Teknik Membaca Cahayaku
(Post: Bahasa Melayu)
" Aimi Nur Fatihah Ahmad Nazlan baru berusia 3 tahun 3 bulan. Namun, dia cukup lancar membaca buku. Tanpa tersekat-sekat atau tergagap, kelancarannya itu cukup sempurna. Ya, tiada kesilapan. "
Aimi dihantar ke Tadika Cahayaku seawal umurnya 2 tahun 2 bulan. Hanya selepas tiga bulan di situ, dia sudah mula membaca dengan lancar. Pantas bukan?
Selain Aimi, rakan-rakannya yang mengalami masalah seperti pelat, lembam, disleksia, sindrom down, autisme, gagap dan hiperaktif juga boleh membaca sepertinya.
Persoalannya, bagaimanakah kanak-kanak pada usia Aimi dapat membaca secepat tiga bulan sahaja?
Semuanya adakah berkat kaedah unik dipanggil Cahayaku yang diilhamkan oleh seorang wanita, Chahaya Abdul Manan, 48, kira-kira dua dekad lalu.
Chahaya yang hanya berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tanpa segulung ijazah dari mana-mana universiti mendapat ilham mencetuskan teknik Cahayaku selepas mengajar anak saudaranya berumur 7 tahun yang tidak tahu membaca.
"Ketika itu cuti sekolah. Kakak saya meminta bantuan untuk mengajar anaknya membaca kerana khuatir anaknya itu akan dimasukkan ke kelas pemulihan."
"Anak saudara saya mempunyai daya ingatan yang lemah, kerana itulah dia lambat membaca. Hari ini ajar, esok lupa. Idea ini terbit ketika anak saudara saya tanya, boleh tak baca kalau tak kenal ABC?" katanya ketika ditemui di Tadika Cahayaku, Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, Selangor.
Idea unik Chahaya
Pada mulanya Chahaya menggunakan kaedah lama dan ia ternyata tidak berkesan. Sehinggalah suatu hari, anak saudaranya menangis ketika sedang bermain dengan kawan.
"Dia menangis kerana diejek kawan. Dari situlah saya dapat idea bahawa mengejek memberikan kesan yang amat mendalam dalam diri kanak-kanak."
"Pada ketika itulah saya terdetik menggunakan mimik muka untuk mengajar kanak-kanak membaca. Melalui teknik mengejek ini juga, saya perkenalkan kepada kanak-kanak huruf vokal," ujarnya.
Ternyata cara mengejek menggunakan pendekatan mimik muka amat berkesan ke atas anak saudaranya kerana dia boleh membaca dalam tempoh satu bulan.
Teknik Cahayaku itu bukan sahaja dapat menyelesaikan masalah tidak boleh membaca dalam kalangan kanak-kanak normal, malah ia mampu membantu kanak-kanak bermasalah yang mengalami masalah penulisan dan pertuturan.
Teknik tersebut menggunakan gabungan tiga kaedah iaitu mimik muka, iqra' dan latih tubi. Teknik mimik itu juga melibatkan posisi bibir, gigi dan lidah membolehkan kanak-kanak membaca tanpa perlu mengenal abjad terlebih dahulu.
"Setiap huruf vokal diajar dengan bunyian sahaja dan mempunyai pengenalannya tersendiri."
"Huruf A dikenali dengan nganga besar, huruf E sendawa atau nganga kecil, huruf I tersengih atau tersenyum, huruf O membulatkan mulut dan huruf U disebut dengan muncung," katanya yang lebih suka menggunakan pendekatan bermain kerana itu lumrah bagi kanak-kanak.
Melihat penulis yang pada mulanya seperti kurang percaya dengan kaedah tersebut, Chahaya memanggil beberapa orang kanak-kanak prasekolah untuk mengeja perkataan yang sukar untuk dieja oleh murid tahun dua.
Jika di sekolah, apabila guru menyuruh murid tahun dua mengeja perkataan seperti ‘eksekutif’, pasti ramai yang tidak dapat menjawab. Tetapi kanak-kanak prasekolah di Cahayaku berebut-rebut untuk mengejanya tanpa silap.
Bantu kanak-kanak sindrom down
Bukan itu sahaja, penulis juga berpeluang mendengar sendiri Nur Adriana Fatini Khairul Anuar, 6, membaca buku bahasa Inggeris dengan yakin dan lancar tanpa kesalahan sebutan.
"Sistem ini berbeza kerana ia tidak kenalkan abjad tetapi kenalkan mimik. Kanak-kanak hanya tahu lakaran abjad tanpa mengetahui namanya dan setiap konsonan ada mimiknya."
"Mungkin ia kedengaran pelik kerana saya mengajar dengan menggunakan kaedah mimik muka, bunyi-bunyian dan ejekan tetapi ia sangat berkesan," jelasnya.
Tidak seperti tadika atau di sekolah-sekolah lain, pelajar istimewa di tadika Cahayaku tidak diasingkan dan menariknya mereka dapat menangkap apa yang diajar seperti kanak-kanak normal lain, malah ada yang lebih cerdik.
Sebagai contoh, kanak-kanak berusia 12 tahun bernama Hamzan Abdul Rahman. Tutur katanya pelat, tidak jelas dan tidak difahami serta dia menghidap sindrom down tetapi apabila diajar menggunakan kaedah itu, dia tidak pelat, malah membaca dengan jelas.
Mohd. Danial Hakim Mazlan, 6, yang menghadapi masalah pelat dan gagap pula kini sudah boleh membaca dengan lancar. Begitu juga dengan Nur Adelyn Marissa Azhar yang menghadapi masalah disleksia sudah boleh membaca dengan baik.
Tidak mahu dikatakan mencipta sesuatu yang 'syok sendiri' Chahaya bertindak mendekati beberapa tadika untuk menguji dan menilai kaedah cepat membaca Cahayaku.
"Projek perintis telah dijalankan di tadika Kemas di Taman Pedas Indah, Rembau, Negeri Sembilan pada tahun 2008. Bayangkan dalam masa sebulan sahaja, 45 kanak-kanak dari tujuh kelas di situ sudah boleh membaca," katanya.
Sumber: Kosmo! Online
1 comments:
alhmdulillah,,,cahaya itu selalu nampak,,,posting yang menyejukan qolbu..salam dari kami Tips Wisata Murah Indonesia .Syukron
Post a Comment