ATTENTION !!!

Tuesday, May 5, 2009

Cupcakes Graduan Fizik

(Post: Bahasa Melayu)
"Menggunakan bahan-bahan segar sebagai ramuan, produk biskut dan kek Mira adalah 100 peratus buatan tangan. Tidak hanya cantik pada penampilan tetapi enak dimakan, kek cawan dan biskutnya nyata membuatkan orang kecur air liur."

Kelihatan kek cawan tersusun kemas di atas dulang. Di atas setiap satu kek itu pula terhias pelbagai peralatan pejabat dalam saiz mini. Ada pena hitam, pensel dan pemadam, klip kertas, komputer riba serta buku nota. Malah, segala peralatan tadi termasuk beberapa akhbar kompak Kosmo! semuanya hanya sebesar saiz syiling 20 sen! Terlalu comel dan sayang untuk dimakan.

Jika difikirkan sejenak, pasti pembuat kek cawan itu seorang chef profesional yang teliti dengan hasil kerjanya ataupun suri rumah yang sudah terlalu arif dengan bab masakan.

Realitinya, hasil kerja kek-kek cawan tadi datangnya daripada seorang graduan muda Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang juga pemegang ijazah jurusan Fizik!

Pelik? Tidak perlu pelik kerana jika sudah minat, pasti ia bukan sesuatu yang mustahil. Minat awal Amirah Muhamad Akhir terhadap kek cawan bermula secara suka-suka sewaktu melanjutkan pengajian di menara gading.

Daripada sekadar suka-suka membuatnya, gadis berusia 23 tahun itu akhirnya melibatkan diri dalam hobi barunya secara aktif sejak Mei tahun lalu. Anak kepada seorang pesara kakitangan swasta itu memberitahu, dia bertuah kerana mendapat sokongan daripada kedua-dua orang tuanya.

Pada awal penglibatannya dalam hobi itu, Mira pernah menghasilkan biskut dan kek cawan untuk ibunya. Katanya, sampel-sampel produk hari raya itu kemudian menjadi batu loncatan untuknya membuka bisnes kecil tersebut. Bisnes kecil-kecilan itu kini berkembang menjadi sebuah syarikat membuat biskut, kek dan pastri milik Mira.

Memberi tumpuan kepada biskut atau kek custom-made, Mira biasanya menerima tempahan untuk pelbagai majlis keramaian. Namun, sebahagian besar pelanggannya terdiri daripada gadis remaja yang membuat tempahan untuk hadiah hari jadi kekasih mereka.

Tidak bercadang untuk mempromosikan produknya di bazar-bazar seperti kebanyakan orang, Mira mengakui lebih selesa menerima tempahan menerusi blognya MiraCookiss atau panggilan telefon.

Harga biskut bermula dari RM2.50 setiap satu sehingga RM45 sekotak (kira-kira 40 hingga 60 keping), bergantung kepada saiz dan komplikasi rekaan yang diperlukan. Sementara itu, harga kek cawan (saiz souffle cup medium) pula bermula dari serendah RM2.50 sehingga RM4 setiap satu.

Sumber: Kosmo! Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::