ATTENTION !!!

Tuesday, May 18, 2010

Legasi Ana Edar

(Post: Bahasa Melayu)
" Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Pepatah itu mungkin menjadi pegangan wanita kecil molek, Hasniza Hassan sehingga berjaya membantu mengangkat legasi perniagaan milik arwah bapa mertuanya, Othman Omar. Perniagaan itu diasaskan pada tahun 1983 dengan jenama Ana. "

Wanita berusia 37 tahun yang pernah bergelar pensyarah itu adalah Pengarah Pembangunan Perniagaan Ana Edar Sdn. Bhd. (Ana Edar). Hasniza membantu Pengarah Urusan Ana Edar, Lokman Othman, 37, yang juga suaminya.

Berbekalkan semangat dan tekad untuk meneruskan kelangsungan perniagaan warisan keluarga, pasangan suami isteri yang juga graduan Undang-Undang dan Syariah dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu berjaya menguruskan perniagaan dengan baik walaupun tanpa sebarang pengalaman dalam bidang perniagaan.

Walaupun jenama Ana telah bertapak di pasaran sekitar tahun 1983 dengan memasarkan produk kegunaan harian, Hasniza mula terlibat dalam perniagaan tersebut pada tahun 2000 yang memasarkan produk makanan tambahan berasaskan Islam.

Menurut Hasniza, penglibatannya dalam Ana Edar lebih kepada membantu mengembangkan perniagaan suaminya.

"Jenama Ana yang sudah 27 tahun bertahan bermula dengan jualan produk minyak wangi, bedak dan syampu. Dulu Ana memasarkan produk yang memang dicari-cari seperti produk kegunaan harian yang suci dan terjamin halal pembuatannya."

"Dahulu perniagaan ini dijalankan oleh arwah ayah dan ibu iaitu Othman Omar dan Esah Omar yang menjadi pengasas Ana sebelum diserahkan kepada suami saya, Lokman pada tahun 2000 selepas arwah meninggal dunia," katanya.

Tambahnya, dia dan suami hanya meneruskan perjuangan arwah untuk memasarkan produk alternatif berupa rangkaian produk halal dan suci, pada masa yang sama melahirkan usahawan Muslim berdaya saing dan berkemahiran.

Pada tahun 1988, perniagaan Ana Edar yang berteraskan perniagaan pelbagai peringkat (MLM) mendapat sambutan yang memberangsangkan.

"Selain menjual produk yang bermutu dan sesuai untuk kegunaan masyarakat, Ana Edar pada masa yang sama memberikan peluang perniagaan kepada orang ramai dengan berlandaskan syariat."

"Kami mengamalkan pelan pemasaran lebih terbuka dan tiada apa yang perlu disorokkan kepada mereka yang terlibat. Pendapatan mereka adalah hasil daripada keuntungan jualan, komisen dan pembayaran bonus bergantung kepada hasil jualan," ujarnya.

Kini, Ana Edar mempunyai lebih 40 rangkaian produk termasuk makanan, kosmetik, barangan keperluan rumah, kelengkapan mandian dan kebanyakan produknya sudah mendapat sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sementara yang lain masih dalam senarai menunggu.

Proses pembuatan produk Ana Edar disediakan di bawah piawaian Amalan Pengilangan Islam (IMP) yang mendapat pengiktirafan Jakim.

"Setiap produk yang dihasilkan dalam persekitaran Islam. Tiada sembang-sembang kosong, semua pekerja mempunyai wuduk sepanjang operasi dan sebelum memulakan kerja mereka akan berdoa."

"Buat masa ini, Ana Edar bekerjasama dengan kilang-kilang lain dan merancang untuk mempunyai kilang sendiri suatu hari nanti," jelasnya.

Kata Hasniza, semua kilang-kilang tersebut dipantau bagi memastikan kualiti dan keselamatan produk. Contohnya, produk kosmetik dan mandian tidak menggunakan bahan-bahan karsinogen.

Tahun ini, Ana Edar akan mengadakan siri latihan kepada pengedar dan stokis selain mengadakan siri jelajah ke seluruh Malaysia bagi mendidik masyarakat mengenai kebaikan produk Ana Edar.

Kepada yang berminat, Ana Edar mempelawa orang ramai yang ingin menjadi rakan niaga untuk produk Ana Edar meng hubungi talian 03-61890484 atau layari laman web Ana Edar

Sumber: Kosmo! Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::