ATTENTION !!!

Showing posts with label parang. Show all posts
Showing posts with label parang. Show all posts

Friday, October 9, 2009

Tukang Parang OKU

(Post: Bahasa Melayu)
"Walaupun kaki saya lumpuh, tetapi Tuhan masih bagi kekuatan pada kedua-dua tangan dan akal untuk berfikir, cari idea kreatif buat kerja. Saya tak pernah menyesal dan bersyukur dengan keadaan yang ada, mungkin ada lagi orang lain yang lebih susah daripada saya."

Musa Ahmad, 61, adalah antara Orang Kelainan Upaya (OKU) yang membuktikan hakikat 'rezeki tidak akan datang bergolek' jika tidak berusaha.

Menggunakan tulang empat kerat dengan kemampuan dan pergerakan terbatas, semua itu bukan halangan baginya mencari rezeki halal.

Lumpuh separuh badan sejak usianya tujuh tahun akibat terjatuh ketika bermain bersama rakan sebaya membuatkan Musa sedar beliau mesti mempunyai kemahiran tertentu bagi membolehkannya hidup berdikari tanpa bergantung sepenuhnya kepada keluarga.

Bergerak menggunakan tangan dan hanya perlu duduk untuk melakukan sesuatu sebenarnya memberi kelebihan kepada Musa kerana beliau boleh menghabiskan masa yang lama di sesuatu tempat.

Keadaan itulah yang mendorongnya mengusahakan kraftangan membuat hulu dan sarung parang.

Bertempat di sebuah pondok kecil di depan rumah keluarganya di Kampung Sekolah Perempuan, Lenggong Perak, Musa sudah menghabiskan usia hidupnya di situ sejak 10 tahun lalu.

Rezekinya murah dan beliau cukup bertuah kerana Allahyarham ayahnya Ahmad Darta sempat mencurahkan ilmu seni 'besi' kepadanya.

"Syukurlah Tuhan bagi rezeki, ada sikit kemahiran dan saya usahakan. Setakat ini, rezeki sentiasa ada. Jika sesiapa yang berhajat atau nak menempah hulu atau sarung parang, mereka akan datang ke sini."

Menyingkap sejarah ringkas hidupnya sebagai OKU, Musa menjelaskan segala-galanya bermula ketika beliau sedang menikmati hidup dengan berlari bersama rakan sebaya. Tiba-tiba beliau terjatuh dan kemudian disahkan lumpuh.

Peristiwa hitam pada 1962 itu mengakibatkan Musa terpaksa menghabiskan masa selama setahun di Hospital Kuala Kangsar sebelum dibawa ke Hospital Ipoh untuk rawatan susulan selama dua tahun.

Sepanjang tempoh itu hingga dewasa membuatkan Musa sedar Tuhan masih sayangkannya tetapi sebagai manusia, sentiasa kena berusaha dan bersedia untuk hidup sebagai OKU.

Selain menyiapkan sarung dan hulu parang mengikut tempatan, Musa juga membuat sendiri hulu dan sarung parang secara pasang siap dan pelanggan boleh membeli dengan harga yang agak murah atau membayar dengan nilai lebih tinggi jika mahukan barangan ekslusif yang ditempah khas.

Bayaran upah antara RM40 hingga RM180 bagi sebilah parang bersarung membolehkan Musa hidup tanpa terlalu bergantung kepada keluarga. Bahkan ada upah yang lebih mahal daripada itu bergantung kepada jenis tempahan.

Di bengkel kecil itu, Musa menghabiskan masa sepanjang siang untuk bekerja, berehat dan menyambung kerja sambil mencari idea menyiapkan corak sarung parang. Di depan bengkel terletak rumah adiknya, Sofiah dan Rozila. Di situlah Musa tinggal dan menghabiskan masa bermesra bersama anak saudaranya.

Berdasarkan hasil kreatif ukir kayu yang dimilikinya, tidak hairanlah hasil tangannya pernah menjadi hadiah kepada Istana Perak dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Bagi Musa, kedudukan Lenggong yang dikelilingi hutan dan banjaran memberikan kelebihan kepada pengusaha seni kreatif kayu sepertinya kerana beliau mempunyai banyak pilihan mendapatkan pelbagai jenis kayu yang diingininya.

Kebiasaannya, beliau akan membeli kayu daripada penduduk kampung dan ada juga pelanggan yang membawa terus kayu ke bengkelnya untuk dibuat hulu dan sarung parang. Baginya, kayu paling cantik untuk dibuat sarung ialah jenis serian batu dan serian bawang.

INFO:
Jenis kayu dijadikan hulu dan sarung parang:
Serian, Ciku, Rengas, Kemuning Hitam, Kuping Besi, Limau Bali, Nangka

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Tuesday, June 16, 2009

Zol Parang

(Post: Bahasa Melayu)
"Harga parang dan keris hanya ditentukan selepas keris atau parang itu terhasil. Kita nilaikan mengikut hasil kerja berdasarkan kecantikannya... parang biasanya berharga antara RM100 dan RM300, manakala keris antara RM250 dan RM700."

'Bersahabat' dengan besi dan kayu serta 'bermain' dengan api adalah rutin harian Zolsani Busu, sejak hampir 17 tahun lalu dalam kerjayanya sebagai pembuat parang dan keris.

Tidak ramai orang membabitkan diri dalam bidang itu, tetapi bagi Zolsani, 41, atau lebih dikenali dengan panggilan 'Zol Parang' kerjaya itu memberi kepuasan kepadanya, terutama selepas menghasilkan parang atau keris mengikut kehendak pelanggan yang menempahnya.

"Saya meminati bidang ini sejak kecil... perniagaan ini juga kurang saingan mungkin kerana tidak ramai yang berminat ataupun mungkin kerana tiada kemahiran atau kerana kerja ini memerlukan ketelitian," katanya di bengkelnya di Felda Pengeli Timur, Bandar Tenggara, Kota Tinggi, Johor.

Beliau berkata, pembabitannya dalam bidang itu bermula apabila beliau menempah mata parang dengan pembuat parang di Kampung Melayu, Kluang, 17 tahun yang lalu. Pembuat parang itu, Abdul Hamid Abdul Halim secara berseloroh berkata: "Jika saya mahukan mata parang dengan segera, saya perlu membuatnya sendiri."

Kata-kata itu turut menjadi perangsang kepada Zolsani mendekati ilmu pembuatan parang. "Saya faham maksud kata-katanya itu... saya kena belajar," katanya.

Sejak itu, beliau bertekad mempelajari cara membuat parang daripada Abdul Hamid dan kemudian keris daripada Adiguru Abdullah dari Kelantan. Beliau turut menyertai beberapa siri kursus di Kraftangan Malaysia di Jalan Conlay, Kuala Lumpur.

Zolsani yang ketika itu bekerja sebagai pengawal keselamatan di Ladang Tabung Haji di Kluang, turut membantu sambil belajar cara membuat parang daripada Abdul Hamid selama tiga tahun.

Pada peringkat awal, beliau membuat parang dan keris secara kecil-kecilan di tempat tinggalnya di Ladang Tabung Haji itu sebelum mengambil keputusan berhenti kerja sebagai pengawal keselamatan dan berpindah ke Felda Pengeli Timur pada 1999.

"Kira-kira sembilan tahun saya menyewa bengkel dan akhirnya selepas berjaya membeli sebuah rumah di Felda Pengeli Timur setahun yang lalu, barulah saya dapat membina bengkel sendiri," katanya.

Kini bengkel tetapnya didirikan di sebelah rumah bagi membolehkannya mengusahakan kerjaya itu sepanjang masa walaupun pada malam hari.

"Tempoh empat jam untuk menghasilkan sebilah parang berharga kira-kira RM100 iaitu sejam untuk membuat mata serta tiga jam untuk ulu dan sarung. Bagi keris pula, empat jam untuk membuat mata dan enam jam atau lebih untuk membuat ulu dan sarungnya," katanya.

Dalam sebulan, katanya, beliau menghasilkan kira-kira 15 bilah parang dan empat bilah keris, selain membuat parang panjang dan sabit.

Katanya, beliau juga menyertai pameran melalui usaha beberapa agensi termasuk Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora), di ibu kota dan Putrajaya dan sudah menerima tempahan dari kawasan di luar Johor.

"Ahli korporat juga ada menempah keris untuk dibuat cenderahati. Tempahan dan edaran parang dan keris ini hanya di Malaysia saja kerana produk ini sukar untuk dihantar melalui pos, kurier atau seumpamanya ke luar negara," katanya.

Misinya ialah untuk membesarkan lagi perusahaan itu dan Zolsani sudah mengambil tiga pekerja sambilan untuk membantunya.

"Dua anak lelaki saya yang kembar Zol Fazli dan Zol Fazreen juga menunjukkan minat dalam bidang ini dan kerap membantu. Sejak berumur tujuh dan lapan tahun mereka sudah mula 'menyibuk' dan kini saya memberi tunjuk ajar dalam bidang yang mereka minati iaitu ukiran kayu sarung keris dan sarung parang," katanya.

Isterinya, Anita Sukir juga sentiasa mendorongnya untuk membesarkan lagi perusahaan itu. "Isteri saya umpama pengurus, beliau sentiasa memberi semangat dan memastikan saya dapat menyiapkan kerja dalam masa yang ditetapkan pelanggan."

"Beliau ingatkan saya mengenai masa atau tarikh pelanggan datang semula untuk mengambil tempahan. Beliau merekodkan segala-galanya dalam buku," katanya.

Zolsani berkata, matlamat akhirnya ialah untuk meningkatkan bilangan orang Melayu dalam kerjaya itu secara komersial termasuk dalam seni ukiran kayu. "Sekarang ini tidak ramai orang Melayu menceburi bidang ini, mungkin kerana tiada pendedahan," katanya.

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Wednesday, April 8, 2009

Pembuatan Parang Tradisional Bajau

(Post: Bahasa Melayu)
"Nenek moyang kami pernah berpesan supaya pembuatan parang dipertahan dan disesuaikan dengan keadaan semasa yang dengan sendirinya membuktikan semua pembaharuan yang dilakukan tidak bertentangan dengan prinsip mereka asalkan tidak mengubah motif parang, sarung dan hulu."

Parang tradisional Bajau diakui mempunyai seni ukiran estetika tinggi nilainya mencakupi parang, sarung dan hulu.

Uniknya, pembuatan parang diwarisi secara turun temurun daripada nenek moyang seperti yang diakui seorang pengusaha peralatan itu, Ramlan Salon, 54, dari Kampung Siasai Jaya, Kota Belud.

Parang Bajau merangkumi pelbagai nama mengikut bentuk, ukiran, saiz dan lazimnya diperbuat daripada besi spring kereta, galas bebola kereta dan rantai mesin gergasi. Rantai mesin gergasi dikategorikan sebagai parang kelas satu dan terbaik dalam semua jenis besi.

Sarung dan hulu parang pula diperbuat daripada pokok tempatan Sabah dikenali 'getis', 'baruk' dan 'rengas', selain acasia magium atau dalam bahasa tempatan, 'kayu sapuda'.

"Teknologi moden ini tidak menghakis kesenian dan keindahan parang Bajau kerana reka bentuk dan ukiran masih dikekalkan, cuma ia menerima impak sains, teknologi dan inovasi menepati perkembangan semasa."

"Motif ukiran seperti 'sarimpak' (mahkota), 'tanjak' (tengkolok) dan 'lemba' serta 'selisir' (tenunan tradisi Bajau) mempunyai kaitan rapat dengan kebudayaan, kesenian dan warisan masyarakat Bajau. Ia masih dikekalkan."

"Saya tidak pernah menyesal menjadi pembuat parang tradisional Bajau biarpun ketika ini peralatan itu bukan lagi senjata penting untuk menuntut kemerdekaan tanah air, sebaliknya saya bangga kerana dapat mempertahankan warisan nenek moyang."

Parang dijual pada harga dari RM50 sehingga RM500 sebilah bergantung kepada panjang, kualiti sarung dan jenis besi serta kayu untuk membuat parang, sarung dan hulu.

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::