ATTENTION !!!

Sunday, January 16, 2011

Makan Kitchen Hotel Doubletree

(Post: Bahasa Melayu)
" Apabila bercakap soal makanan, keenakan rasa, kepelbagaian menu, kualiti perkhidmatan dan pilihan lokasi yang sihat adalah sesuatu yang pastinya tidak boleh dikompromi. "

Sebagai sebuah negara yang bukan sahaja kaya dengan kepelbagaian budaya dan adat resam, masyarakat Malaysia juga dilimpahi dengan gastronomi yang penuh dengan pilihan.

Keunikan itu membolehkan rakyat negara ini merasai kulinari orang Melayu, pribumi Sabah dan Sarawak, sajian masyarakat Cina, India, Nyonya dan Kristang (peranakan Portugis Melaka).

Namun, jika diperhatikan bukan mudah untuk anda menikmati sajian itu pada satu masa dan lokasi yang sama.

Anda mungkin boleh menemui menu Melayu, Cina dan India di satu-satu tempat, namun, pasti tidak di bawah satu premis dengan masakan Nyonya atau pribumi Sabah dan Sarawak.

Malah, adalah sesuatu yang bukan mudah untuk anda menemui sebuah restoran yang bukan sahaja menyatukan kulinari pelbagai kaum, bahkan melengkapkan atmosfera 1Malaysia dengan dekorasi indah.

Namun, itulah keistimewaan dan keunikan yang ada pada Hotel Doubletree yang terletak di jantung Kuala Lumpur apabila menyatukan Malaysia di bawah satu dapur.

"Saya bukan sahaja dapat merasai kepelbagaian rasa makanan India dan Cina yang biasa saya makan tetapi pilihan makanan Melayu, Kristang dan Nyonya. Menariknya kerana saya dapat mencuba semua makanan hanya dalam satu masa," kata K. Kannathas, 34, seorang jurutera.

Walaupun baru kali pertama menjejakkan kaki ke Makan Kitchen di Hotel Doubletree, Kannathas percaya dengan tawaran yang pelbagai itu dia akan terus menjadi pelanggan setia Makan Kitchen.

Sajian Malaysia

"Makan Kitchen didatangkan dengan konsep untuk membawa semua makanan Malaysia di bawah satu bumbung."

"Untuk itu Hotel Doubletree bukan sahaja menyediakan ruang makan yang selesa malah pelanggan boleh melihat secara langsung chef-chef kami beraksi di kesemua tiga dapur utama kami."

"Ia seperti satu ruang, tiga dapur, enam kuisin, 32 chef dan pembantu dapur dengan 350 tempat duduk khas untuk pelanggan Doubletree," demikian penerangan yang disampaikan Pengurus Komunikasi dan Pemasaran, Hotel Doubletree, Cindy Wong.

Jelas Cindy lagi, konsep itu sememangnya sudah berada dalam perancangan sekian lama, namun, pihak pengurusannya di Singapura tidak dapat mencari ruang besar selain menunggu negara yang paling kaya dengan kepelbagaian makanan.

"Kebetulan pembukaan Doubletree di Malaysia yang kaya dengan makanan dari pelbagai bangsa, Malaysia dilihat sebagai lokasi paling ideal dengan konsep itu," katanya.

Makanan di restoran Makan Kitchen dimasak secara spontan seperti gaya gerai atau hawker. Dapur Peranakan Cina di sebelah kanan pintu masuk Makan Kitchen ditransformasi dengan rekaan konsep oriental.

Baik daripada rekaan dalaman, cara hidangan, cara masakan, peralatan masak mahupun aturan tempat duduk, tidak ubah dengan esen Cina Peranakan.

Dapur yang diketuai Chef Kua Beng Hooi dari Pulau Mutiara itu bertanggungjawab ke atas pilihan signatur dapur tersebut antaranya itik panggang dan dim sum yang distim segar.

Bagi dapur Melayu yang berlokasi selepas ruang resepsi Makan Kitchen di pintu masuk, ia dihiasi dengan konsep kampung yang menawarkan masakan popular Melayu, pencuci mulut dan manisan.

Diketuai Chef Ahmad Nurul Azri Abdul Manak dari Selangor, dapur Melayu menawarkan kepakaran makanan dari pelbagai negeri di Malaysia seperti sup pindang daging, ayam masak kicap berkentang, gulai udang, ketam goreng berlada dan banyak lagi.

Chef Ahmad Nurul dikatakan bukan sahaja berkemahiran dalam pelbagai masakan, malah beliau juga menyimpan pelbagai menu rahsia dari warisan orang lama yang menjadi antara tarikan di dapur Melayu.

Bagi dapur India, ia menawarkan makanan kaya dengan rempah daripada utara dan selatan India.

Antara sajian yang boleh dicuba termasuklah tandori ayam, tikka ikan, roti nan, kofta daging dan sebagainya yang disediakan di bawah pengawasan Chef Prem Kumar Jeyaraman dari Ipoh.

Tidak ketinggalan di sini juga pelanggan boleh menikmati makanan-makanan unik dan sukar diperoleh iaitu masakan Iban serta Kristang.

Antara sajian masyarakat Iban termasuklah ayam perap yang dimasak menggunakan buluh dan masakan popular Kristang iaitu kari ayam devil.

"Selain tawaran makanan yang mencapai kira-kira 200 hidangan bagi kedua-dua makan tengah hari dan malam, Doubletree juga menyediakan ruang makan persendirian dan separa persendirian kepada kumpulan kecil yang menempah awal."

Walaupun hanya mahu menghidangkan makanan Malaysia kepada para tetamunya, Cindy tidak menolak permintaan pelanggan antarabangsa yang memilih untuk menikmati makanan Barat.

"Kami ada menyediakan menu makanan antarabangsa tetapi ia hanya melalui tempahan sahaja dan tidak dihidangkan di Makan Kitchen. Ini bagi mengekalkan konsep Makan Kitchen selaku dapur Malaysia,: jelas beliau lagi.

Dekorasi Ruang Makan Bertema

Selain daripada enam gaya masakan pelbagai kaum di Malaysia, bertandang tamu di Makan Kitchen membolehkan anda mendekati atmosfera luar biasa apabila terdapat empat ruang makan yang dibina mengikut tema dekorasi Melayu, Cina, India dan Iban.

Malah, bersebelahan dengan dapur India yang berlokasi di bahagian paling belakang Dapur Melayu Makan Kitchen, Doubletree menyediakan tempat duduk bersila ala rumah panjang di Sarawak bagi menambahkan atmosfera 1Malaysia.

Jaminan yang diberikan oleh Cindy dari Doubletree kepada pelanggan Makan Kitchen adalah walaupun pelanggan memilih untuk datang pada waktu makan tengah hari mahupun malam, Makan Kitchen komited untuk menghidangkan makanan signatur mereka dari semua tiga dapur.

Pelanggan hanya dikenakan bayaran pada RM59 bagi dewasa untuk makan tengah hari dan RM79 dewasa bagi makan malam. Kanak-kanak di bawah 12 tahun pula dikenakan separuh daripada harga orang dewasa.

Sumber: Kosmo! Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::