ATTENTION !!!

Monday, November 9, 2009

Tenunan Sambitan Etnik Iranun

(Post: Bahasa Melayu)
"Sabah mewarisi kraf warisan yang mempunyai nilai estetika tiada tolok bandingnya apatah lagi dengan 30 etnik yang bertutur dalam 80 dialek tempatan."

Tidak hairan, ia memiliki empat adiguru, pengiktirafan tertinggi bagi mereka yang memiliki kepakaran dan ilmu dalam seni kraf negara.

Promosi Batik dan Tenun Sabah 2009 anjuran Kraftangan Malaysia berlangsung di Centre Atrium, 1Borneo, Kota Kinabalu, baru-baru ini mengajak orang ramai menghayati ketinggian mutu warisan seni tenunan dan pertukangan masyarakat pribumi Sabah yang kian diancam kepupusan ini.

Menghayati tenunan sambitan iaitu hasil seni kraf tangan etnik Iranun, ia biasanya dipakai pada majlis keramaian terutama di Kampung Rampayan Laut, Kota Belud, yang menjadi amalan tradisi masyarakat itu sejak lebih 100 tahun lalu.

Keunikan tenunan ini yang dihasilkan satu adiguru kraf tangan Iranun, Pandian Sulaiman, 59, pernah menarik perhatian bekas isteri jutawan terkemuka dunia, Donald Trump, Ivana ketika dipertontonkan pada Minggu Malaysia 2008 di kota London pada tahun lalu.

Malah, dek terpikat dengan seni penghasilan sambitan yang memiliki kesenian tinggi, penggemar fesyen dan bintang realiti itu juga membeli beberapa pasang fabrik tenunan warisan Iranun untuk dijadikan koleksi peribadinya.

Kepakaran adiguru itu kini dikongsi bersama anak buah di di Bengkel Kraf Tangan Tenunan Destar, sumbangan Kraftangan Malaysia di Kampung Rampayan Laut.

Di bengkel bersebelahan rumah itu, Pandian turut melatih generasi muda termasuk remaja dan lepasan Institut Kraf Negara.

Selain sambitan, Kota Belud terkenal dengan seni tenunan dastar dan mugah.

Kedua-duanya, jika digabungkan bersama tengkolok, akan menghasilkan pakaian tradisional kebanggaan Iranun.

Ketiga-tiga tenunan mungkin kelihatan serupa, namun setiap satu menggunakan teknik menuntut kepakaran berbeza.

Justeru, ada dua lagi adiguru Tenunan Iranun yang diiktiraf dalam bidang itu iaitu adiguru Dastar, Ramiah Abdullah, 75, dan pakar mugah, Sabnah Dollah, 64.

Dastar lazimnya dihasilkan dengan motif tenunan dalam bentuk geometri seperti tuarah (binatang), boras (swatika), saledap (salib), onsod (pagar), sheku (sesiku), samping gapas (keping salji) dan anunan (bunga), selain motif paling popular iaitu lelaki menunggang kuda di Kota Kinabalu.

Mugah pula pakaian tradisi yang digunakan pembesar etnik itu pada era kegemilangan kesultanan Sulu di Filipina dan Borneo Utara (nama lama bagi Sabah).

Namun, peredaran masa menyaksikan warisan itu kini boleh dipakai orang kebanyakan tanpa mengira status.

Pameran yang julung kali diadakan itu turut mengetengahkan kraf tangan asli berteraskan hiasan manik pada pakaian serba hitam warisan etnik Rungus.

Pakaian dengan manik rekaan sendiri itu dipakai pada sambutan besar seperti majlis perkahwinan, keraian, kematian selain sambutan tetamu.

Diadakan di kompleks beli-belah terbesar Borneo, ia turut mempamerkan warisan pertukangan parang Bajau dengan ukiran melambangkan budaya dan kehidupan etnik Bajau seperti motif serimpak (mahkota) pada hujung sarung parang.

Serimpak adalah aksesori pengantin perempuan pada majlis persandingan.

Namun parang itu seperti gong kini turut menampilkan sentuhan moden tanpa mengganggu gugat keaslian warisan kraf yang banyak didapati di daerah Kota Belud ini.

Antara acara lain yang berlangsung termasuk jualan barangan kraf daripada 50 usahawan seluruh Malaysia, demonstrasi kraf seperti tenunan songket dan pua, tekat, sulam canting batik dan pertunjukan fesyen batik yang pernah dipersembahkan sempena jualan di Harrods, London.

Pengerusi Kraftangan Malaysia, Datuk Seri Salleh Said, ketika merasmikan program yang pertama kali dilancarkan di Sabah itu, berkata pihaknya berharap pihak swasta terutama gedung perniagaan utama menyokong usaha kerajaan dalam mempromosikan kraf tempatan.

"Ini supaya pelancong dapat mengenali kraf tempatan dan tidak membanggakan produk kraf dari Filipina kerana produk tempatan sebenarnya lebih menarik dan berkualiti," katanya.

Sumber: myMetro

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::