ATTENTION !!!

Thursday, May 28, 2009

NEO GENDANG Edrie Hashim

(Post: Bahasa Melayu)
"Memang dulu ketika menjadi mat longgok, orang sekeliling selalu pandang rendah terhadap saya, sampai ibu berleter kata saya nak jadi apa pada masa depan."

Tidak pernah mendabik dada dirinya seorang rocker, Edrie Hashim tiba-tiba meraih perhatian khalayak apabila muncul sebagai salah seorang juri tetap program realiti TV popular, Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7).

"Saya menerima tawaran menjadi juri AF7 kerana ada sesuatu untuk saya perkatakan, selain berkongsi pengalaman dengan bakat-bakat baru dalam dunia muzik kita," ujar suami kepada salah seorang anggota kumpulan Candy, Nurul Nadhira Patricia Robert atau Pat, 35.

Lebih banyak mengukir nama dan melampiaskan bakat muziknya di belakang tabir, selain pernah menjadi penerbit album nama-nama terkenal dalam dunia muzik rock tanah air seperti Ella, Search dan Candy, Edrie juga dikenali sebagai komposer lagu antaranya Irama Marakas (Search) dan Akan Ku Tunggu (Candy).

Menerusi lagu Iris dendangan Awie, Janjikan Pada Bulan (Def Gab C), Hanya Pada Kamu (Ella) dan banyak lagi, Edrie yang juga bergelar pemuzik, pengarah muzik dan pengarah urusan syarikat rakaman Neo Gendang Sdn. Bhd. (Neo Gendang) turut menyumbang bakatnya sebagai penulis lirik.

"Saya sudah berjinak-jinak dengan dunia nyanyian sejak di sekolah rendah. Ketika darjah tiga lagi saya sudah biasa menyanyi terutama pada majlis yang diadakan bersempena Hari Guru." tuturnya.

Menjejak kembali jejak bertapak dirinya menjadi gitaris rock sebelum menjadi seorang Edrie Hashim pada hari ini, semuanya tercetus daripada kegemarannya bermain gitar.

"Saya memang gila gitar, biasanya saya main gitar pak cik saya ketika lepak dengan kawan-kawan di tepi longkang jalan raya dekat rumah saya, sampai kami semua digelar 'mat longgok'."

"Namun, saya bukan jenis yang mahu susahkan keluarga, kerana untuk jamming di studio perlukan wang. Selepas berbincang dengan rakan-rakan, kami bersepakat untuk membayar RM5 setiap seorang bagi membayar kos sewa studio untuk jamming, tetapi saya menghadapi masalah kerana mana saya ada wang."

"Bapa meninggal dunia ketika saya darjah satu. Ibu saya, Sapiah Ujang pula boleh tahan garangnya, jadi daripada saya menyusahkan ibu, lebih baik saya berusaha sendiri."

"Ibu memberikan saya RM1 sehari untuk perbelanjaan di sekolah. Saya kumpul selama lima hari persekolahan dapatlah RM5, jadi duit itulah yang saya guna untuk bayar kos studio," akuinya.

Hasil daripada minatnya yang mendalam terhadap muzik rock, ketika di tingkatan lima, Edrie bersama tiga orang rakannya, Boy, Joe dan Yon menubuhkan kumpulan Visions.

"Bersama Visions, kami membuat persembahan di kenduri-kenduri kahwin, jadi dapatlah mencari wang sendiri ketika itu," ucapnya.

Biarpun begitu, Edrie ternyata tidak larut dalam dunia muzik rock. Selepas tamat persekolahan, dia mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajaran di Institut Teknologi Tun Abdul Razak (ITTAR) dalam jurusan Teknologi Informasi (IT) selama dua tahun.

"Namun, sekali kita sudah terbabit dengan dunia muzik, kita akan kembali kepada muzik, biarpun cuba untuk lari ke bidang lain," akui Edrie.

"Pada 1994, saya dapat tawaran daripada seorang rakan untuk menerbitkan album kumpulan Shakar, sebelum pada 1995 saya menerbitkan album Candy. Tawaran itu membuka mata banyak pihak dalam industri muzik terhadap diri saya dan kemudian meraih kepercayaan untuk menerbitkan album nama-nama besar seperti Ella dan Search," ujarnya.

Di sebalik sekadar menjadi karyawan muzik, Edrie bertuah apabila BMG Music (Malaysia) Sdn. Bhd. telah melantiknya menjadi Pengurus Artiste & Reportaire (A&R) syarikat rakaman muzik antarabangsa itu dari tahun 2000 hingga 2004.

Edrie yang mengakui darah seni dalam tubuhnya itu diwarisi daripada arwah bapanya, Hashim Abdullah yang pernah menyumbangkan lagu untuk album penyanyi Yunizar Hussein berkata: "Jika sebelum ini saya bergiat aktif dalam dunia muzik, ketika bertugas di BMG, saya belajar selok-belok bisnes dunia muzik.

"Justeru, pengalaman yang saya raih itu membolehkan saya bukan sahaja aktif sebagai penggiat muzik, tetapi juga meraih pengetahuan dan pengalaman sebagai orang di belakang tabir yang menaungi aktiviti penggiat muzik. Ia mendorong saya menubuhkan Neo Gendang pada 2004."

"Namun, bagi saya kalau kita sudah minat dan bersungguh-sungguh menyemai minat kita dan melakukannya dengan jujur, hasilnya adalah sesuatu yang bermanfaat. Dan apa yang penting, ibu akhirnya gembira dengan pencapaian saya hari ini."

Sumber: Kosmo! Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::