Baik Pulih Perabot TOUCH GALLERY
(Post: Bahasa Melayu)
"Kami melihat bingkai kayu terlebih dulu bagi menentukan sejauh mana perabot berkenaan boleh diubah. Misalnya, gaya klasik kerusi Cleopatra dijadikan kontemporari apabila penyandar dipotong. Kerusi berlengan menjadi kerusi tab jika tempat meletak lengan dibuang."
Nasib perabot lama yang lusuh dan rosak, jarang dibela. Meskipun, struktur dan rangkanya dalam keadaan baik, sedikit kerosakan dijadikan alasan pemiliknya untuk membeli perabot baru.
Kebiasaan menukar ganti perabot ini dilihat pemilik Touch Gallery (TG), Aznol Hadi sebagai satu pembaziran.
Baginya, selagi boleh dibaiki, perabot lama kekal berperanan memberi keselesaan dan menghidupkan gaya kediaman.
“Saya selalu berjumpa perabot lama dibuang di tempat pelupusan sampah. Sesetengahnya, dibuang bukan kerana uzur dan rosak teruk hingga tidak boleh dibaiki tetapi disebabkan mutu kemasan merosot."
"Bagi saya, ini merugikan lalu timbul ilham untuk memulihkan semula perabot itu,” katanya yang baru dua tahun mengusahakan bengkel membuat dan memulih perabot di Lembah Jaya Industrial Park, Ampang, Selangor.
Syarikat itu turut menawarkan khidmat mengganti gentian serta span tempat duduk, penyandar manakala bagi corak serta warna fabrik upholsteri, disediakan mengikut selera dan konsep penataan dikehendaki pelanggan.
Mengimbas detik awal perniagaannya, Aznul berkata, set sofa kepunyaan jiran ialah perabot pertama dibaiki. Usaha dan kreativitinya itu diberi pujian menyebabkan dia semakin bersemangat menerima tempahan perabot khusus dibaik-pulih.
Aznol berkata, kebanyakan pelanggannya terdiri daripada mereka yang tahu menilai dan menghargai perabot dimiliki, ingin berjimat selain berhasrat mengubah suasana kediaman tanpa perlu berbelanja besar.
"Mereka adalah dalam kalangan golongan pertengahan yang tidak selalu berganti perabot. Ada juga yang amat sayangkan perabot kerana memiliki nilai atau nostalgia tersendiri, manakala segelintir pelanggan memberitahu berhajat meniru hiasan dalaman dipaparkan di program televisyen. Oleh sebab tidak ada modal besar, mereka menghantar perabot ke bengkel ini untuk diubahsuai," katanya yang turut bertanggungjawab memperbaharui gaya serta rekaan perabot.
Bagi tujuan pengubahsuaian, perabot berkenaan disyaratkan mempunyai struktur dan kerangka yang utuh iaitu belum dimamah anai-anai.
"Saya tidak boleh berbuat apa-apa jika anai-anai sudah bersarang dalam kayu. Ia menandakan kayu berkenaan sudah rosak menunggu reput," katanya.
Sungguhpun, sekadar mengubahsuai dan membaik pulih, Aznol gemar berbincang dan mengunjungi kediaman pelanggan untuk mendapatkan gambaran jelas konsep penataan.
Melalui pemerhatian, keputusan mengenai corak dan warna fabrik serta gaya dan rekaan perabot ditentukan.
"Bagi gaya moden, fabrik pilihan dipastikan berwarna klasik hitam-putih dan dramatik. Malah, perabot klasik boleh berubah kepada gaya moden apabila disuntik elemen dikenali clean-cut," katanya.
Kunjungan ke rumah pelanggan juga membantu Aznol membayangkan reka bentuk perabot sepadan lokasi ruang dan sudut yang bakal menempatkannya.
Menyifatkan membuat perubahan reka bentuk lebih rumit berbanding mencipta perabot, kata Aznol, ilham dan kreativiti tidak selalu muncul.
"Bagi saya, mengubahsuai perabot sebahagian kerja seni. Maka, ilham dan kreativitinya hadir bersama mood. Ketika ilham mencurah-curah, dalam sehari, pelbagai lakaran reka bentuk mampu disiapkan. Sebaliknya, saat ketandusan idea, diberi tempoh sebulan pun, belum mampu memikirkan idea bernas mengubah rupa perabot," katanya.
Masalah ini bagaimanapun, dianggap Aznol sebahagian cabaran kerjayanya. Justeru, untuk menanganinya, dia akan mengadakan perbincangan dengan pelanggan khusus mengenal pasti keperluan serta selera mereka.
Namun, apapun cadangan dikemukakan, kata Aznol, pada akhirnya permintaan dan arahan pelanggan diutamakan kerana mereka yang akan menggunakan perabot itu.
Sumber: Berita Harian Online
0 comments:
Post a Comment