ATTENTION !!!

Tuesday, December 1, 2009

Makanan Arab di Restoran Al-Jazeerah

(Post: Bahasa Melayu)
"Dari pandangan luar, Restoran Al-Jazeerah saling tidak ubah seperti kedai makan biasa malah menurut pemiliknya, Wadhah Haitham Ali Thabet yang berasal dari Yaman, lokasi restoran yang menyajikan hidangan dari Asia Barat itu agak tersorok menyebabkan ramai tidak menyedari kewujudannya."

Bagaimanapun, bagi mereka yang gemar mencuba dan pernah berkunjung ke Restoran Al-Jazeerah, cubaan kali pertama pastinya tidak akan berakhir tanpa kunjungan seterusnya.

Kata Wadhah, kebanyakan pelanggan yang berkunjung ke restorannya adalah mereka yang pernah ke Tanah Suci Makkah dan merindui masakan Arab antaranya mendi, iaitu sejenis makanan tradisional Yaman berasaskan nasi dan daging ayam atau kambing yang dimasak di dalam tanah.

Tetapi, atas faktor keselamatan dan kesukaran untuk mendapatkan sebuah premis tersedia dengan dapur di dalam tanah, pemilik Al-Jazeerah menggantikan kaedah masakan tersendiri dengan jaminan, rasanya tetap kekal sama.

"Untungnya, kami mempunyai chef yang sememangnya didatangkan khas dari sana, malah kehebatan mereka mengadun masakan Arab memang diakui pengunjung setia Al-Jazeerah sehinggakan ramai yang memuji keenakan rasa air tangan chef kami," katanya sambil diakui isteri tercinta, Farah Mohamed Noor.

Melangkah masuk ke Restoran Al-Jazeerah yang diambil daripada perkataan Jazeerah, bermaksud sebuah pulau, penataan gaya dan hiasan dalamnya yang ringkas, tetapi dilengkapi kain sulaman tradisional Arab berjaya mencetus suasana Timur Tengah.

Menurut pemilik kedai, tidak lengkap kunjungan ke Al-Jazeerah jika tidak dihidangkan dengan jus buah campuran yang berasaskan buah mangga dan pisang segar.

Benar seperti dikata, menikmati jus mangga dan pisang tanpa campuran ais begitu terasa, malah nikmatnya memang sukar dilupai kerana gandingan rasa pisang yang bersatu dengan mangga memang serasi.

Kemudian satu persatu hidangan yang menjadi kegemaran warga Asia Barat disajikan untuk dirasa antaranya mendi, matby (daging ayam atau kambing bersos barbeku), kebab bersos lada hitam, fatoush (salad dan daging), hummus (pencuci mulut daripada kacang kuda), gambri (udang goreng bersos) dan pelbagai lagi hidangan yang memenuhi meja.

Kata Farah, kebanyakan rakyat tempatan yang datang ke Al-Jazeerah lebih suka menikmati hidangan berasaskan nasi, manakala pengunjung dari Iran atau Arab pula senang memilih menu daging atau ikan yang dipanggang.

"Bagaimanapun, setiap pengunjung yang memesan menu berat seperti nasi akan diberikan sup kosong dan cili jeruk Arab yang dipanggil shahawik secara percuma."

"Kami cuba membawa budaya Arab yang gemar bersedekah di sini dan kami sendiri puas melihat pengunjung gembira menikmati makanan yang dihidang, malah tidak terlalu memikirkan soal keuntungan," katanya.

Ia memang diakui kerana di Restoran Al-Jazeerah, semua hidangan walaupun merangkumi menu lengkap nasi, sayur, daging atau ayam hanya dijual pada harga RM10 hingga RM17 saja.

Selain menyediakan hidangan melalui menu, Wadhah turut menawarkan khidmat katering seperti kenduri atau jamuan di pejabat.

"Hidangan istimewa kami semestinya kambing panggang yang dipanggil mahshi, iaitu seekor kambing yang diisi rempah ratus di dalam perut dan dipanggang sesuai untuk majlis aqiqah atau kahwin," katanya mengakhiri perbualan petang itu.

INFO:
Restoran Al-Jazeerah
Pemilik: Wadhah Haitham Ali Thabet
Konsep: Menu Asia Barat

Lokasi: CDB Perdana, Cyberjaya
Telefon: 03-83203320

Menu:
- Matby kambing RM15
- Matby ayam RM10
- Mendy kambing RM17
- Mendy ayam RM11
- Hummus RM5
- Kebab ayam RM15
- Shish tawook RM12
- Daging panggang campur RM20
- Fatoush RM6
- Arabic salad RM5

Sumber: Berita Harian Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::