ATTENTION !!!

Showing posts with label cendawan tiram. Show all posts
Showing posts with label cendawan tiram. Show all posts

Monday, March 7, 2011

Borneo Mushroom

(Post: Bahasa Melayu)
" Sebuah syarikat yang beroperasi di Mesilau, Kundasang, berhampiran kaki Gunung Kinabalu, tidak melepaskan peluang memanfaatkan cuaca sejuk kaki gunung untuk menghasilkan cendawan berkualiti tinggi dari spesies shiitake. "

Borneo Mushroom ditubuhkan 18 tahun lalu, dimiliki oleh Koperasi Pembangunan Desa (KPD), sebuah agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Negeri Sabah telah diberi pengiktirafan atas sumbangannya kepada industri perladangan cendawan.

Aktiviti ekonomi syarikat berkenaan tidak berorientasikan keuntungan tetapi lebih tertumpu kepada membantu usaha kerajaan dalam memerangi kemiskinan terutama di kalangan penduduk miskin luar bandar di Sabah.

Pengurus Borneo Mushroom, Jamilah Lee berkata, penglibatan KPD dalam aktiviti perladangan cendawan bermula secara kecil-kecilan pada 1989 dengan melibatkan beberapa peladang kontrak.

"Pada ketika itu, kami juga memperkenalkan skim pinjaman untuk membantu petani membeli benih dalam beg polipropelin daripada sebuah syarikat swasta."

"Pada 1991 KPD memiliki tapak semaiannya sendiri di atas sebidang tanah seluas tujuh hektar di Mesilau dan pada tahun berikutnya mula menghasilkan pembenihan dalam beg polipropelin," katanya.

Jamilah berkata, pada mulanya KPD mendapatkan kepakaran teknikal berhubung perladangan shiitake daripada pakar dari Taiwan.

"Namun kemudian saya menghadiri lagi kursus berhubung perladangan cendawan di Jepun dan China sebelum menerapkan penambahbaikan dalam teknik penanaman di sini," katanya.

Sejak itu, aktiviti pusat itu terus berkembang dengan menghasilkan empat spesies benih dan semaian cendawan - shiitake, ganoderma atau ling tze, tiram dan cendawan telinga kera.

Selain itu, pusat berkenaan juga menghasilkan cendawan segar shiitake, cendawan telinga kera ling tze kering dan kopi serta teh ling tze.

Borneo Mushroom membekalkan benih cendawan dalam beg polipropelin di samping menyediakan perkhidmatan teknikal mengenai perladangan cendawan terutama kepada peladang kontrak dan ladang KPD.

"Kini pusat berkenaan menghasilkan kira-kira 75,000 beg polipropelin sebulan untuk memenuhi permintaan peladang cendawan, terutama peladang kontrak KPD," ujarnya.

Beliau menambah, pada tahun lepas syarikat menghasilkan hampir 48,000 beg polipropelin benih sebulan.

Pusat itu juga mengendalikan kursus secara teori dan teknikal mengenai penanaman cendawan kepada peserta dari agensi swasta, institusi pengajian tinggi dan individu yang berminat.

"Selain peladang kontrak KPD, yuran dikenakan kepada peserta lain. Hak pembenihan shiitake hanya diberikan kepada peladang kontrak KPD."

"Peladang kontrak berkenaan sebenarnya diletakkan di bawah program membasmi kemiskinan."

"Mereka yang layak untuk menyertai peladang kontrak hendaklah daripada keluarga yang berpendapatan tidak lebih RM590 sebulan, iaitu bawah garis kemiskinan," katanya.

Buat masa sekarang, KPD mempunyai kira-kira 70 peladang kontrak yang hanya menanam cendawan shiitake.

Mereka kebanyakannya di Kundasang, Ranau dan Moyog di daerah Penampang, pantai barat Sabah.

Menurut Jamilah, selain pembenihan shiitake, peladang kontrak itu juga dilengkapkan dengan bahan binaan untuk membina rumah cendawan di samping perlu menghadiri latihan di ladang Borneo Mushroom.

"Kami juga menghantar tiga pegawai kanan untuk mengawasi perkembangan peladang kontrak setiap bulan," katanya dan menambah bahawa pusat itu kini mempunyai kira-kira 20 petugas

Sumber: Utusan Malaysia Online
Foto: Sabah.gov.my

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Tuesday, November 9, 2010

Cendawan Fatisha Agro Farm

(Post: Bahasa Melayu)
" Peluang perniagaan dalam projek penanaman cendawan yang digariskan di bawah projek permulaan Program Transformasi Ekonomi (ETP) diharap membantu lebih ramai pengusaha mengembangkan perusahaan mereka, selain melahirkan usahawan baru dalam sektor itu. "

Pengurus Fatisha Agro Farm, Rusila Yusof, 29, berkata selain bantuan geran permulaan, kerajaan juga perlu membantu mempromosikan hasil pertanian dan produk mereka supaya dapat dihantar ke pasaran luar negara.

"Masalah besar yang dihadapi pengusaha seperti saya adalah kurangnya promosi dan diharap melalui ETP akan membantu pengusaha sama ada yang sedia ada atau baru mula berjinak-jinak dalam bidang ini."

"Saya mempunyai perancangan besar dalam bidang ini dan berharap dapat berkembang kerana permintaan bagi tanaman ini dari seluruh negara sangat menggalakkan," katanya yang sudah mengusahakan ladang cendawan tiram menggunakan kaedah penghasilan benih melalui tisu kultur di kawasan seluas 0.8 ekar di Kemaman, Terengganu lebih tiga tahun.

Isnin lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan 60 peluang perniagaan di bawah ETP dengan salah satunya adalah projek cendawan yang dijangka menyumbang Pendapatan Negara Kasar (PNK) berjumlah RM57 bilion menjelang 2020, selain mewujudkan 1,293 peluang pekerjaan.

Rusila yang memiliki ijazah dan sarjana dalam bidang kimia dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, keputusannya menceburi perusahaan cendawan memuaskan kerana pendapatan yang lumayan sehingga mencecah RM20,000 sebulan.

Beliau kini sedang berusaha membuka sebuah lagi ladang di kawasan berdekatan berkeluasan 0.4 hektar yang dijangka menghasilkan pendapatan berganda dalam tempoh dua bulan.

Malah untuk memastikan kelangsungan perusahaannya, beliau juga membuka sebuah restoran berasaskan menu cendawan yang memberi pulangan sehingga RM3,000 setiap hari, selain turut menganjurkan kursus dan memberi khidmat nasihat kepada mereka yang berminat dalam bidang itu.

"Saya menasihatkan kepada mereka yang mahu menceburi bidang ini supaya tidak ragu-ragu untuk memulakannya kerana ia mampu meningkatkan taraf ekonomi dan mereka juga harus bijak mempelbagaikan hasil tanaman untuk dijadikan produk hiliran," katanya.

"Malah, saya juga sudah memulakan usaha untuk membuka sebuah kedai perusahaan dengan sebahagian modal bantuan adalah daripada Tabung IKS (industri kecil dan sederhana) berjumlah RM25,000 untuk memasarkan produk seperti sos, popia dan serunding berasaskan cendawan," katanya.

Sumber: Berita Harian Online
Foto: Fatisha Agro Farm

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::