ATTENTION !!!

Sunday, March 14, 2010

Choc Box Arah Chocolate

(Post: Bahasa Melayu)
" Tidak pernah terlintas di fikiran Siti Zahrah Mat Zin, 35, bahawa dengan mempromosikan coklat buatan tangannya di blog, perniagaan secara sampingannya itu mampu bergerak lebih maju dan mempunyai tempahan berganda. "

Tambahan pula, idea membuat blognya sendiri itu bukan datang daripada dirinya sendiri, sebaliknya atas cadangan kakaknya yang mahu melihat perniagaan coklat dari rumah itu bertambah maju.

Dia sendiri tidak pernah begitu bersungguh-sungguh menjalankan perniagaan itu. Namun, dia mula terasa keseronokannya apabila banyak tempahan diterima secara dalam talian, termasuk mereka yang berminat untuk mengikuti kelas pembuatan coklat di rumahnya.

Hari demi hari, kesungguhan menjalankan perniagaan itu datang dengan sendirinya malah dia yang selesa dengan panggilan Arah sentiasa memikirkan corak atau kaedah baru supaya hasil coklatnya menjadi lebih menarik, kreatif dan bertambah lazat.

"Saya belajar membuat coklat sejak awal tahun lepas tetapi hanya pada Disember lalu saya membuat keputusan memulakan perniagaan ini, itu pun selepas mendapat nasihat dan galakan daripada kakak saya."

"Dia juga mencadangkan supaya saya mewujudkan sebuah blog berkenaan perniagaan ini agar lebih ramai orang tahu sekali gus memajukan perniagaan ini," jelas setiausaha syarikat produksi ini.

Bercerita lanjut, sebelum memulakan blog, Zahrah menjalankan promosi secara konvensional, iaitu dengan membawa hasil coklatnya ke pejabat, atau menjadikannya sebagai buah tangan ketika bertandang ke rumah teman-teman.

"Dari situ, mereka mula mengetahui tentang perniagaan ini dan tempahan pun mula diterima."

"Selain itu, suami juga turut membantu dengan membawa coklat ini ke pejabat. Dari situ juga, saya mula membuat hasil coklat yang pelbagai bagi memenuhi cita rasa dan supaya nampak lebih menyelerakan," katanya.

Zahrah bertuah kerana mempunyai seorang suami yang ringan tulang dalam menyiapkan tempahan dan memberi idea-idea reka bentuk coklat yang baru.

Suaminya, Rozaimi Alias, 36, juga memberikan galakan sepenuhnya lantas membuatkan kerja-kerja membuat coklat lebih menyeronokkan.

"Kalau buat seorang diri memanglah bosan apatah lagi sekiranya banyak tempahan. Lagipun, saya berkerjaya dan hanya mempunyai masa terluang pada hujung minggu."

"Jadi, suamilah yang banyak membantu menyiapkan tempahan terutama tugasan yang memerlukan pewarnaan coklat dan penentuan corak coklat," katanya.

Sementara itu, Zahrah sentiasa memantau maklum balas di blognya selain melayani tempahan melalui panggilan telefon.

"Kadang-kadang pelanggan datang sendiri untuk ambil tempahan dan kadang-kadang saya sendiri akan hantar kepada pelanggan sekiranya lokasi berhampiran dengan rumah atau pejabat."

"Selain itu, saya menggunakan perkhidmatan pos sekiranya pelanggan tinggal jauh. Itupun atas dasar persetujuan bersama. Kos penghantaran pos akan ditanggung oleh pelanggan," katanya.

Tambah Zahrah, dia turut menganjurkan kelas bagi mereka yang berminat dengan yuran sebanyak RM180 untuk satu sesi penuh di rumahnya sendiri.

"Saya akan menyediakan semua kelengkapan dan hasilnya mereka boleh bawa balik ke rumah masing-masing."

"Selain itu, saya juga akan menyediakan nota-nota mengenai kaedah masakan, senarai kedai-kedai bakeri yang menjual bahan-bahan dan acuan coklat masakan dan sebagainya," jelas ibu kepada tiga orang anak itu.

Pilih sahaja sama ada Lollichoc, Praline, Choc Oreo atau Choc Box, Zahrah akan menyediakan kesemuanya mengikut pilihan warna, perisa tambahan dan inti daripada pilihan kekacang.

"Kanak-kanak amat menggemari Lollichoc kerana bentuknya yang comel dan harganya juga tidak mahal kerana saya menjual dengan harga lebih murah untuk kanak-kanak iaitu sekitar 90 sen sebatang."

"Bagi pilihan corak Praline yang pelbagai, antaranya bentuk buah-buahan dan bunga, saya jual mengikut jumlah tempahan dan jenis coklat yang digunakan sama ada coklat putih, coklat gelap dan coklat susu atau coklat conventure yang lebih mahal," katanya.

Menurut Zahrah, dia juga menerima tempahan untuk majlis perkahwinan dan pelanggan selalunya menempah Choc Box iaitu kotak coklat yang berisi pilihan coklat Praline yang pelbagai mengikut kehendak pelanggan.

"Choc Box mahal sedikit iaitu sekitar RM55 untuk satu kotak (516 gram) kerana ia diperbuat daripada coklat sepenuhnya dan cara membuatnya lebih rumit kerana mengambil masa lebih panjang dan perlu lebih berhati-hati."

"Choc Oreo pula lebih murah iaitu sekitar RM1.40 setiap satu tetapi dengan pembelian banyak, harga akan menjadi lebih murah. Pelanggan juga boleh memilih tema warna yang dikehendaki," katanya.

CONTACT INFO:
Telefon: 013-3692824

Sumber: Kosmo! Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::