The Ultimate Flour Strainer
(Post: Bahasa Melayu)
" Kreativiti serta daya inovasi sememangnya tidak mengenal usia. Malah jangan terkejut jika dikatakan bahawa golongan remaja serta kanak-kanak sebenarnya lebih kreatif berbanding orang dewasa. "
Sifat ingin tahu serta keghairahan mereka untuk meneroka sesuatu pekara pasti menemukan golongan tersebut dengan sesuatu yang tidak dijangka.
Apa yang penting, dengan sedikit dorongan serta bantuan segala yang diimaginasikan oleh golongan tersebut pastinya akan menjelma menjadi realiti.
Mungkin itu pandangan yang tepat untuk digambarkan bagi sekumpulan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Baloi, Johor yang berjaya dinobatkan sebagai pemenang Pertandingan Inovasi sempena Karnival Inovasi (MI) 2010 Zon Selatan bagi Kategori Sekolah Menengah di Batu Pahat baru-baru ini.
Ciptaan The Ultimate Flour Strainer dihasilkan oleh tiga pelajar sekolah tersebut, Khairunnisa Khairiah Hairudin, Mohamad Ikhsan Abdullah Ibrahim dan Mohd. Marwan Jumin dibawah bimbingan guru mereka.
Menurut guru mereka, Abdul Aziz Elias Ahmad, idea untuk mencipta alatan tersebut dikemukakan oleh ketiga-tiga pelajar tersebut berikutan pemerhatian mereka terhadap kesusahan pengusaha kuih-muih untuk menapis tepung.
"Pada peringkat awalnya saya agak keliru dengan konsep yang cuba mereka sampaikan."
"Namun melalui beberapa siri perbincangan bersama mereka di sekolah akhirnya saya bersetuju untuk membantu anak murid saya tersebut," ujarnya.
Malah, beliau sendiri tidak menyangka ciptaan tersebut mampu mengharumkan nama sekolah sehingga keperingkat kebangsaan apabila berjaya memenangi pertandingan inovasi tersebut.
Alat tersebut berfungsi sebagai pengayak automatik bagi mengasingkan benda asing seperti batu, kayu mahu pun apa jua bahan daripada tepung.
Ia bergerak dengan menggunakan pusingan sebuah motor kipas terpakai bagi menggegarkan tapis atau mengayak.
Motor alatan tersebut dikawal oleh suis dan gegaran terhasil apabila motor memutarkan paksi bilah kipas yang tidak seimbang.
"Jika kita lihat kipas biasa mempunyai tiga bilah, jadi semua bilah tersebut akan dibuang namun pada bahagian pangkal dua lagi bilah kipas akan ditinggalkan sedikit."
"Apabila motor dihidupkan, paksi bilah kipas yang tidak seimbang itu akan menghasilkan gegaran seterusnya akan menggegarkan pengayak dan secara automatik mengasingkan tepung dengan benda asing yang lain," jelasnya.
Tambah beliau, mendapatkan gambaran yang mudah ia diibaratkan seperti roda basikal yang tidak seimbang akan menghasilkan gegaran ketika di bawa dalam keadaan yang laju.
Inovasi tersebut sekali gus membantu golongan usahawan kuih muih untuk mengayak tepung dengan lebih cepat dan tidak mengakibatkan tangan cepat lenguh mahu pun penat.
Alatan yang hanya bermodalkan motor kipas terpakai, sedikit rod besi serta pengayak tersebut dilihat amat sesuai untuk dipasarkan berikutan ia mudah dihasilkan serta memiliki kos yang rendah.
Sumber: Utusan Malaysia Online
0 comments:
Post a Comment