ATTENTION !!!

Showing posts with label keris. Show all posts
Showing posts with label keris. Show all posts

Monday, September 7, 2009

Pembuat Keris Diraja

(Post: Bahasa Melayu)
"Istilah tidak kenal maka tidak cinta cukup popular dalam kehidupan masyarakat Melayu tetapi dalam seni tradisi pembuatan keris warisan, ia sebenarnya berlawanan. Tidak cinta maka tidak kenal kerana pekerjaan membuat keris memerlukan individu yang cukup cintakan keris, barulah layak mewarisi tradisi itu."

Jika sudah jatuh cinta barulah timbul minat untuk mengetahui, mendalami apa saja maklumat berkaitan keris, teknik serta segala petua menghasilkan seni warisan berkualiti.

Hakikat itu diakui pewaris generasi keempat pembuat keris di Kuala Kangsar, Perak, Abdul Mazin Abdul Jamil, yang secara tradisinya sering diamanahkan membuat keris untuk pembesar istana dan keluarga diraja.

Bagi Abdul Mazin yang mewarisi kemahiran seni pembuatan besi daripada moyangnya yang dikenali sebagai Tukang Mamat, bukan mudah untuk membentuk, melatih mencari bakat baru bagi menyambung warisan bangsa kerana ia memerlukan individu yang cukup berminat dengan penuh komitmen.

Beliau yang belajar membuat keris daripada ayahnya, Allahyarham Abdul Jamil Pandak Lam Pandak Yunus sejak berusia 12 tahun, berkata proses awal ke arah itu ialah belajar mengenal besi yang mempunyai pelbagai jenis dengan memilih campuran yang paling sesuai.

"Ilmu paling asas ialah mesti bijak dan mengenal jenis besi yang digunakan. Besi membuat keris adalah campuran pelbagai jenis jenis yang terdiri daripada besi tawar, besi baja dan besi melela."

"Contohnya, paku ialah sejenis besi tawar, gergaji dan spring kenderaan ialah besi baja, manakala besi melela ialah gabungan kedua jenis besi berkenaan, misalnya besi tingkap rumah. Besi itu digabung dan dicantumkan sehingga mampat, barulah boleh ditempa untuk membentuk keris," katanya.

Berdasarkan apa yang diwarisi secara turun temurun, petua memilih besi mengikut tiga jenis asas pilihan tadi juga mesti berdasarkan asas tujuh jenis besi bermula dengan huruf ‘P’ iaitu paku, payung, pahat, puting, pagar, pisau dan penyodok.

Besi padat tujuh lapisan yang digabungkan itu akan ditempa dan dibentuk mengikut tempahan serta jenis keris yang dikehendaki.

Secara tradisinya pembuat keris akan menggunakan kaedah tradisional menggunakan pengepam tangan atau kaki bagi membekalkan oksigen ke dalam dapur. Perubahan teknologi itu nyata memudahkan kerja dan menjimatkan tenaga.

Namun, proses mengetuk dan membentuk masih secara tradisional menggunakan pengetuk beralaskan batang besi dan ada yang menggunakan rel landasan kereta api.

"Keris yang sudah siap ditempa sebenarnya akan menghasilkan corak tersendiri, ia asli dan semula jadi hasil gabungan tujuh lapis besi. Itu yang membezakan corak setiap keris. Corak itu akan kekal walaupun dibakar semula."

"Sebab itulah, keris yang sudah siap akan diperam selama seminggu menggunakan belerang kuning bercampur garam halus dan air cuka untuk mengekal dan menimbulkan imej corak," katanya.

Peringkat seterusnya ialah kemahiran mengukir kayu untuk membuat sarung, ulu dan semuanya memerlukan penelitian. Kebiasaannya sepasang sarung keris akan dihasil menggunakan empat jenis kayu berbeza bermula di ulu, sampir, batang dan kasut sarung keris.

Menyingkap kenangan manis sebagai pembuat keris sepenuh masa, Abdul Mazin cukup berbangga kerana hasil tangannya pernah dijadikan keris milik pergerakan Pemuda Umno yang dinamakan Panca Warisan yang melambangkan keutuhan, keberanian dan kekuatan orang Melayu.

Kemahiran seninya juga perlu diiktiraf apabila ramai pelajar luar negara dari England dan Jepun datang belajar di bengkelnya bahkan, beliau pernah menghasilkan keris khas sempena Jubli Emas Sultan Kedah pada 2003.

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Tuesday, June 16, 2009

Zol Parang

(Post: Bahasa Melayu)
"Harga parang dan keris hanya ditentukan selepas keris atau parang itu terhasil. Kita nilaikan mengikut hasil kerja berdasarkan kecantikannya... parang biasanya berharga antara RM100 dan RM300, manakala keris antara RM250 dan RM700."

'Bersahabat' dengan besi dan kayu serta 'bermain' dengan api adalah rutin harian Zolsani Busu, sejak hampir 17 tahun lalu dalam kerjayanya sebagai pembuat parang dan keris.

Tidak ramai orang membabitkan diri dalam bidang itu, tetapi bagi Zolsani, 41, atau lebih dikenali dengan panggilan 'Zol Parang' kerjaya itu memberi kepuasan kepadanya, terutama selepas menghasilkan parang atau keris mengikut kehendak pelanggan yang menempahnya.

"Saya meminati bidang ini sejak kecil... perniagaan ini juga kurang saingan mungkin kerana tidak ramai yang berminat ataupun mungkin kerana tiada kemahiran atau kerana kerja ini memerlukan ketelitian," katanya di bengkelnya di Felda Pengeli Timur, Bandar Tenggara, Kota Tinggi, Johor.

Beliau berkata, pembabitannya dalam bidang itu bermula apabila beliau menempah mata parang dengan pembuat parang di Kampung Melayu, Kluang, 17 tahun yang lalu. Pembuat parang itu, Abdul Hamid Abdul Halim secara berseloroh berkata: "Jika saya mahukan mata parang dengan segera, saya perlu membuatnya sendiri."

Kata-kata itu turut menjadi perangsang kepada Zolsani mendekati ilmu pembuatan parang. "Saya faham maksud kata-katanya itu... saya kena belajar," katanya.

Sejak itu, beliau bertekad mempelajari cara membuat parang daripada Abdul Hamid dan kemudian keris daripada Adiguru Abdullah dari Kelantan. Beliau turut menyertai beberapa siri kursus di Kraftangan Malaysia di Jalan Conlay, Kuala Lumpur.

Zolsani yang ketika itu bekerja sebagai pengawal keselamatan di Ladang Tabung Haji di Kluang, turut membantu sambil belajar cara membuat parang daripada Abdul Hamid selama tiga tahun.

Pada peringkat awal, beliau membuat parang dan keris secara kecil-kecilan di tempat tinggalnya di Ladang Tabung Haji itu sebelum mengambil keputusan berhenti kerja sebagai pengawal keselamatan dan berpindah ke Felda Pengeli Timur pada 1999.

"Kira-kira sembilan tahun saya menyewa bengkel dan akhirnya selepas berjaya membeli sebuah rumah di Felda Pengeli Timur setahun yang lalu, barulah saya dapat membina bengkel sendiri," katanya.

Kini bengkel tetapnya didirikan di sebelah rumah bagi membolehkannya mengusahakan kerjaya itu sepanjang masa walaupun pada malam hari.

"Tempoh empat jam untuk menghasilkan sebilah parang berharga kira-kira RM100 iaitu sejam untuk membuat mata serta tiga jam untuk ulu dan sarung. Bagi keris pula, empat jam untuk membuat mata dan enam jam atau lebih untuk membuat ulu dan sarungnya," katanya.

Dalam sebulan, katanya, beliau menghasilkan kira-kira 15 bilah parang dan empat bilah keris, selain membuat parang panjang dan sabit.

Katanya, beliau juga menyertai pameran melalui usaha beberapa agensi termasuk Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora), di ibu kota dan Putrajaya dan sudah menerima tempahan dari kawasan di luar Johor.

"Ahli korporat juga ada menempah keris untuk dibuat cenderahati. Tempahan dan edaran parang dan keris ini hanya di Malaysia saja kerana produk ini sukar untuk dihantar melalui pos, kurier atau seumpamanya ke luar negara," katanya.

Misinya ialah untuk membesarkan lagi perusahaan itu dan Zolsani sudah mengambil tiga pekerja sambilan untuk membantunya.

"Dua anak lelaki saya yang kembar Zol Fazli dan Zol Fazreen juga menunjukkan minat dalam bidang ini dan kerap membantu. Sejak berumur tujuh dan lapan tahun mereka sudah mula 'menyibuk' dan kini saya memberi tunjuk ajar dalam bidang yang mereka minati iaitu ukiran kayu sarung keris dan sarung parang," katanya.

Isterinya, Anita Sukir juga sentiasa mendorongnya untuk membesarkan lagi perusahaan itu. "Isteri saya umpama pengurus, beliau sentiasa memberi semangat dan memastikan saya dapat menyiapkan kerja dalam masa yang ditetapkan pelanggan."

"Beliau ingatkan saya mengenai masa atau tarikh pelanggan datang semula untuk mengambil tempahan. Beliau merekodkan segala-galanya dalam buku," katanya.

Zolsani berkata, matlamat akhirnya ialah untuk meningkatkan bilangan orang Melayu dalam kerjaya itu secara komersial termasuk dalam seni ukiran kayu. "Sekarang ini tidak ramai orang Melayu menceburi bidang ini, mungkin kerana tiada pendedahan," katanya.

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Friday, May 1, 2009

Ayah Su Pakar Pengukir Logam

(Post: Bahasa Melayu)
"Keistimewaan dimiliki tukang mahir yang berpengalaman mengukir logam sejak 20 tahun lalu itu adalah ketekunan di dalam pembuatan sehingga mampu membentuk motif ukiran yang sama terutama pada sarung keris."

Menurut pengukir logam, Nasar Che Musa atau lebih mesra digelar Ayah Su, seni ukir logam terbahagi kepada dua jenis iaitu ukir tembus dan ukir timbus.

"Kehalusan seni ukir logam kebiasaannya diukur melalui kesempurnaan bentuk atau motif yang diukir misalnya untuk motif daun, ia harus sempurna sebagai daun yang lengkap."

"Nilai ukiran pula dinilai berdasarkan kerumitan dan tempoh pembuatan. Kebiasaannya jenis ukiran tembus lebih rumit kerana tukang perlu memahat berulang kali sehingga ukiran pada logam tembus."

"Manakala ukiran timbus lebih mudah kerana hanya membabitkan proses melukis motif pada logam kemudian dipahat menggunakan mata pahat khusus," kata pengukir logam yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu.

Bagi penggemar keris dan cincin, Ayah Su adalah antara pengukir logam tersohor yang sering menerima tempahan mengukir cincin, sarung dan pendokoh keris dari kerabat diraja serta peminat seni warisan Melayu di dalam dan luar Kelantan.

Kata Ayah Su, kemahiran mengukir logam yang menjadi minatnya sejak sekian lama boleh dipelajari jika seseorang itu tekun dan sabar. Selain minat, kreativiti juga penting kerana menurut Ayah Su, setiap lorekan bunga dan daun tidak akan nampak 'hidup' jika dihasilkan tukang yang tidak berseni.

"Seni ukiran Melayu banyak menggunakan motif flora seperti daun dan pucuk yang menjalar seperti daun budi, daun pucuk paku atau Bakawali. Kerana itu, setiap tukang baru diwajibkan mengenal jenis daun dan belajar bertukang secara berterusan sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga bulan."

"Batu yang sering menghiasi cincin kebiasaannya dipilih pelanggan. Antara yang popular adalah batu akik, batu jarum, zamrud, delima dan ada juga menggunakan mata cincin dari kayu teras, kemuning, koka atau kenang," katanya.

Menurut Ayah Su, untuk setiap tempahan ukiran cincin bermula pada harga RM50 hingga RM500 manakala tempahan ukiran sarung keris boleh mencecah RM12,000.

INFO:
Lokasi perniagaan: Arked Perbandaran Jalan Tengku, Semerak, Kota Bharu, Kelantan

Telefon: 019-9443739

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::