ATTENTION !!!

Showing posts with label anggur. Show all posts
Showing posts with label anggur. Show all posts

Wednesday, June 15, 2011

Ladang Anggur Sendayan

(Post: Bahasa Melayu)
" Anggur, yang suatu ketika dianggap eksklusif kerana harganya mahal, diketahui hidup subur di negara-negara beriklim sejuk. Bagaimanapun, hasil kemajuan teknologi hibrid membolehkan tumbuhan renek itu menyesuaikan diri dengan cuaca panas di Malaysia. "

Di negara ini, anggur ditanam buat pertama kali oleh Jabatan Pertanian Perlis kira-kira 20 tahun lalu.

Sejak itu, anggur telah menjadi sebahagian daripada tanaman buah-buhan di negara ini termasuk dijadikan pokok hiasan di laman rumah. Walaupun rasa dan teksturnya tidak sehebat anggur import, ia masih dianggap memiliki kelas tersendiri.

Di Ladang Anggur Sendayan, Negeri Sembilan, pokok anggur ditanam secara terbuka seratus peratus dalam skala yang besar iaitu di atas sebidang tanah seluas 10 hektar.

Ladang yang diusahakan sejak tahun 2006 ini dimiliki oleh sebuah syarikat bumiputera, A-Winn Global Market Services Sdn. Bhd. dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sembilan.

Menurut penyelia ladang anggur berkenaan, Saidon Sadri, pihaknya menyediakan persekitaran semula jadi untuk dirasai sendiri oleh pengunjung ladang berkenaan.

"Di negara luar, kebanyakan pokok anggur ditanam di dalam rumah hijau yang dibina untuk mengawal suhu dan keadaan persekitaran demi memastikan hasilnya nanti bermutu tinggi."

"Namun, di ladang ini semua pokok anggur ditanam di kawasan terbuka. Ini sekali gus mendedahkan kepada orang ramai bahawa anggur juga boleh hidup di kawasan beriklim Khatulistiwa," katanya.

Celoteh jejaka berusia 35 tahun ini bagaikan satu ensiklopedia pertanian. Ilmu agro yang dihirup Saidon sepanjang berguru bersama wakil pengusaha dari Thailand bukan calang-calang nilainya.

Baka Siam

Katanya, terdapat empat jenis baka utama anggur di ladang itu yakni Shiraz, White Malaga, Black Pearl dan Black Opal.

Jika ada rezeki, pengunjung boleh merasai sejenis lagi baka anggur hibrid iaitu Black Pink.

"Kesemua jenis anggur itu berbeza dari segi rupa dan rasa. Shiraz mempunyai biji, berwarna kehitaman apabila masak dan rasanya agak masam berbanding anggur jenis lain."

"White Malaga adalah satu-satunya spesies anggur di sini yang berwarna hijau, berbentuk lonjong dan mempunyai rasa yang manis. Setangkai anggur jenis itu pernah mencatat rekod seberat satu kilogram."

"Begitu juga Black Pearl dan Black Opal yang sangat manis rasanya dan biasanya tidak berbiji," ujarnya sambil menceritakan rasa manis Black Pink yang warnanya merah kehitaman dan berbentuk lonjong.

Tambah Saidon, anggur di ladang itu berbuah mengikut giliran dalam empat peringkat. Setiap peringkat melibatkan masa selama kira-kira empat bulan.

Menurut beliau, anggur boleh berbuah sebanyak tiga kali setahun tetapi ia boleh direhatkan dengan memangkas dahannya.

Tempoh rehat itu bertujuan untuk meningkatkan kualiti dan daya rintangan pokok terhadap penyakit.

"Ketika pokok-pokok direhatkan, baja kesuburan akan ditambah manakala ranting dan daun dipangkas untuk menghasilkan tunas baru," jelas Saidon.

Kata beliau lagi, tunas baru pokok yang dipangkas tadi akan berputik dalam tempoh tiga minggu. Selepas 120 hari, buah-buah anggur yang matang boleh dipungut.

Cabaran utama yang dihadapi sepanjang tempoh pokok anggur berbuah tentunya ancaman penyakit, ulat dan mergastua.

"Burung merah mata dan gembala kerbau paling gemar menghabiskan waktu di ladang ini semasa pokok sedang berbuah."

"Adakalanya penyakit yang disebabkan oleh teritip dan ulat pelombong daun turut menjejaskan hasil anggur," getusnya yang menceritakan ladang itu pernah diserang monyet liar.

Leceh

Selain itu, faktor persekitaran juga menjadi penyumbang kepada kerosakan pokok.

"Jika hujan turun terlalu kerap, daun dan batang anggur akan mereput. Buahnya menjadi berbintik-bintik hitam seolah-olah berkarat kerana sifat berasid anggur yang sensitif kepada air," ujar Saidon.

Saidon tidak menolak dakwaan bahawa anggur susah untuk dijaga, namun jika pemiliknya bijak mengendalikan tanaman itu, ia pastinya mudah sahaja.

"Anggur perlukan tanah yang sentiasa lembap tapi pantang tanah yang boleh menakung air kerana akar serabutnya mudah rosak dan tidak sekuat akar tunjang."

"Tanah yang sesuai untuk penanaman anggur adalah tanah berpasir yang neutral dan senang untuk digemburkan," tambahnya yang juga mencampurkan tanah gambut serta penggunaan batas untuk pokok-pokok anggur.

Beliau mengesyorkan tanah berbukit memandangkan sifatnya yang tidak menakung air. Baja yang sesuai juga amat diperlukan oleh pokok yang sedang membesar.

Baja organik, kata Saidon, adalah yang paling baik kerana kandungan nutrien aslinya yang tinggi berbanding baja kimia.

"Ladang ini menggunakan baja khas yang diproses daripada debu gunung berapi yang diimport dari Thailand selain baja kompos serta bahan buangan daripada haiwan seperti lembu dan kelawar," katanya yang menggunakan nisbah 50 kilogram baja kimia NPK (nitrogen, fosforus dan kalium) untuk setiap sembilan kilogram baja debu gunung berapi.

Pokok anggur perlukan pengairan yang sempurna. Sehubungan itu, penyiraman dilakukan pihaknya sebanyak dua kali sehari iaitu pada awal pagi dan lewat petang.

"Teknik percikan air ke bahagian batas pokok berdekatan dengan batang dibuat selama dua hingga tiga jam setiap hari menggunakan sumber air yang dipam dari tasik buatan di sekitar ladang," jelas Saidon.

Kahwin

Tut dan kahwin adalah antara kaedah yang sering digunakan Saidon untuk menambah bilangan anak pokok anggur.

"Paling cepat anak pokok boleh dialihkan ke dalam beg poli ialah sekitar 10 bulan selepas melalui proses tut atau kahwin," katanya yang jarang menggunakan teknik keratan batang dan semaian biji kerana tempoh pertumbuhannya yang lambat.

Anak pokok akan memanjat selepas berusia sebulan dan buah pertama yang dihasilkan pokok baru biasanya akan berasa masam.

Sebagai alternatif, bagi yang individu yang berminat memiliki pokok anggur sendiri, teknik penanaman secara bongsai digalakkan.

"Kaedah ini hanya menggunakan pasu dan para yang boleh dibina sendiri mengikut saiz dan keperluan," katanya yang turut menjual anak pokok anggur kepada pengunjung di ladangnya.

Ladang Anggur Sendayan dibuka untuk kunjungan pelawat seawal pukul 8 pagi hingga 11 pagi dan 4 hingga 7 petang setiap hari. Ia mengenakan bayaran masuk serendah RM3 bagi kanak-kanak dan RM5 bagi dewasa.

Pengurus Operasi Eksekutif, Ladang Anggur Sendayan, Zaiton Disa menyasarkan bilangan pelawat seramai 200 orang setiap hari.

"Selain orang tempatan, kami juga menerima kunjungan pelancong dari Singapura dan Brunei yang sangat tertarik dengan keunikan Anggur Sendayan," katanya yang turut merancang untuk menambah bilangan pokok anggur yang berjumlah 4,500 batang pokok kini.

Selain itu, pihaknya juga bakal bekerjasama dengan Kementerian Asas Tani dan Jabatan Veterinar untuk memulakan penternakan haiwan berskala sederhana.

"Kita harap dengan adanya perkembangan ini dapat menggalakkan lagi orang ramai untuk singgah di ladang ini sekali gus membangunkan industri pelancongan dalam negara," tuturnya.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Thursday, September 30, 2010

Anggur Sebagai Tanaman Hiasan

(Post: Bahasa Melayu)
" Ramai yang kagum apabila mendapati laman sekangkang kera di kawasan perumahan dihiasi pokok anggur hijau dan merah yang berbuah bukan sekali dua setahun malah tidak putus-putus berbuah sejak ditanam. "

Setiap tetamu yang datang mengemukakan pelbagai soalan malah tidak putus-putus menanyakan petua untuk memastikan anggur yang ditanam kekal hidup dan menghasilkan buah yang cantik dan boleh dimakan.

Itulah senario dihadapi Md Akhir Hanafi, ketika mula-mula menceburi penanaman anggur sehingga kini bergelar pengusaha tapak semaian anggur.

Menceritakan mengenai penanaman anggur, Md Akhir berkata, pada awalnya ramai yang mempunyai persepsi bahawa anggur sukar ditanam terutama untuk dijadikan pokok hiasan kerana ia tidak sesuai dengan cuaca dan suhu di negara ini.

"Persepsi itu betul, namun jika mengikut panduan dan cara yang betul tidak mustahil anggur menjadi hiasan utama laman kediaman sesiapa saja."

"Asas utama yang perlu di ambil kira sebelum memilih anggur sebagai tanaman hiasan adalah pemilihan biji benih. Ada dua perkara utama perlu diambil kira sama ada memilih pokok anggur tahan kulat atau menyediakan persekitaran yang berbumbung lutsinar."

"Jika dua perkara ini diberikan keutamaan maka hasrat menjadikan anggur sebagai tanaman hiasan akan menjadi kenyataan," katanya.

Ditanya keunikan anggur sebagai tanaman hiasan, katanya anggur sangat cantik untuk ditanam pada tepian pagar, pergola, para-para dan wakaf kerana menghasilkan gugusan buah yang berwarna-warni sama ada hijau, merah dan ungu, selain sifatnya yang menjalar dengan daun pecah lima yang unik.

"Satu lagi yang unik mengenai anggur, pokok ini muah diasuh mengikut kemahuan pemiliknya. Lebih cantik ditanam bertingkat-tingkat di tepi pagar, menjalar tepian pergola serta diasuh membentuk seperti kerangka payung di laman kediaman," katanya.

Beliau berkata, mereka yang berminat menanam anggur sebagai tanaman hiasan dinasihatkan mendapatkan benih yang terbaik dan tahan kulat.

"Bagi memudahkan kerja penanaman, beli saja anak benih daripada nurseri bunga berbanding menyemai biji benih atau keratan batang. Mengikut teknik yang betul, menyemai melalui keratan batang dan tut lebih mudah berbanding menyemai biji benih," katanya.

Md Akhir berkata, hasil kajian yang dibuat hampir 10 tahun mendapati pokok anggur boleh hidup subur di negara ini disebabkan tiga faktor iaitu matahari, air dan tanah.

"Selain itu, pemangkasan adalah wajib untuk pembuahan, jika tidak pokok tidak akan berbuah. Pokok anggur, adalah tanaman yang semakin tua semakin menjadi kerana ia menghasilkan mutu buah yang baik."

"Dalam tempoh pembuahan pertama, hasil buah tidak berapa bermutu sehingga kita melakukan pembuahan sekurang-kurangnya tiga atau empat kali, barulah terhasil buah yang bermutu."

"Apa yang boleh saya simpulkan, anggur bukanlah satu tanaman yang aneh atau pelik malah satu perkara biasa dibuat di halaman rumah ataupun ladang dengan buah yang hebat dan manis," katanya.

INFO Cara menanam pokok anggur:

Cara mengguna tapak:

1. Tanah yang berpasir sesuai bagi tanaman anggur.

2. Gemburkan tanah dan korek lubang sedalam 3.5 meter - 0.60 meter (11.2 kaki, lebar 2 kaki). Adalah lagi baik bagi tanah berbukit yang tidak air bertakung didalamnya. Masukkan tanah yang telus air dicampurkan dengan sedikit baja ke dalam lubang yang disediakan.

3. Bagi tanah rata atau berpaya tanaman berbatas amat digalakkan bagi mengelakkan akar pokok daripada terendam air.

4. Sekurang-kurangnya 0.3 meter - 0.45 meter (1 kaki tinggi dan 1 1/2 kaki lebar) batas diperlukan.

5. Saluran air amat penting supaya air tidak bertakung di sekitar pokok.

6. Hindarkan menanam di tanah yang mengandungi garam (masin), tanah gersang atau tanah yang kurang penyerapan airnya.

7. Tanam secara pasu digalakkan bagi kawasan perumahan.

8. Sinaran matahari amat perlu bagi penanaman anggur, sekurang-kurang 80% ke 100% sinaran matahari diperlukan.

9. Kawasan berbumbung yang telus sinaran matahari digalakkan supaya mendapat tanaman yang sihat dan senang diawasi dari serangan penyakit.

10. Tanaman secara pasu pula, pasu yang berukuran 40.6 -45.7 cm (16-18 inci) luas dan 35.6 cm- 45.7 cm (14-18 inci) dalam sudah mencukupi bagi setiap pohon anggur yang sihat dan menghasilkan buah bermutu.

Pemangkasan dan latihan

1. Permotongan hendaklah dibuat apabila pokok setinggi 1.52 meter (5 kaki). Buang semua daun, ranting yang kurang sihat dan potong pucuknya.

2. Pastikan cabang merayap ikut arah yang dikehendaki .

Pemangkasan untuk pembuahan

1. Tabur baja penggalak bunga 20 hari sebelum pemangkasan dibuat.

2. Buang semua daun dan potong cabang yang tidak dikehendaki.

3. Potong semua ranting yang kurang sihat dan potong ranting yang sihat sekadar 4 atau 5 mata tumbuh dari cabang.

4. Potong pucuk kira - kira 1.21 meter ke 1.52 meter (4 atau 5 kaki) dari cabang.

5. Uruskan kerja dengan baik dan teratur.

6. Bersihkan di kawasan pokok dan buangkan daun-daun yang gugur di sekitarnya.

Kadar pembajaan pohon anggur:

1. Baja organik amat sesuai bagi pokok muda.

2. Sebaiknya gunakan baja NPK yang sama pada pokok muda.

3. Tabur baja 1 kaki dari pangkal pokok, jikalau ditanam diatas tanah dan sedikit jauh dari batang jikalau didalam pasu.

4. Jarak yang terbaik sesuatu pembajaan ialah 7 - 10 hari.

6. Kurangkan anggaran yang dicadangkan oleh pengeluar baja, gunakan 50% - 60% dari angaran yang sebenarnya.

Kaedah siraman:

1. Penyiraman boleh dibuat apabila didapati tanah disekeliling pokok itu kering.

2. Penyiraman memerlukan air yang banyak, AWAS! jangan bertakung.

3. Sebaik-baiknya penyiraman dibuat pada sebelah petang atau awal pagi.

4. Siram cara berhati-hati dengan siraman air yang perlahan.

5. Buat siraman pada pangkal pokok, daun tidak memerlukan air.

6. Kurangkan siraman semasa buah sedang masak atau 20 hari sebelum dipetik buahnya.

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Friday, October 2, 2009

Anggur Sendayan Valley

(Post: Bahasa Melayu)
"Saya harap dengan anggur Sendayan Valley, kita tidak lagi perlu bergantung kepada anggur import dan pengguna mempunyai pilihan sama ada mahu anggur import atau Sendayan. Sudah tentu, harga anggur tempatan dijangka berpatutan."

Tiada siapa sangka Sendayan dekat Seremban, Negeri Sembilan, mempunyai ladang anggur yang dinamakan Sendayan Valley.

Ladang anggur yang dimajukan A-Winn Corporation Sdn Bhd sejak hampir dua tahun lalu diusahakan dua sahabat, Azrul Nazim Abd Azam, 35, sebagai Pengarah Urusan dan Arthur Baumann, 49, sebagai Pengarah Eksekutif.

Menarik untuk mengetahui kisah di sebalik pembukaan ladang ini kerana Azrul Nazim dan Arthur tidak mempunyai latar belakang dalam bidang pertanian. Berbekalkan minat, mereka tekad mengusahakan ladang anggur di Sendayan.

Azrul Nazim berkata, pertama kali melihat tanaman anggur ialah ketika melawat Thailand beberapa tahun lalu menyebabkannya kagum dengan kesungguhan petani negara itu mengusahakan anggur.

"Ketika itu, saya belum terfikir untuk mengusahakan ladang anggur. Apabila pulang ke Malaysia, saya berhasrat menceburi bidang pertanian dan kemudian terfikir untuk mengusahakan ladang anggur," katanya.

Bagi Azrul Nazim, menanam anggur ialah suatu cabaran kerana tidak semua orang boleh buat, tetapi memberikan kepuasan kepadanya.

Bermula pada 2007, sebanyak RM6 juta dilaburkan untuk projek ini yang dijalankan dengan kerjasama kerajaan Negeri Sembilan melalui Menteri Besar Incorporated (MBI) dan pembiayaan kewangan Agro Bank. Walaupun seluas kira-kira 20 hektar, hanya 10 hektar dimajukan dan bakinya digunakan awal tahun depan.

Beliau berkata, percubaan peringkat awal mengecewakan kerana 4,000 daripada 10,000 pokok yang ditanam mati menyebabkan hanya 6,000 pokok yang tinggal hingga sekarang.

Katanya, empat jenis anggur ditanam di ladang itu, iaitu Black Opal, White Malaga, Shiraz dan Black Pearl dengan setiap jenis ditanam antara 1,000 hingga 2,000 pokok.

Bagaimanapun, katanya ladang itu turut ditanam bidara, nona, jambu dan mangga, tetapi tumpuan utama ialah anggur.

Azrul Nazim mengakui anggur sesuai ditanam di negara kerana iklimnya yang panas dan lembap sepanjang tahun.

"Ramai orang tidak tahu anggur ada dua jenis. Pertama, anggur yang sesuai ditanam di kawasan iklim sejuk dan kedua, di kawasan panas seperti Malaysia."

"Ini tidak menjadi persoalan kerana yang paling penting ialah penjagaan rapi kerana anggur mudah mati dan juga mudah hidup," katanya.

Beliau berkata, anggur Sendayan Valley sudah empat kali dituai, tetapi rasanya belum mencapai piawaian ditetapkan, manakala tuaian akan datang dijangka selepas Aidilfitri ini sebanyak tiga hingga empat tan yang dijangka lebih manis dan setanding anggur import.

Katanya, tuaian besar-besaran antara 30 hingga 50 tan dijangka pada April tahun depan dan boleh dijual di pasaran tempatan.

Sementara itu Arthur berkata, setakat ini mereka merancang untuk memasarkan anggur Sendayan Valley untuk pasaran tempatan.

Arthur berkata, Sendayan Valley akan meningkatkan pengeluaran anggur, tetapi masih dalam proses penyelidikan untuk mendapat anggur terbaik.

Selain itu, katanya mereka berhasrat menjadikan Sendayan Vallley sebagai antara destinasi agro pelancongan terkemuka di negara ini, terutama dengan lokasi yang hanya kira-kira 90 kilometer dari Kuala Lumpur dan berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Kami akan menaik taraf ladang ini untuk menarik pengunjung datang berehat di sini sambil menikmati buah-buahan dan memperkenalkan Negeri Sembilan sebagai pengeluar anggur tempatan terkemuka di Malaysia," katanya.

Cuaca panas dan kelembapan tinggi serta hujan lebat sepanjang tahun adalah antara cabaran getir yang dihadapi Azrul Nazim Abd Nazam dan Arthur Baumann bagi memastikan tanaman anggur di Sendayan Valley menjadi.

Anggur memang rumit ditanam kerana memerlukan penjagaan dan pembajaan secukupnya, selain sensitif terhadap hujan lebat dan angin kencang.

Pokok anggur yang memanjat bergantung kepada tiang khas mudah rosak jika terkena hujan lebat atau dilanda angin kuat.

Cabaran alam ini menyebabkan daripada 10,000 pokok yang ditanam pada peringkat awal, hanya tinggal 6,000 pokok berikutan cuaca tidak menentu.

Bagaimanapun, dua sahabat ini tidak mengalah dan meneruskan usaha mereka hingga hari ini.

Menyedari kesukaran yang bakal dihadapi, mereka mendapatkan kepakaran dua pekerja dari Thailand yang berpengalaman menanam anggur.

Azrul Nazim berkata, pembajaan perlu dilakukan dengan tepat kerana jika berlebihan boleh merosakkan pokok, manakala baja yang digunakan ialah campuran organik.

Katanya, walaupun penanaman pokok anggur rumit, Sendayan Valley menggunakan teknologi biasa seperti tanaman lain.

"Hasil tuaian pertama dibuang kerana pokok baru menyebabkan anggur tidak manis. Hanya tuaian kedua, baru boleh dimakan kerana pokok matang dan rasa lebih manis," katanya.

Beliau berkata, dahan anggur juga perlu dipangkas dari semasa ke semasa bagi merehatkan pokok, berbanding di negara iklim sejuk yang dibantu alam semula jadi, iaitu proses hibernasi (pokok seperti tidur) pada musim sejuk.

Namun, katanya proses memangkas dahan perlu kerap dibuat kerana dahan baru cepat tumbuh, manakala pokok disiram dua kali sehari, sekali pada waktu pagi dan kemudian waktu petang sebelum senja.

Azrul Nazim berkata, tidak banyak perbezaan di antara anggur di kawasan panas dan sejuk, malah anggur kawasan panas lebih segar kerana ditanam di sini.

Katanya, benih diambil dari Thailand kerana negara itu lebih maju dalam penanaman anggur yang bukan saja dijual di negara itu, malah dieksport.

"Anggur boleh dituai selepas 10 atau 11 bulan, tetapi masalah lain ialah burung cukup suka anggur yang manis dan sering datang 'bermain' di ladang ini, terutama ketika buah mula membesar dan masak. Untuk mengatasi masalah ini, jerat dipasang untuk menakutkan burung," katanya.

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::