Doktor Cermin
(Post: Bahasa Melayu)
"Terngiang-ngiang skrip filem Seniman Bujang Lapuk, 'tak dapat jadi Hang Jebat, jadi Hang Kebun pun jadilah'. Sama skripnya dengan pemilik bengkel membaik pulih cermin kenderaan, Khairulnizam Jothy Abdullah, 40, 'tak dapat jadi doktor (perubatan), jadi doktor cermin pun jadilah'."
Kerjayanya sebagai pakar dalam pembaikan cermin kenderaan melalui bengkelnya, Suhas Windshield Medic’s, meletakkan dirinya sebagai setaraf 'doktor' dalam bidang berkenaan.
Baginya, kenderaan umpama badan manusia, ada ketikanya ditimpa musibah atau sakit. Sudah tentu memerlukan rawatan, penelitian khusus yang hanya dilakukan dengan pengawasan pakar bagi mengelak tersalah rawatan yang boleh mengakibatkan keadaan lebih parah.
Jika bidang kedoktoran mempunyai pakar, bidang permotoran juga mempunyai pakar sendiri. Pakar membaik pulih cermin kenderaan yang retak juga layak digelar doktor cermin kerana itulah kemahirannya yang tidak ada pada mekanik lain.
Tidak semudah disangkakan, jika bidang kedoktoran memerlukan sekurang-kurang lebih lima tahun sebelum ditauliahkan, begitu juga liku hidup yang dilalui Khairulnizam yang lebih mesra dengan panggilan Sham.
Anak kelahiran Tasek, Perak ini memulakan langkah sebagai mekanik cermin kenderaan hanya dengan menggunakan sebuah motosikal buruk. Kerjanya hanya menunggu panggilan, jika berlaku keretakan dan kecemasan, di situlah beliau akan muncul bersama peralatannya untuk membaik pulih cermin.
Pengalaman bekerja di jalanan hampir empat tahun memberikan keyakinan kepada dirinya untuk bertapak sebelum memiliki bengkel sendiri. Berdasarkan pengalaman dan sedikit modal, bapa kepada dua anak ini menumpang dengan menyewa sebahagian kecil bengkel rakannya di Batu Caves.
Jika dihitung, kini sudah 15 tahun Sham terbabit dalam dunia pembaikan cermin kenderaan dan boleh berbangga kerana mampu menyewa sebuah kedai di lokasi yang strategik di Taman Sri Batu Caves, Gombak, Selangor.
"Memang pada awalnya, saya menggigil apabila dapat pelanggan pertama. Berdebar-debar sebab tak tahu lagi apa akan jadi, padahal dah banyak pengalaman, tetapi bila ada bengkel sendiri, ia cukup berbeza," katanya yang kini mempunyai lima pekerja.
Bahkan, ketua stafnya yang dikenali sebagai Selvam, 37, juga dilatih secara profesional dan baru saja selesai menjalani latihan khas di Amerika Syarikat.
Ketika Berita Minggu meninjau bengkel, kelihatan Sham sedang tekun menyiapkan kerja membaik pulih sebuah kereta Honda Civic. Kawasan retak ditanda, dikeringkan dan dibersih sebelum dibuang habuk dan serpihan kecil yang ada di dalam retakan tetapi tidak boleh dilihat pada mata kasar.
Sham menjelaskan, bagi kes cermin retak secara garisan panjang atau bentuk separuh bulan penuh, mereka akan melakukan 'stopper' bagi mengelakkan aliran retak terus merebak.
Bagi kes retak kecil berbentuk bintang pecah sebutir dan 'bull-eyes', kes itu akan dirawat dengan menebuk lubang retak dan membetulkan kedudukannya. Lubang hanya akan dikorek sehingga habis lapisan pertama cermin.
Seterusnya, mereka akan memasukkan 'ubat' yang disuntik ke dalam retakan yang sudah dibersih, diperbetulkan menggunakan tiga jenis 'ubat' mengikut jenis dan bentuk retakan.
Ubat yang digunakan biasanya diimport dari Amerika Syarikat jenis, crack seal (retak berliku dan separuh bulan), Star Fill dan Suhas Windshield (retak panjang) akan disuntik menggunakan alat khas.
"Bukan semua jenis cermin dan retak boleh diperbaiki. Kami akan teliti tahap kerosakan, dan jika teruk kami nasihatkan pelanggan supaya menggantikan dengan cermin baru. Biasanya kes begini membabitkan cermin satu lapis dan kes retak terlalu panjang melebihi 15 inci."
"Jika diperbaiki, ia tidak berapa selamat, sedangkan cermin depan sangat penting dalam menentukan keselamatan pemandu," katanya.
Ubat yang disuntik ke dalam cermin akan dibiarkan mengering yang mengambil masa 20 hingga 30 minit, bergantung kepada saiz keretakan. Proses terakhir dipanggil finishing iaitu mengeringkan kesan suntikan ubat dan kawasan sekitar menggunakan cahaya lampu ultra violet selama dua minit.
Nasihatnya, pemilik kenderaan yang menghadapi masalah cermin retak supaya segera mendapatkan rawatan kerana jika dibiarkan, pelbagai unsur kotoran, debu, air akan masuk ke dalamnya menyebabkan kesan retak yang ditampal tidak boleh hilang sepenuhnya jika dibaikpulih.
"Kami tidak akan lakukan proses membaiki pulih jika cermin kenderaan dalam keadaan basah kerana air masih ada di dalam retakan dan akan mengganggu ubat yang disuntik. Jika dilalukan juga, ia tidak tahan lama," katanya.
Sumber: Berita Harian Online
0 comments:
Post a Comment