ATTENTION !!!

Wednesday, September 2, 2009

My Waffle Shop

(Post: Bahasa Melayu)
"Ada juga sesetengah pelanggan yang mahu menggabungkan lebih daripada dua perisa. Ini terpulang kepada selera masing-masing. Kebanyakan pelanggan gemar dengan gabungan perisa coklat dan mentega kacang yang klasik. Perisa cappucino juga mendapat perhatian sejak ia diperkenalkan beberapa bulan lalu."

Sajian pantas dan mengenyangkan seperti waffle sering kali menjadi pilihan warga kota yang sentiasa sibuk dengan tugas seharian sama ada untuk sarapan mahupun makan malam.

Hidangan seperti waffle iaitu sejenis kuih seakan apam yang dimakan panas bersama mentega atau perisa lain antara yang menjadi pilihan kebanyakan kerana selain cara menyediakannya mudah, rasanya juga enak dan cukup mengenyangkan.

Bagi pemilik kedai My Waffle Shop yang terletak di pintu keluar stesen LRT Wangsa Maju, Yusnida Ramli, sambutan memberangsangkan masyarakat kota terhadap waffle amat meyakinkan beliau.

Oleh kerana itu beliau sanggup meletakkan jawatan sebagai Eksekutif Kanan di syarikat swasta dengan pendapatan RM3,500 sebulan. Malah keputusannya itu pernah dibantah ibunya kerana kurang yakin dengan perniagaan yang bakal diceburinya.

Berbekalkan modal RM50,000 hasil simpanan suaminya, impian membuka kiosk waffle menjadi kenyataan. Berlokasi strategik di pintu keluar LRT Wangsa Maju, My Waffle Shop mendapat tumpuan penumpang setia LRT yang keluar dan masuk setiap pagi, petang dan malam.

"My Waffle Shop dibuka sejak November 2008 selepas mengambil alih lokasi yang sebelum ini turut menjual waffle. Pemiliknya terpaksa menutup perniagaan kerana melanjutkan pengajian."

"Sebelum ini saya sering keluar masuk melalui depan kiosk ini kerana menggunakan LRT untuk ke pejabat. Saya melihat sendiri perniagaan ini mendapat sambutan orang ramai. Apabila pemiliknya menawarkan untuk membeli kiosk ini, ia umpama orang mengantuk disorong bantal," katanya.

Beliau berkata, secara luarannya memang perniagaan waffle ini kurang meyakinkan, tetapi hakikatnya ia tetap menguntungkan. Setiap hari, My Waffle Shop menjual sekurang-kurangnya 150 keping waffle atau 200 keping pada masa tertentu pada harga RM2.50 setiap satu.

"My Waffle Shop menawarkan pelbagai cita rasa seperti kacang, coklat, kaya, cappucino, blueberi, strawberi dan blackcurrant."

"Para pelanggan juga boleh memilih untuk menggabungkan dua perisa pada satu waffle dan menambah bahan lain untuk menjadikan ia lebih enak seperti kacang badam, bijirin coklat, bubble rice atau rambo rice. Ia lebih enak dengan siraman sirap, karamel, madu dan butter scotch."

Bagi memberikan pelanggan lebih banyak pilihan, My Waffle Shop turut menawarkan makanan sampingan lain seperti jejari waffle iaitu sosej ayam yang disalut dengan waffle lembut yang enak. Ia cukup menyelerakan apabila dimakan panas serta dicicah bersama sos cili.

Selain itu, terdapat juga biskut waffle yang rangup berinti kacang dan coklat. Ia juga enak dimakan semakin snek atau dimakan bersama ais krim.

Di samping itu, ada juga jagung kukus bersama mentega yang enak dimakan ketika masih panas. Dua minuman disediakan seperti teh limau, milo dingin dan mineral yang berharga RM1 hingga RM3 setiap satu.

INFO:
Hidangan: Waffle dengan pelbagai perisa, Biskut Waffle, Waffle Stick, Jagung Panas dan minuman

Harga: RM1 hingga RM3

Waktu perniagaan: 9 pagi hingga 9.30 malam (Isnin hingga Ahad)

Sumber: Berita Harian Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::