Penampilan Diri Usahawan Berjaya
(Post: Bahasa Melayu)
"Pandangan pertama pelanggan sering singgah pada penampilan diri seseorang usahawan kerana silap mengolah gaya, sedikit sebanyak menjejaskan reputasi dan sekali gus memberi kesan langsung kepada perniagaan dijalankan."
Begitu pandangan perunding imej dan penceramah bebas penampilan diri, Sheryna Iftenie, yang menyifatkan kerjaya seseorang perlu diberi perhatian sama ada usahawan baru atau mereka yang sudah lama berkecimpung dalam perniagaan.
Menurutnya, jenis kerjaya turut mempengaruhi penampilan dan keyakinan seseorang menerusi gaya pemilihan pakaian, warna, corak atau rekaan pakaian. Begitu juga dengan aksesori, sepatu, rambut atau tudung yang menjadi pelengkap gaya.
Bahkan, katanya, serlahan diri perlu hadir dalam satu pakej yang menarik dan cantik menerusi penampilan bergaya serta penuh santun.
Baik lelaki atau wanita, ia perlu diberi perhatian kerana orang ramai bukan hanya melihat kehebatan usahawan itu berdasarkan produk semata-mata sebaliknya pandangan masyarakat kian berubah mengikut arus kemodenan.
Dia yang juga pemilik MICN Dimon Touch Services mengakui, ramai usahawan wanita yang tidak tahu memanfaatkan kecantikan diri untuk menjadikan gaya dan penampilan bagi menarik lagi aura dalam melariskan perniagaan.
"Pada saya, ciri-ciri usahawan itu bukan hanya dilihat kepada produk mahupun perkhidmatan yang hendak dijual, tetapi penampilan seseorang juga ada peranan tersendiri."
"Gaya jurujual yang selekeh dengan menjaja barang kurang mampu memperdaya pembeli berbanding gaya jurujual kemas lagi bergaya," katanya.
Menurutnya, ramai wanita yang mahu dilihat tinggi dan cantik. Untuk itu antara saranannya, apabila memakai kasut yang tinggi, ia perlu dilihat kesesuaian badan seseorang. Jenis kasut juga hendaklah diambil kira, bersesuaian dengan postur tubuh.
"Rambut juga memainkan peranan tersendiri sama ada dari segi kekemasan, warna atau cara olahannya. Bagi mereka yang berpenampilan Muslimah, ia juga boleh kelihatan menarik jika kemas dan tahu menyesuaikan gaya sebagai usahawan."
"Sebagai pemilik syarikat dan berhasrat melariskan perniagaan, pakaian atau penampilan seharusnya menggambarkan ciri-ciri seorang usahawan."
"Ia pasti akan memberi banyak kelebihan dan seterusnya keyakinan kepada diri sendiri selain membina rasa percaya yang tinggi dalam kalangan pelanggan," katanya.
Sheryna juga mengakui, pendedahan kepada bakal usahawan atau mereka yang sudah menceburi perniagaan mengenai teknik pembentukan imej penting dalam usaha meletakkan cara berpakaian dan nilai profesionalisme seiringan.
Dia turut menekankan, aspek perawatan wajah juga penting kepada diri seseorang usahawan untuk sentiasa tampil menawan.
"Golongan yang bekerja dalam bidang kreatif tentu lebih sesuai dengan cara berpakaian kasual sepanjang menjalankan tugas. Bagi golongan eksekutif pula tentu berbeza dengan jurujual walaupun matlamatnya sama iaitu melariskan barangan jualan mereka."
"Bidang lain juga menuntut cara berpakaian yang berbeza mengikut situasi atau skop kerjaya berkenaan."
"Justeru, seni dalam menyerlahkan penampilan diri amat penting selain memiliki kemahiran komunikasi yang berkesan," katanya.
Pihaknya turut giat mengendalikan seminar penampilan diri bersama Unit Pembangunan Usahawan Mara, Wilayah Persekutuan (Pusma).
CONTACT INFO:
Email: sweetcherry110@yahoo.com
Sumber: myMetro
Foto: GAC Consultants
1 comments:
Salam.
erm, keterampila sesungguhnya penting:)
Post a Comment