ATTENTION !!!

Monday, August 3, 2009

Rezeki Jumaat di Masjid As-Salam

(Post: Bahasa Melayu)
"Walaupun tempoh menjalankan perniagaan hanya tiga atau empat jam sahaja, ia bukan masalah kepada peniaga untuk meraih rezeki pada tengah hari Jumaat di Masjid As-Salam, Puchong Perdana."

Seperti satu kelaziman di kalangan warga kota, kemeriahan aktiviti perniagaan boleh dilihat pada setiap hari Jumaat di perkarangan masjid.

Itulah antara yang boleh dilihat di halaman Masjid As-Salam yang merupakan sebuah masjid terapung di Puchong Perdana, Selangor.

Kawasan sekitar rumah ibadat itu cukup meriah dengan deretan gerai yang menjual pelbagai produk seperti buku agama, minyak wangi, barangan kulit serta gerai yang menjual makanan dan minuman.

Dengan sewa serendah RM15 sehari yang dikutip oleh ahli jawatankuasa (AJK) masjid tersebut, ia dianggap rezeki hari Jumaat sekali gus menambah pendapatan kira-kira 40 peniaga di situ.

Seorang pemilik gerai, Siti Misriah Sodikun, 32, berkata, dia membuka gerai minyak wangi untuk menambah pendapatan kerana pada hari itu, ramai umat Islam ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat.

"Biasanya di tempat lain, para peniaga akan menutup gerai pada hari Jumaat. Berbeza di sini, kami menjadikan ia sebagai satu peluang untuk meraih rezeki," katanya.

Saiful Rizal Abu, 28, pula berkata, gerai-gerai di situ dibuka bukan untuk mencemarkan pemandangan sekitar masjid.

"Ini kerana pemilik gerai menghormati kesucian institusi ini," katanya yang menjelaskan setiap pemilik gerai juga sentiasa memastikan kebersihan persekitaran dijaga.

Katanya, mereka dibenarkan berniaga dengan jaminan tidak mengotorkan kawasan masjid.

"Malah, kami berterima kasih kepada pihak masjid kerana membuka peluang meraih rezeki di sini," ujarnya.

Seorang lagi pemilik gerai makanan, Yusri Osman, 32, bersyukur kerana dibenarkan membuka gerai di perkarangan masjid.

Menurutnya, dengan aneka barangan dijual di gerai-gerai itu, ia boleh dianggap sebagai satu tarikan orang ramai khususnya anak muda untuk menunaikan solat di masjid.

"Bukan hendak memberi persepsi buruk kepada sesiapa, tetapi kadangkala orang malas nak datang ke masjid. Jadi, mungkin dengan cara ini, selain dapat membeli barangan, pengunjung juga akan terbuka hati untuk menunaikan solat," katanya.

Dengan sambutan yang meriah pada setiap minggu, pemilik gerai meluahkan terima kasih kepada pihak AJK masjid tersebut kerana membenarkan mereka berniaga di situ.

Gerai-gerai yang dibuka mulai pukul 10 pagi itu akan ditutup sementara sepanjang jemaah menunaikan solat Jumaat.

Tinjauan Kosmo! mendapati, selepas tamat solat Jumaat, gerai-gerai akan dibuka semula dan ditutup pada pukul 3 petang memandangkan jumlah pengunjung semakin berkurangan.

Kosmo! juga mendapati, kebanyakan pengunjung terdiri daripada kaum lelaki yang singgah sementara menunggu masuknya waktu solat Jumaat.

Rata-rata pengunjung yang ditemui berkata, jualan sebegini memudahkan mereka kerana selain dapat menunaikan solat, mereka juga boleh menjamu selera sementara menunggu solat Jumaat bermula.

Sumber: Kosmo! Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::