ATTENTION !!!

Monday, March 1, 2010

Mesin Pembuat Beras Gentian

(Post: Bahasa Melayu)
" Malaysia sememangnya diketahui kaya hasil berasnya yang bertumpu di utara tanah air biar pun hakikatnya ia terbukti tidak cukup bagi menampung keperluan rakyat tempatan. Namun kini, sekurang-kurangnya ada pilihan lain iaitu beras optik atau gentian yang dihasilkan anak tempatan. "

Lebih istimewa lagi, beras 'tiruan' hasil campuran bahan mentah seperti isi ikan, ayam, jagung, sayur-sayuran dan ubi kentang itu turut meraih minat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang mahu menjadikannya bekalan bagi menampung keperluan penduduk dunia yang berdepan masalah kekurangan makanan.

Minat badan dunia itu sudah pasti memberi kepuasan tersendiri bagi pencipta beras dan mesin pengeluarnya, Wan Abu Bakar Wan Omar, 32, yang berasal dari Kelantan. Siapa sangka bapa dua anak ini mampu tampil dengan idea menghasilkan beras dikenali BVita Asas itu apatah lagi latar belakangnya bukanlah graduan bidang kejuruteraan mahu pun sains.

Namun berkat kegigihannya berbekalkan idea logik, semangat, titik peluh serta sokongan pihak berkaitan yang sudi membantu, mampu merealisasikan impian yang terpendam sejak sekian lamanya.

Menariknya, rasa BVita Asas yang dihasilkan menggunakan mesin ciptaan Wan Abu Bakar sendiri menerusi syarikatnya, WAB Warnasari Mekar Ent (M) Sdn Bhd (WAB Warnasari), tiada bezanya dengan beras biasa, malah lebih lembut.

Dengan ciri fizikalnya persis beras biasa, beras optik ini juga siap dimasak seawal lima minit. Ia juga boleh dinikmati dengan ditambah air panas - sekali gus menjadikannya sesuai bagi kegunaan anggota tentera dan polis yang bertugas selain pihak hospital.

Selain penghasilannya menepati syariat Islam, beras gentian ini juga menyihatkan. Pada masa sama, ia juga mampu menambah hasil pendapatan petani dan peladang menerusi pembelian bahan mentah yang diperlukan.

Bagaimanakah beliau boleh mendapat idea menghasilkan makanan ini?

"Semua ini timbul pada 1998 ketika rantau Asia dilanda krisis ekonomi meruncing. Saya tiba-tiba terfikir apa akan terjadi sekiranya dunia tidak lagi mampu mengeluarkan beras terutama jika tanah sawah terbatas."

"Dari situ saya cuba menghasilkan beras gentian daripada campuran isi ikan, ayam, sayur-sayuran dan sebagainya. Menggunakan mesin yang saya cipta, ia berjaya," katanya yang berkelulusan Sijil Pengajian Perniagaan selain pengalaman sebagai tukang masak dan berkemahiran dalam bidang teknikal, pemasaran dan teknologi maklumat.

Ironinya, beras BVita Asas yang diinginkan UNHCR itu adalah produk sama yang pernah dipersembahkan Wan Abu Bakar kepada seorang pegawai tinggi kerajaan bergelar profesor.

Ketika PBB memintanya menghasilkan lebih banyak beras seumpama itu, pegawai berkenaan menempelaknya dengan alasan bagaimana seseorang yang tiada asas pertanian boleh menghasilkan beras gentian sedangkan dia yang bergelar profesor tidak mampu berbuat demikian.

Ini tidak mematah semangatnya yang sanggup berkelana ke China selepas seorang usahawan negara itu tertarik dengan ideanya menghasilkan mesin pengeluaran bagi menghasilkan produk mengikut keperluan.

Kilang pertama hasil buah fikirannya didirikan di Shandong, China dan selepas lebih 10 tahun, barulah kilang pertama dapat dibina di Pangkalan Chepa, Kelantan.

Kini, beliau memberi tumpuan kepada penghasilan mesin dan beras gentian yang sudah mendapat minat pihak yang mahu memasarkannya ke Jepun kerana ciri-cirinya yang menyamai beras bagi menghasilkan sushi.

Lebih membanggakannya, PBB turut menunjukkan minat terhadap beras Bvita Asas berkenaan. Malangnya, permintaan PBB yang mahukannya menyediakan bekalan sehingga dua tan sehari atau bersamaan 10,000 beg yang setiap satunya seberat 50 kilogram, tidak mampu ditunaikan.

"Apa daya saya yang cuma ada satu mesin yang boleh mengeluarkan cuma 250 kilogram beras sejam. Bagi memenuhi keperluan UNHCR, saya memerlukan sekurang-kurangnya 12 mesin yang kos untuk menghasilkannya berjumlah kira-kira RM3 juta."

"Saya tidak mempunyai modal sebanyak itu untuk menghasilkan mesin berkenaan dan usaha mendapatkan pinjaman juga boleh saya katakan amat sukar kerana kelayakan saya mencipta mesin itu dipertikaikan."

"Memang berat hati saya menolak permintaan itu kerana ia datangnya dari badan dunia, satu pengiktirafan yang cukup besar tetapi apa boleh buat kerana saya memang tidak mampu menyediakannya," katanya.

Beliau pernah dilabel gila. Bukan sekali malah dua kali menjadi bahan ketawa pegawai yang kononnya lebih berkelayakan. Namun itu tidak mematah semangatnya yang terus menebalkan muka menjaja produknya.

Bagi Wan Abu Bakar Wan Omar, beliau bukannya mahukan nama apatah lagi gelaran. Sekadar pengiktirafan kepada mesin untuk industri makanan yang diciptanya. Sayangnya itu pun belum mampu diperoleh kerana tidak mempunyai kelayakan dalam bidang kejuruteraan - dosa yang terlalu kecil dibandingkan dengan apa yang sudah berjaya diketengahkan sehingga mendapat pengiktirafan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Keadaan itu menyebabkan Wan Abu Bakar sukar membuat pendaftaran mendapatkan hak cipta kerana ia tidak diiktiraf agensi berkaitan. Jauh di sudut hati, Wan Abu Bakar terkilan dengan kerenah birokrasi di negara ini yang didakwanya menyukarkan usahanya mendaftarkan ciptaannya.

"Saya pernah membawa ciptaan saya kepada beberapa agensi tetapi kelulusan tidak boleh diberi dengan alasan saya tidak mempunyai kelayakan kejuruteraan," katanya.

Keluhan Wan Abu Bakar tidak boleh dipandang sipi kerana bukan mudah anak Melayu menembusi pasaran antarabangsa. Cuma agak menghairankan jika PBB sendiri sudah mengiktiraf, mengapa pula beliau menjadi anak tiri di negara sendiri.

Namun semua itu bukan satu halangan besar kepada anak muda yang berminat dalam bidang penciptaan sejak masih bergelar kanak-kanak. Dilahirkan sebagai anak kepada seorang pengamal perubatan tradisional yang kerap menggunakan mesin pengisar untuk menghasilkan ubat-ubatan, Wan Abu Bakar sering menjadi sasaran kemarahan kerana bertindak memandai-mandai mengubah suai mesin ayahnya.

"Dari situ saya dapat idea untuk menghasilkan mesin untuk industri makanan. Namun saya tidak sangka ciptaan saya sama sekali tidak mendapat pengiktirafan kerana saya bukan jurutera bertauliah. Sekadar seorang lelaki yang berminat dalam ciptaan mesin."

"Saya berterima kasih kepada rakan perniagaan saya di China yang membuka peluang kepada saya menjual kepakaran. Saya mengambil masa lama mendirikan kilang di sini kerana tiada modal. Saya tidak ambil sedikit pun keuntungan daripada syarikat di China sebaliknya membuat perjanjian mereka memberi tumpuan kepada pasaran Amerika Syarikat dan Eropah manakala saya akan menguasai seluruh Asia."

"Saya amat bersyukur kerana pelbagai mesin ciptaan saya yang menghasilkan produk makanan ikan, ternakan dan haiwan peliharaan serta makanan ringan sudah menembusi pasaran India, Emiriah Arab Bersatu, Iran, Thailand, Singapura dan Arab Saudi," katanya yang memulakan kerjayanya dengan membuka bengkel di rumah.

Walaupun tidak mendapat pengiktirafan, Wan Abu Bakar sudah boleh berbangga berikutan ciptaannya mendapat tempat di kalangan pengusaha industri kecil dan sederhana kerana mesinnya yang lebih jimat elektrik, pelbagai guna, lebih mudah dikendalikan dan paling penting ia jauh lebih murah berbanding harga mesin di pasaran.

Pun begitu, Wan Abu Bakar, tidak tamak untuk menguasai industri pembuatan mesin kerana beliau cuma berminat menghasilkan mesin yang belum ada di pasaran.

"Pelanggan cuma perlu datang jumpa saya dan menerangkan jenis mesin yang mereka kehendaki untuk industri yang diusahakan. Saya akan hasilkan mesin yang dikehendaki mengikut kemahuan dengan sedikit cadangan daripada pihak saya mengenai apa yang perlu dan tidak perlu pada mesin itu."

"Saya menjual kepakaran. Saya tidak menghasilkan mesin dan menjualnya. Itu bukan cara saya. Saya lebih kepada menawarkan perkhidmatan mengikut apa yang industri mahukan," katanya.

Pelanggan Wan Abu Bakar bukan hanya industri besar dan agensi kerajaan sebaliknya orang perseorangan yang mengusahakan restoran malah spa.

Dengan harga mesin antara RM2,000 dan RM1 juta mengikut spesifikasi dan fungsi yang dimahukan, ciptaan Wan Abu Bakar sebenarnya sudah cukup matang untuk diperkenalkan di peringkat antarabangsa.

INFO:
Beras gentian

- Beras tiruan boleh dihasilkan dengan menggunakan pelbagai sumber kanji atau menggantikan kanji.

- Kaedah ini membolehkan bahan sampingan lebih berkhasiat dicampurkan yang tidak terdapat dalam beras biasa.

- Beras Bvita Asas menggunakan bahan asas seperti campuran isi ikan, kentang, isi ayam dan jagung.

- Memiliki ciri fizikal sama seperti beras biasa dan ada usaha menjadikan ia seperti saiz beras siam.

- Boleh dimasak dan siap dalam tempoh seawal lima minit.

- Beras segera ini lebih lembut dan berkhasiat dan mudah disediakan, termasuk cuma menambah air panas.

- Paling sesuai digunakan untuk membuat sushi.

- Penghasilan BVita Asas menepati syariat Islam.

- Sesuai dijadikan pengganti beras biasa ketika krisis makanan meruncing.

Sumber: Berita Harian Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::