berkonsepkan air terjun yang menampilkan elemen air di tepi pelamin," katanya yang cenderung memilih hiasan dan jambangan bunga segar berbanding bunga plastik.
Sebelum membuka butik pengantin, Azmy yang pernah bekerjasama dengan perancang perkahwinan terkenal, Pak Abu, terlebih dahulu menimba pengalaman dalam bidang dokumentari.
"Pengalaman lebih 10 tahun dalam pembikinan dokumentari televisyen memberi kelebihan pada Orked Bridal House. Kami mampu membuat pengantin tersenyum manis tatkala menyaksikan dokumentari perkahwinan mereka yang dihasilkan oleh kami."
"Dokumentari itu akan bermula dari saat mempelai dilahirkan hinggalah detik pernikahan. Secara ringkasnya, kami mencipta sebuah rancangan realiti TV khas buat tatapan pengantin sekeluarga," ujar Azmy yang juga menawarkan khidmat solekan, melukis inai dan pemilihan lokasi.
Kesimpulannya, Orked Bridal House hadir dalam bentuk kemahiran dan kepakaran, di samping harga yang berpatutan.
Sumber: Kosmo! Online
0 comments:
Post a Comment